Teruja Siapkan Gelang Kristal

Biarpun hiasan tidak seberapa nilainya, ia tetap menjadi lambang kewanitaan. Sudah menjadi lumrah alam, asal sesuatu itu cantik dipandang, pasti ramai yang ingin memilikinya.

Begitu juga dengan seni kraf tangan sulaman dan jahitan manik mahu pun penghasilan gelang, rantai dan subang dengan idea serta sentuhan kreatif yang menjadi ikutan ramai.

Tidak ketinggalan sekumpulan wanita masyarakat Orang Asli Kampung Sungai Mas, Sungai Lembing, Kuantan yang menyertai bengkel jahitan dan membuat gelang berasaskan manik serta kristal, begitu teruja menyiapkan kerja tangan diberikan tenaga pengajar.

Penulis yang turut mengikuti bengkel berkenaan kagum dengan semangat ditunjukkan kaum wanita ini yang begitu gigih menyiapkan gelang kristal walaupun mengambil masa agak lama.

Kagum melihat jari jemari mereka dengan penuh tertib menyusun dan mengira butiran manik sebelum mencucuk tali tangsi ke dalam lubang manik bagi membentuk gelang dan rantai.

Perasaan gembira jelas terpancar pada wajah peserta bengkel kerana dapat menghasilkan sesuatu yang tidak pernah mereka lakukan sebelum ini kecuali mendapatkannya di kedai aksesori wanita.

Sebagai permulaan, peserta diberikan pendedahan mengenai teknik menyulam atau mengait manik yang paling ringkas, tetapi tetap nampak eksklusif untuk digayakan.

Mereka diberikan sejumlah kristal daripada pelbagai jenis dan warna untuk mereka gelang tangan dan rantai leher berdasarkan kreativiti sendiri.

Walaupun sukar pada mulanya, keceriaan jelas terpancar pada wajah masing-masing sebaik saja melihat hasil rekaan sendiri siap dengan cantik.

Bengkel anjuran Pergerakan Puteri UMNO Parlimen Paya Besar itu diadakan julung kalinya bertujuan memberikan pendedahan kepada golongan terbabit untuk lebih berdikari. Pada masa sama, ia membantu menambah pendapatan keluarga yang kebanyakannya bergantung kepada hasil hutan dan berkebun.

“Ini sesuatu yang baru bagi golongan wanita ini dan ternyata mereka teruja untuk mempelajarinya dari tenaga pengajar berkemahiran didatangkan khas daripada Kolej Komuniti Kuantan, Mastura Uda,” kata Ketua Pergerakan Puteri UMNO Parlimen Paya Besar, Norydal Othman.

Norydal berkata, selain kursus pembuatan gelang kristal, pihaknya juga bercadang mengadakan kelas sulaman manik, bonsai kristal dan kerja tangan lain untuk memperluaskan skop perniagaan mereka.

Peserta, Noriani Deli Ramli, 24, berkata dia teruja menyertai bengkel yang pertama kali diadakan di kampungnya itu.

Tanpa sebarang pengetahuan, malah kali pertama didedahkan dengan bengkel membuat gelang kristal, dia berasa gembira kerana berpeluang mengikuti kelas berkenaan.

“Selama ini jika hendak memakai gelang seperti ini, saya membelinya di Kuantan. Selepas ini, tidak perlu lagi berbuat demikian sebaliknya, membeli bahan asas dan membuat rekaan sendiri kerana modalnya kecil saja.

“Saya yakin jika diberi peluang, penduduk Orang Asli pasti akan melakukan dengan bersungguh-sungguh selain mendapat kepercayaan masyarakat membeli produk yang kami keluarkan,” katanya.

Rodziah Abd Rahim, 35, juga enggan melepaskan peluang mengikuti bengkel berkenaan walaupun terpaksa membawa tiga anaknya yang masih kecil.

“Bukan mudah untuk mengikuti bengkel seperti ini kerana kebiasaannya diadakan di kawasan bandar sedangkan kami jauh di kawasan pedalaman dan tiada kemudahan untuk berulang-alik.

“Justeru, peluang ini saya gunakan sepenuhnya untuk mempelajari asas membuat gelang daripada manik dan kristal yang pelbagai saiz dan jenis,” katanya.

Berlainan pula dengan Sunarti Sabun, 20, yang sanggup membeli gelang dan kemudian menceraikannya satu persatu dan dicantum semula hanya untuk mengetahui cara gelang itu dihasilkan.

Sebelum ini dia memang geram apabila melihat aksesori itu di kedai kerana sangat menarik hasil gabungan warna dan rekaannya.

“Saya pantang melihat gelang manik. Untuk membelinya pula saya terpaksa berfikir berkali-kali kerana mahal.

“Justeru, peluang ini memang sangat berbaloi dan apabila sudah ada kemahiran, saya memulakan perniagaan secara kecil-kecilan untuk menambah pendapatan keluarga,” katanya.

Anak keenam daripada sembilan beradik itu berkata, dia berhasrat untuk menggunakan sepenuhnya kemahiran itu dan berazam untuk membuka kedai aksesori untuk meningkatkan pendapatan keluarganya.

Idah Nor, 3, pula berkata, sekurang-kurangnya dia kini mempunyai idea untuk mereka aksesori sendiri.

“Selepas ini saya tidak perlu membeli kerana boleh buat sendiri bukan saja untuk ahli keluarga, tetapi untuk rakan sebagai hadiah. Ini lebih menjimatkan.

“Sebagai permulaan, tenaga pengajar memberikan rekaan paling mudah dengan gabungan dua warna saja supaya peserta tidak terkeliru. Akhirnya saya berjaya mengait tiga gelang dalam tempoh tiga jam,” katanya.

Idah yang juga ibu kepada lima anak enggan mensia-siakan peluang itu dan turut menyimpan hasrat untuk berniaga bagi membantu suaminya, Nubi Asang, 32, yang hanya bekerja kampung dan tidak mempunyai pendapatan tetap.

Leave a Reply

You must be logged in to post a comment.

1,594 views