Terapi Penggelek Jarum Mikro
‘Hendak cantik, sakit pun tidak mengapa’ – ungkapan klise yang sering kita dengari terutama apabila membabitkan proses rawatan untuk mengekalkan awet muda wajah dan tubuh badan.
Mungkin ada kebenarananya di sebalik ungkapan ini. Begitu juga yang penulis rasai apabila berkunjung ke Jemari Spa Beauty House baru-baru ini.
Pakej rawatan terapi penggelek jarum mikro kali ini menarik perhatian penulis.
Bentuknya seperti penggelek tangan yang dilengkapi jarum kecil mengikut saiz, bertujuan melukakan kawasan kulit bermasalah.
Sebanyak 192 jarum mikro diletakkan secara tersusun dalam lapan barisan sekata dan ia disadur emas 14 karat bagi mengekalkan keutuhan genggaman jarum pada penggelek.
Menurut pemilik spa berkenaan, Farahtul Adilah Sharudin, 32, kaedah yang dibawa masuk ke pasaran kecantikan tempatan sejak setahun lalu ini sudah agak lama diamalkan di United Kingdom dan Amerika Syarikat.
Malah, ia dikatakan berkesan bagi menghilangkan kesan parut serta pigmentasi pada kulit. Caranya dengan melayangkan penggelek berkenaan pada bahagian bermasalah secara perlahan-lahan berulang kali.
“Kaedah ini banyak membantu wanita mengurangkan masalah kedutan pada kulit serta memperbaiki tekstur kulit secara menyeluruh.
“Ia juga boleh digunakan untuk membantu menghilangkan kesan regangan kulit, bukaan liang pori yang besar serta penuaan kulit,” katanya.
Jika saiz jarum digunakan kecil antara 0.07 milimeter, kulit wajah akan kelihatan kemerah-merahan apabila dilayangkan penggelek berkenaan manakala makin besar saiz jarum digunakan kulit akan mengalami kesan luka.
“Kebiasaannya kami tidak menggunakan jarum yang besar kerana kaedah ini juga perlu disesuaikan dengan keadaan kulit wanita Asia.
“Jarum paling besar pernah digunakan mempunyai bersaiz 1.5 milimeter, namun proses terbabit akan menyebabkan rasa sakit, kulit luka dan berdarah,” katanya ketika ditemui di cawangan butik kecantikannya di Jalan 4/6B Pandan Indah, Kuala Lumpur.
Apabila kulit asal dilukakan, proses penyembuhan yang berlaku menyebabkan peningkatan kolagen dan mempercepatkan pertumbuhan sel kulit baru.
Disebabkan proses rawatan terbabit membabitkan kesan luka dan darah pada kulit, bagi memastikan kebersihan jarum digunakan, setiap pelanggan memperoleh penggelek jarum mikro berbeza.
Malah, ia akan disteril terlebih dulu sebelum digunakan serta boleh digunakan secara berulang kali sehinggalah mata jarum digunakan tumpul sebelum ditukar baru.
Walaupun boleh dibawa balik, pelanggan tidak digalakkan melakukannya sendiri tanpa pengawasan pakar bertauliah bagi mengurangkan risiko kesihatan lain.
“Selain itu, pelanggan yang tidak mampu menahan sakit apabila jarum dilayangkan pada kulit wajah akan diberikan ubat bius untuk mengurangkan rasa sakit.
“Tetapi ia akan diberikan apabila pelanggan memintanya saja. Kemudian barulah proses menggelek dilakukan mengikut kesesuaian,” katanya.
Terapi jarum mikro ini perlu dilakukan pada waktu petang untuk mengelakkan wajah kembali terdedah kepada sinaran cahaya matahari bagi mengelakkan pembentukan melanin secara drastik.
Proses rawatannya memakan masa tiga jam dan ia dimulakan dengan rawatan wajah bagi membersihkan kulit menggunakan kaedah dua kali basuhan iaitu pembersih susu dan gel, diikuti proses sentalan wajah.
Kemudian barulah proses menggunakan penggelek jarum mikro dilakukan selama 20 minit. Bagi mereka yang menggunakan ubat bius, tempoh ‘bertenang’ selama 30 minit diberikan sebelum memulakan rawatan.
Wajah akan dibahagikan kepada empat bahagian terlebih dulu iaitu pipi kiri dan kanan, dahi serta hidung. Ia dimulakan dari bahagian dagu dan digerakkan mengikut bahagian wajah yang dibahagikan sebelum ini.
Tempoh untuk melakukan rawatan kali kedua terapi berkenaan juga bergantung kepada saiz jarum digunakan kerana makin panjang jarum, masa penyembuhan kulit juga bertambah. Untuk mendapatkan maklumat lanjut, layari www.jemarispa.weebly.com.