Terapi Berkuda Rangsang Keyakinan

Dulu aktiviti tegar wanita ini berkunjung ke pusat beli-belah sekitar Kuala Lumpur. Pada hujung minggu mereka membawa anak-anak sekadar melepaskan tekanan dan melihat sekiranya ada padanan yang perlu dibeli.

Di samping memberi keseronokan kepada si kecil, membeli-belah ibarat terapi minda yang tiada penghujungnya. Selain terpaksa mengeluarkan duit, anak-anak juga perlu dikawal bagi memastikan keselamatan mereka terjaga.

Lupakan minat mereka suatu ketika dulu kerana kini keempat-empat wanita ini menjadikan aktiviti berkuda sebagai hobi dan rutin senaman yang dilakukan setiap minggu.

Walaupun jarak di antara rumah dengan lokasi menunggang kuda jauh, bagi Noor Wan Fadzil, Mariam Thomson, Umi Kalsom Nizar dan Noor Nerina Ernie, semua itu tidak menjadi masalah kerana kecintaan kepada kuda begitu tinggi melebihi perasaan mereka terhadap aktiviti membeli-belah yang menjadi kegemaran suatu ketika dulu.

Aktiviti ini bukan saja menjadi lokasi pertemuan suri rumah, malah suami turut mempunyai minat yang sama. Lebih penting anak-anak juga turut didedahkan dengan kebaikan menunggang kuda sehingga mereka menjadi lebih yakin, berani serta tidak kekok berhadapan orang ramai.

Ketika berkunjung ke Denai Alam Recreational and Riding Club (DARC) yang terletak di Shah Alam, kelihatan empat wanita segak dalam persalinan sukan berkuda lengkap but tinggi, topi, mengenakan joppers (seluar khas untuk menunggang kuda) dan chap sebagai pelindung kaki sedang leka bersama kuda masing-masing.

“Seronok sangat walaupun penat, peluh yang mengalir menandakan ia aktiviti sihat serta memberi pelbagai kebaikan kepada kesihatan badan,” ujar Noor Wan Fadzil, ibu kepada empat cahaya mata yang mula menunggang kuda di DARC sejak September tahun lalu.

Suri rumah sepenuh masa ini menjelaskan, sebelum mendirikan rumah tangga dia pernah menunggang kuda, namun disebabkan terjatuh dia fobia lantas aktiviti ini ditinggalkan begitu saja. Selepas mendirikan rumah tangga dan memiliki empat anak berusia antara tiga hingga 12 tahun, dia teruja untuk kembali berkuda.

Semuanya bermula selepas anak sulungnya, Ameer Deedat Azwanuddin, 12, mengalami cerebral palsy (CP) atau kelumpuhan otak selepas terjatuh ketika berusia empat bulan.

“Selepas kejadian itu Ameer terus berkeadaan begini, tidak dapat mengendalikan otot sendiri serta mengalami gangguan fungsi saraf yang lain. Selepas doktor menyarankan supaya Ameer menjalani terapi berkuda, saya terus memulakannya,” katanya yang sudah menggunakan pelbagai kaedah terapi untuk Ameer.

Menurut Noor, di luar negara terapi berkuda untuk kanak-kanak orang kelainan upaya (OKU) termasuk autisme, sindrom Down, kecacatan tubuh dan lemah pelajaran dijalankan secara meluas kerana ia memberi pelbagai kebaikan bukan saja pada fizikal, tetapi emosi mereka.

“Memang benar selepas beberapa kali sesi menunggang kuda, beberapa perubahan ketara boleh dilihat pada diri Ameer. Kali pertama memang dia agak kekok dan sering menundukkan kepala dan membengkokkan badan tetapi kini tidak lagi. Kepala sudah tegak begitu juga dengan badan. Ia sesuatu yang sangat positif kerana ketika menunggang, ada latihan yang diberikan kepada anak-anak ini,” katanya.

Tambahnya, terapi berkuda dapat merangsang otot kaki dan membolehkan mereka berjalan secara perlahan-lahan. Malah, secara tidak langsung ia juga mampu mengatasi masalah psikologi dan perasaan seperti kurang keyakinan diri serta kemampuan bertutur dan berbicara.

Ini kerana wujud hubu–ngan unik antara penunggang dengan kuda, sekali gus menimbulkan rasa saling percaya sepanjang mereka menjalani sesi latihan.

Dia yang turut menghadapi masalah migrain dan badan lesu, selepas menunggang badan semakin kuat dan cergas malah migrain juga hilang. Selepas pulang ke rumah dia masih boleh melayan keempat-empat anaknya.

Kini aktiviti berkuda bukan saja untuk dirinya, malah suami dan tiga anak yang lain turut menjadikannya sebagai rutin mingguan. Keterujaan terhadap haiwan ini begitu tinggi sehingga dia sanggup membeli aksesori seperti gelang dan cincin berbentuk kuda serta pakaian berlatar belakang gambar kuda.

Bermula dengan anak yang dibawa bagi merasai pengalaman menunggang kuda akhirnya ibu kepada tiga cahaya mata, Mariam Thomson mulai jatuh cinta dengan kuda selepas kali pertama menunggangnya pada Disember 2012.

Dia yang tertarik selepas berkunjung ke DARC mengakui, selepas kali pertama menunggang dia merasai satu pengalaman yang sukar digambarkan. Ia tidak sama dengan aktiviti fizikal lain.

“Kali pertama mencuba memang rasa gayat apatah lagi apabila rasa takut ketika berseorangan di atas kuda. Namun, lama-kelamaan selepas diberi tunjuk ajar jurulatih, keyakinan mula bertambah dan saya semakin berani berseorangan mengendalikan kuda,” katanya.

Menurut Mariam, jika dulu setiap hujung minggu dia meluangkan masa di pusat beli-belah bersama suami dan anak-anak, tetapi kini aktiviti bertukar di kandang kuda.

Menariknya sambil menunggang, dia boleh membiarkan ketiga-tiga anaknya bermain di kawasan sekitar tanpa risaukan keselamatan mereka.

“Keadaan ini berbeza ketika di pusat beli-belah, saya perlu menjaga anak-anak kerana mereka jarang duduk diam dan suka berlari ke sana sini. Aktiviti berkuda bukan saja mendidik mereka supaya tidak takut kepada kuda, malah mahir dalam menunggang. Lokasi yang mesra keluarga dan sesuai untuk membawa anak-anak kecil menyebabkan saya memilih DARC sebagai lokasi berkuda,” katanya yang mendapat galakan suami sepenuhnya.

Menurut wanita berdarah campuran Melayu dan Scotland ini, aktiviti pada hujung minggu ini juga menjadi pertemuan dengan rakan-rakan. Ramai antara mereka suri rumah, ada juga yang bekerja jadi peluang ini digunakan untuk bertukar pendapat.

Jika selama ini mereka ke gimnasium atau merawat badan di spa, menunggang kuda turut memberikan kelebihan yang sama antaranya mampu merangsang dan menguatkan otot, terutama di bahagian pelvik dan tulang belakang serta membentuk tubuh menjadi lebih cantik.

Perkara sama turut diakui Umi Kalsom Nizar yang mula mengikuti aktiviti berkuda sejak Disember tahun lalu. Mulanya dia hanya membawa anak perempuan, Anfal Insyirah Abu Talib, 7, bagi mendedahkan si kecil ini kepada kuda. Tetapi lama-kelamaan timbul minat sehingga dia memberanikan diri mencuba.

“Saya mula menunggang kuda pada Februari lalu. Kali pertama duduk di atas kuda memang terasa gayat dan takut. Namun, jurulatih banyak membantu memberikan keyakinan sehingga lama-kelamaan saya mampu mengendalikan kuda sendiri,” katanya yang menjalani latihan dua kali seminggu di DARC.

Ujar Umi, jika dulu dia kerap mengalami masalah sakit lutut dan kurang tumpuan terutama ketika memandu kereta kini selepas empat bulan banyak kebaikan diperoleh terutama dari sudut kesihatan.

“Saya dapati masalah sakit lutut semakin berkurangan dan hilang sedikit demi sedikit. Begitu juga dengan angin dalam badan. Tubuh lebih segar dan sihat, malah mampu mengekalkan berat badan. Saya juga lebih fokus ketika memandu dan memberikan tumpuan dalam sesuatu perkara,” katanya yang begitu obses dengan kuda sehinggakan sering tersenyum apabila membicarakan mengenai haiwan ini.

Selain menunggang di DARC, Umi bersama rakan-rakan turut berkuda di pantai seperti di Cherating, Pahang. Menunggang di pantai dan laut memberikan satu pengalaman yang cukup mendebarkan.

“Saya dapati kuda sangat sukakan air terutama pada waktu pagi, malah kuda boleh berenang dengan baik. Ketika kali pertama mencuba memang rasa takut, tetapi saya perlu berani berinteraksi dengan kuda kerana haiwan ini boleh memahami emosi manusia,” katanya.

Jika ada mengatakan menung–gang kuda suatu aktiviti untuk golongan berada, ia satu tanggapan yang salah. Terdapat banyak pusat menunggang kuda yang menyediakan harga berpatutan dan sesuai untuk semua peringkat usia.

“Jika individu sanggup mengunjungi gimnasium setiap minggu dan membayar yuran bulanan, konsepnya sama seperti menunggang kuda. Malah, aktiviti ini menjadi amalan Nabi Muhammad SAW dan disebut dalam al-Quran kerana mempunyai banyak kebaikan, jadi mengapa tidak kita mengamalkannya,” kata Umi.

Leave a Reply

You must be logged in to post a comment.

1,511 views