Tercetus Mata Malas
Pasti ramai pernah berhadapan dengan individu yang memiliki kedudukan bola mata tidak sempurna. Ada kalanya mata hitam berada di tengah dan sebelah lagi tersasar sedikit ke tepi.
Apabila berkomunikasi mungkin ramai memikirkan apa yang menjadi titik tumpu individu berkenaan sama ada orang yang bercakap dengannya ataupun objek lain berada di persekitaran.
Keadaan mata seperti ini dipanggil juling dan ia antara masalah mata yang kerap berlaku, terutama pada kanak-kanak. Ada kalanya mereka yang mengalami masalah juling ini akan mengelak daripada bertentang mata dengan orang lain kerana berasa rendah diri.
Juling boleh menjejaskan penglihatan dan jika dibiarkan, masalah ini boleh bertambah teruk apabila meningkat dewasa. Bagi penglihatan normal, kedua-dua mata akan tertumpu pada satu titik atau objek yang menjadi pusat perhatian. Kemudian otak menyatukan kedua-dua imej yang terbentuk dari setiap mata menjadi satu bayangan tunggal tiga dimensi.
Pakar Perunding Oftalmologi Pusat Perubatan Prince Court, Dr Tan Niap Ming berkata, juling atau istilah perubatannya strabismus adalah keadaan penglihatan iaitu kedua-dua mata tidak terarah pada satu objek yang menjadi pusat perhatian.
Satu mata akan tertumpu pada satu objek sedangkan mata yang lain juling ke dalam, ke luar, ke atas atau ke bawah.
Apabila salah satu mata juling, bentuk dua gambar berbeza akan dipancarkan ke otak dan menyukarkan proses penentuan bentuk gambaran diterima.
“Bagi kanak-kanak otak akan mengabaikan bayangan dari mata yang juling dan hanya melihat satu bayangan saja iaitu dari mata yang melihat dengan lebih baik.
“Orang dewasa yang mengalami juling pula penglihatannya menjadi berganda kerana otaknya sudah terlatih untuk menerima imej dari kedua-dua mata dan ia memberi sedikit rasa ketidakselesaan seperti sakit kepala,” katanya.
Tanda dan gejala
Kedudukan mata yang tidak selari atau sejajar.
Ia boleh menjadi masalah berpanjangan atau wujud sekali-sekala.
Bayi normal yang baru lahir biasanya juling disebabkan penglihatannya belum matang. Masalah ini hilang apabila bayi itu makin membesar.
Mata yang sememangnya juling tidak akan berubah dengan perkembangan tumbesaran.
Bagaimana juling berlaku
Terdapat enam otot mata yang mengawal pergerakan bola mata. Dua otot yang berfungsi menggerakkan ke kanan dan ke kiri manakala empat otot lainnya menggerakkan mata ke atas, ke bawah serta berpusing.
Bagi memastikan kedua-dua mata lurus dan dapat menumpu pada satu objek yang menjadi pusat perhatian, keenam-enam otot pada setiap mata perlu seimbang dan bekerja bersama-sama ketika menggerakkannya. Otot mata ini dikawal oleh otak.
Dr Tan berkata, penglihatan kanak-kanak akan berkembang baik apabila kedua-dua matanya berada dalam posisi normal.
Namun, masalah mata itu boleh mencetuskan ambliopia ataupun mata malas iaitu penglihatan yang tidak sempurna pada mata yang juling.
Faktor ini disebabkan otak hanya akan mengutamakan imej yang datang dari mata yang lebih baik dan mengabaikan bayangan dari mata yang lemah.
Keadaan mata malas ini boleh diatasi dengan menutup mata yang lebih baik dan memaksa mata lemah untuk mengenal pasti objek lebih kerap agar penglihatan menjadi lebih baik. Bagaimanapun, latihan ini perlu dimulakan sejak kecil terutama sebelum berumur lapan atau sembilan tahun untuk hasil yang lebih baik.
Disebabkan itulah ia perlu diberi perhatian khusus terutama bagi mendapatkan rawatan awal kerana apabila dilakukan pada kanak-kanak pada usia yang agak lewat mata malas dimilikinya bersifat kekal kerana kurang digunakan.
“Pada individu juling, jika dia melihat sebelah kiri hanya sebelah mata bergerak ke arah itu sedangkan sebelah lagi melihat ke arah lain.
“Ia menyebabkan cahaya yang masuk ke dalam mata difokus ke bahagian tidak sama pada retina serta mengurangkan keupayaan mata untuk melihat dengan jelas,” katanya.
Juling tidak dirawat boleh membahayakan kanak-kanak kerana ia menghalang kanak-kanak melihat objek dengan jelas.
Faktor berlaku juling di kalangan orang dewasa
Kemalangan
Diabetes
Strok
Trauma
Jenis juling
Esotropia kongenital iaitu mata juling ke dalam yang bermula dari usia bayi kurang enam bulan.
Bayi yang memiliki kejanggalan mata seperti ini tidak dapat menggunakan kedua-dua matanya secara bersama dan pembedahan awal diperlukan untuk meluruskan matanya.
Esotropia akomodatif iaitu bentuk juling ke dalam yang biasa ditemui pada kanak-kanak berusia dua tahun atau lebih besar.
Bagi jenis juling seperti ini apabila kanak-kanak memfokuskan matanya untuk melihat dengan jelas mata akan kelihatan juling ke dalam. Ia berlaku ketika melihat jauh saja, melihat dekat saja atau kedua-duanya sekali.
Juling keluar ialah bentuk lain juling yang sering ditemui. Bentuk juling ini sering berlaku ketika anak memandang objek yang jauh.
Walaupun kaca mata, latihan atau prisma dapat mengurangi atau membantu mengawal juling bagi sesetengah kanak-kanak namun dalam kebanyakan kes pembedahan mungkin diperlukan.
Ketika ia dijalankan bola mata tidak akan dikeluarkan dari soketnya sebaliknya pakar mata akan membuat hirisan pada selaput putih mata untuk dapat mencapai otot penggerak bola mata.
Kemudian, otot akan dipotong sedikit bagi mengetatkan fungsi keseimbangan mata bersesuaian dengan keperluan atau kedudukan mata.
Ia dapat dilakukan pada satu atau kedua-dua mata sekali gus bergantung jenis dan besarnya juling yang berlaku dan dilakukan dengan bius terutama pada kanak-kanak.