Teruja Bila Ada Cabaran

Dia pernah mencetuskan fenomena dalam arena golf wanita dunia. Dia juga pernah digelar si genius golf atas keupayaannya melakukan pukulan mengagumkan kala usianya baru mencecah 10 tahun.

Apa yang pasti, Michelle Wie bukan sekadar memecah rekod dan halangan dalam arena sukan itu malah tidak gentar bersaing dengan pemain lelaki dalam siri Jelajah PGA meskipun beberapa kali dirinya dikritik media.

“Saya sukakan cabaran. Saya rasa hidup lebih teruja apabila adanya cabaran. Mereka boleh katakan apa saja, hanya saya yang tahu sukarnya permainan itu,” ujar Michelle memulakan cerita kala berpeluang berbual dengannya, baru-baru ini.

Pemain berdarah Korea Selatan ini dilahirkan pada 11 Oktober 1989 kepada pasangan BJ dan Bo di Hawaii, Amerika Syarikat, dan mula menghayun kayu golf seawal usia empat tahun.

Selepas mengungguli dua kejohanan tempatan pada usia 11 tahun, Michelle mencipta rekod selaku pemain wanita paling muda (berusia 12 tahun) yang layak dalam kejohanan LPGA.

Pada 2002, dia mara ke separuh akhir Kejohanan Public Links Amatur Wanita Amerika Syarikat sebelum menjuarainya beberapa tahun selepas itu.

Pemegang Ijazah Sarjana Muda Komunikasi Universiti Stanford ini sememangnya tidak pernah berpuas hati dengan apa dikecapinya.

Baginya, setiap rekod itu bukan ukuran menentukan tahap kejayaan diraihnya.

“Keluarga memainkan peranan besar menanam minat saya pada golf. Jika tidak, mungkin saya ketika ini sama seperti wanita muda lain yang masih mencari arah dalam karier.

“Saya tidak boleh biasakan diri dengan keadaan selesa. Setiap kali bersaing saya katakan pada diri bahawa pencapaian lalu hanya sejarah dan saya perlu mencipta sejarah baru.

“Boleh dikatakan ia motivasi terbaik untuk saya dan percaya cara itulah banyak membantu saya ketika bermain,” jelasnya.

Namun, tidak semuanya berkisar kepada perkara serius dalam hidupnya. Michelle mementingkan aspek keseimbangan dalam kehidupan harian.

Pemain yang pernah mencetuskan kontroversi pakaian dalam saingan musim 2004 (ketika usianya 14 tahun) ini mula berjinak dalam bidang fesyen.

“Saya suka melukis, mengecat dan melakar. Sejak kebelakangan ini saya mula membuat rekaan dan cuba menghasilkan baju. Ia sesuatu yang menyeronokkan apabila kita mencuba sesuatu yang baru.

“Satu perkara yang saya suka mengenai fesyen ini ialah kita boleh menyarungkan apa saja. Kita boleh menjadi sesiapa pun dengan hanya mengubah penampilan.

“Saya gemarkan gaya kasual tapi sesekali suka juga berhias rapi dan mengenakan gaun. Tapi biasanya saya akan pakai apa saja yang selesa dan pada masa sama, ia menepati trend terkini.

“Saya juga gemar memasak terutama pastri dan kek. Disebabkan saya ada alahan pada bahan tenusu dan tidak boleh nikmati kek cawan yang dijual di kedai, saya belajar membuatnya.

“Rupanya tidaklah sesukar mana tapi ia menuntut kesabaran yang tinggi. Apa yang penting, saya tidak mengalami masalah kesihatan selepas menikmatinya,” katanya.

Pernah beraksi di Kuala Lumpur pada kejohanan LPGA Malaysia sejak beberapa tahun lalu, gaya Michelle sekali lagi boleh disaksikan menerusi kejohanan LPGA Sime Darby Malaysia di KLGCC pada 10 hingga 13 Oktober ini.

Cuaca panas yang melanda Kuala Lumpur ketika ini pastinya bukan halangan malah Michelle sendiri lebih gemar tampil dalam cuaca seperti ini.

“Saya suka datang ke Malaysia kerana tenaga dan sokongan luar biasa daripada penonton. Saya banyak berusaha memperbaiki permainan sepanjang tahun ini dan saya harap dapat terus menerima sokongan daripada mereka,” katanya.

Leave a Reply

You must be logged in to post a comment.

538 views