Terkesan Tragedi 2008
TIDAK ramai sanggup bersengkang mata secara sukarela semata-mata untuk menganjurkan aktiviti amal.
Apatah lagi ia dilakukan demi mengumpulkan dana untuk golongan memerlukan di negara asing yang jauh dari tempat kelahiran sendiri.
Namun, bagi lima wanita warga Perancis iaitu Florence Lambert Lee, Katell Lecue, Flavie Causse-Fournial, Sandrine Baudeau dan Nadege Lubrano segala usaha yang lakukan nyata mencetus inspirasi.
Memasuki tahun kedua penganjurannya kini program French Market Bazar – Le Marche De Noel ini ternyata berjaya menarik minat ramai penggemar produk serta barangan Perancis.
Mensasarkan jumlah kutipan dana sebanyak RM40,000, usaha itu tidak sia-sia apabila sejumlah RM48,000 berjaya dikumpulkan di akhir bazar berkenaan.
Bagi Florence, jumlah kutipan yang diperoleh daripada bazar kali ini sememangnya amat menggalakkan berbanding tahun lalu dengan jumlah kutipan keseluruhan RM24,000.
“Setiap ringgit yang diperoleh akan diserahkan keseluruhannya kepada badan kebajikan terpilih. Ini bagi memastikan bantuan yang diberikan mereka kepada golongan kurang berkemampuan berkenaan sentiasa mencukupi.
“Kami hanya bertindak sebagai penganjur sukarela tanpa mengenakan sebarang bayaran. Objektif utama menyediakan platform terbaik kepada keluarga pesakit bagi mendapatkan bantuan diperlukan serta memberikan kesedaran mengenai penyakit kanak-kanak,” katanya.
Bazar yang diadakan di Carcosa Seri Negara itu dimulakan seawal jam 10 pagi dan berakhir pada 7 petang. Ia dikunjungi lebih daripada 700 pengunjung terdiri daripada komuniti warga Perancis yang tinggal di sini serta warga tempatan yang turut memeriahkan acara.
Gerai pempamer yang disediakan pula meningkat daripada 40 kepada 50 gerai.
Antara produk yang dipamerkan merangkumi pakaian, aksesori perhiasan, hiasan dalaman rumah, mainan kanak-kanak, makanan serta beg dan kasut kulit buatan tangan.
Semua kutipan dana terbabit akan diserahkan kepada Madeleine Children’s Fund (MCF), Rumah Ozanam, Tanma dan Be Positiv yang memfokuskan usaha mereka membantu kanak-kanak, lelaki dan wanita tempatan yang memerlukan bantuan.
MCF ialah tabung khas untuk meringankan kos ubat-ubatan serta pemeriksaan kesihatan serta pelbagai kelengkapan diperlukan untuk kanak-kanak yang menghidap kanser.
Tanma pula bermakna kuat dalam bahasa Burma (Myanmar) iaitu organisasi pelarian politik wanita yang menyokong projek kraftangan pelarian Myanmar di Kuala Lumpur.
Rumah Ozanam Batu Arang ialah rumah kebajikan yang menyediakan penjagaan kepada wanita dan kanak-kanak yang menghidap HIV dan Aids.
Begitu juga dengan Be Positiv iaitu sebuah organisasi atau pusat pemulihan kepada lelaki dan kanak-kanak yang menghidap HIV.
Florence yang sudah 18 tahun menetap di Malaysia berkata, usaha amal itu dimanfaatkan sepenuhnya untuk membantu golongan memerlukan terutama pesakit kanser apatah lagi dia turut mempunyai pengalaman berhadapan situasi berkenaan.
Peristiwa kehilangan anak perempuannya pada 2008 akibat kanser meninggalkan kesan amat mendalam pada dirinya serta keluarga. Ini menjadikan wanita ini cekal untuk sentiasa berusaha membantu golongan memerlukan mendapatkan rawatan diperlukan.
“Masih terngiang-ngiang di telinga kata-kata anak perempuan saya sebelum dia meninggal dunia meminta saya membantu kanak-kanak yang senasib dengannya dengan apa cara sekalipun.
“Oleh itu, saya membulatkan tekad mencari idea melakukan program terbaik dalam usaha membantu golongan ini,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.
Tidak dinafikan kenangan itu sukar dilupakan dan sentiasa tersemat di hatinya seumur hidup. Walaupun agak sukar untuknya berkongsi cerita mengenai anak perempuannya itu kepada umum, dia tetap menguatkan semangat.
Dia akui mengambil masa dua tahun menjalani ‘tempoh bertenang’ selepas kematian anaknya sebelum berjaya mengelolakan bazar ini buat kali pertama tahun lalu.
“Saya bernasib baik kerana bertemu empat lagi rakan yang turut berkongsi impian menghulurkan bantuan dengan cara tersendiri kepada golongan memerlukan.
“Harapan di masa depan supaya bazar ini terus berkekalan tetapi segalanya dalam perancangan kerana tidak dinafikan bukan mudah untuk menganjurkan program sebegini bersendirian,” katanya.
Bagi pempamer, Amy Blair yang mewakili The Batik Boutique, ini bukanlah kali pertama dia menyertai aktiviti sebegini terutama membabitkan jualan amal.
Dia yang sudah lima tahun menetap di Malaysia berkata, rasa tanggungjawab untuk membantu golongan memerlukan membuatkannya sentiasa menyokong setiap aktiviti amal dilakukan.
Malah, penulis turut berasa teruja dan kagum kerana Amy amat fasih berbahasa Melayu serta berhasrat ingin memartabatkan batik ke peringkat antarabangsa.
“Saya memilih batik sebagai produk utama jualan disebabkan keunikan produk terbabit yang sukar didapati di tempat lain.
“Bukan saja selesa dipakai malah ia juga mempunyai nilai yang tinggi untuk diketengahkan sebagai cenderahati terutama kepada masyarakat antarabangsa,” katanya.
Bagi pengunjung bazar berkenaan, Ellisha Othman, cukup teruja dengan kepelbagaian produk unik disediakan.
Walaupun pertama kali mengunjungi bazar amal sebegini, ternyata dia amat berpuas hati dengan produk yang diketengahkan penganjur.
Selain beramal, dia juga boleh memilih produk unik yang jarang dan sukar diperoleh di pasaran tempatan pada harga berpatutan.
“Saya gembira kerana di samping menyumbang kepada pengumpulan dana untuk diserahkan kepada mereka memerlukan, saya juga boleh melihat pelbagai produk hiasan dalaman, aksesori serta rekaan pakaian yang berlainan.
“Pada masa sama, menghadiri acara sebegini juga membolehkan kita bertemu rakan baru daripada bangsa lain,” katanya.
Untuk mendapatkan maklumat terkini, boleh layari www.facebook.com/leMarchedeNoel2012.
Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/10