Tiada Betul Atau Salah Dalam Solekan
Ketepikan seketika riasan wajah minimalis dan semula jadi kerana trend solekan musim luruh dan dingin (FW13) di MAC kali ini lebih beremosi, misteri dan disulami 1,001 perasaan.
Biarpun kanvas wajah diolah seakan-akan mengenakan solekan tipis, keseluruhan persembahan FW13 ini tercetus daripada pertembungan era lampau dan rentak terkini yang sama sekali jauh daripada ilham pesona riasan biasa.
Menerusi sesi pengenalannya oleh Jurusolek Kanan MAC Malaysia, Haritha Shan, FW13 menampilkan empat tema aliran iaitu Reb-Elle, Spiritual Eyes, Au-Currant dan Perspex-Tive yang langsung tidak menonjolkan aspek solekan ‘cantik dan sempurna’ tetapi terarah kepada elemen bebas dan lagak wanita tampil tanpa kekangan.
Jelas Haritha, solekan bagi musim luruh dan dingin ini tidak skeptikal pada gaya muram serta rona tanah kerana trend FW13 ini tertumpu kepada riasan campuran antara ciri terkini, nakal, gothic, blok warna dan kilatan plastik.
“Solekan bersih dan semula jadi masih ada tapi bukanlah titik utama kerana temanya lebih menonjolkan riasan pada mata dan bibir.
“Riasan smokey diberi definisi baru di mana ia disuntik sedikit rona perak sementara solekan bibir menzahirkan gaya blok warna eksentrik,” katanya.
MAC sentiasa menyatakan tiada betul atau salah dalam solekan tapi semuanya bergantung kepada keberanian dan usaha untuk menggayakannya.
“Ada yang rasa ia keterlaluan, ada pula yang menggemarinya. Semuanya terpulang pada gaya individu. Dalam empat trend ini, saya pasti ada satu yang menepati personaliti masing-masing,” ujarnya.
TREND MAC #1 – Reb-Elle
Mainan kosa kata ‘rebel’ atau memberontak ini jelas menunjukkan tema gelap dengan warna utamanya hitam pekat yang disatukan dengan rona arang, zamrud, merah tua dan biru kelam.
Tiada syarat untuk hitam, diadun dengan apa jua warna atau gaya yang digemari. Ia inspirasi daripada elemen futuristik punk dan grunge.
Bibir pula sekadar dicalitkan warna merah jambu samar atau perang muda.
TREND MAC #2 – Spiritual Eyes
Mata disifatkan jendela jiwa, justeru, riasan mata diberi gambaran kecantikan halus dan misteri. Solekan smokey memperlihatkan sisi berbeza dengan olesan gothic yang diadun bersama rona sejuk.
Sekali imbas ia seakan-akan pertembungan mistik dan realiti, ‘berhantu’ tapi masih memukau pandangan dengan sedikit suntikan biru lembut dan merah.
Bibir diberikan rona tanah minimal lalu ditekap dengan bedak debu.
TREND MAC #3 – Au-Currant
Trend khusus untuk bibir. Calitan rona merah tapi bukan seperti kebiasaannya. Ia mengambil pendekatan blok warna di mana palet gelap seperti prun dan buah beri diadun bersama bagi menghasilkan kesan 3D.
Tekstur matte jadi mainan tapi ditambah kilatan maksimum untuk impak bibir penuh dan eksentrik. Trend masih terarah kepada gothic tapi dengan sasaran untuk wanita yang berani menonjolkan diri.
Zon mata diberikan solekan semula jadi atau sesekali dioles rona sejuk seperti perak dan hijau muda.
TREND MAC #4 – Perspex-Tive
Menyusuri aliran fesyen musim ini di mana gaya wajah lutsinar kaca Perspex dan akrilik hangat di pentas peragaan.
Riasan wajah diberikan elemen segar dan semula jadi namun tumpuan terarah kepada mata berkilat yang menghasilkan ilusi seakan-akan kelopak bercahaya.
Sisi mudah monokromatik dengan kesan wax yang melengkapi kemasan satin pada keseluruhan kanvas wajah.