Tiada Istilah Berehat
Memerlukan komitmen tinggi dan pengorbanan terutama dari segi masa, tidak ramai yang berani memilih untuk mendalami bidang ini walaupun ia hanyalah kerja sukarelawan.
Bukan sebarang tugas yang dilakukan tetapi jika tidak betul caranya, ia boleh meletakkan diri mereka dalam keadaan bahaya.
Ini kerana, mereka perlu berhadapan dengan pelbagai keadaan sukar yang adakalanya membabitkan pelbagai situasi berbeza antaranya kemalangan jalan raya, gempa bumi, banjir dan tanah runtuh.
Apabila berhadapan dengan situasi ini, kebiasaannya kaum Adam lebih banyak menguasai lokasi kejadian berbanding wanita untuk melakukan tugas menyelamat.
Bagaimanapun, kelibat Koperal Tammie Loo Fong Yin, 33, dan rakan-rakannya, Leftenan Teresa Lim Sim Lee, Sarjan Lois Lim Sim Yee serta Koperal T Kaanthini, mungkin mencuri perhatian orang ramai di lokasi kerana mereka wanita berani, cekal dan kental mengharungi cabaran bagi membantu insan dalam kesusahan.
Menyertai Persatuan Bomba dan Penyelamat Sukarela Malaysia (MVFRA) iaitu sebuah badan sukarela yang banyak membantu mangsa bencana sekitar lapan tahun lalu, dia melakukannya kerana suka dan minat.
“Saya menyertai MVRA tanpa ada sebarang paksaan daripada mana-mana pihak, apatah lagi kerja sukarelawan yang saya pilih ini sangat lasak. Mungkin ramai yang melihatnya menganggap ia sesuatu yang sukar dilaksanakan.
“Sebagai sukarelawan, saya dan rakan lain perlu sentiasa berada dalam keadaan bersiap sedia selama 24 jam sebab bencana alam atau kemalangan itu terjadi tidak mengira masa.
“Malah, pada hujung minggu sekalipun kami kena sentiasa berjaga-jaga dan boleh dikatakan tiada istilah rehat. Selain itu, kami juga ada latihan tertentu seperti menyelamat yang harus dijalani bagi memantapkan diri di tempat kejadian,” katanya.
Sejak sekolah menengah lagi, dia aktif dengan pasukan badan beruniform dan itu menjadi salah satu sebab dia membuat keputusan menyertai MVFRA.
Pada pandangannya, sama ada lelaki atau wanita, setiap tugasan sama dan masing-masing saling melengkapi antara satu sama lain. Ini sekali gus membentuk jalinan perhubungan yang kukuh terutama apabila berhadapan dengan situasi kritikal.
Walaupun sudah lapan tahun membabitkan diri dalam aktiviti sukarela ini, dia masih berasa seperti baru menyertainya kerana setiap hari dia banyak mempelajari benda baru terutama apabila ia membabitkan nyawa manusia.
Dia turut bersyukur sebab keluarga terutama suaminya amat memahami kerjaya yang dipilih itu dan memberi sokongan 100 peratus berikutan usahanya itu sesuatu yang murni.
Selamatkan haiwan terbiar
Bagi Vicneswary Anthony, 31, dia lebih cenderung untuk melakukan kerja sukarela menyelamatkan haiwan terbiar di jalanan.
“Selalunya saya selamatkan kucing dan anjing lalu membawanya pulang ke rumah untuk dibersihkan serta memberi makanan secukupnya supaya ia bertenaga semula.
“Semuanya berlaku secara semula jadi kerana sejak umur saya enam tahun, memang saya sudah terbiasa membawa pulang haiwan, malah anak tikus pun saya pernah selamatkan ketika itu.
“Emak tidak pernah marah dengan minat saya, sebaliknya kami saling membantu menjaga semua haiwan berkenaan,” katanya yang berharap masyarakat akan lebih prihatin nasib haiwan jalanan.
Mempunyai kerja tetap sebagai pembantu teknikal di Telekom Malaysia Berhad, Vicneswary menyelamatkan haiwan jalanan selepas waktu kerja.
Selain menjumpai sendiri haiwan itu, dia juga menerima panggilan telefon daripada orang awam atau badan bukan kerajaan yang memerlukan khidmatnya.
Laman sosial Facebook peribadinya juga menjadi penghubung antara dia dan orang awam yang mahukan maklumat mengenai kerja sukarela dilaksanakannya atau mengambil haiwan itu sebagai haiwan peliharaan.
Baru-baru ini, mereka turut menerima Anugerah Penyelamat Nyawa yang diberikan oleh Road Safety Marshal Club (RSMC) sempena Majlis Perasmian Kempen Kesedaran Jenayah Jalanan Untuk Wanita yang diadakan di pusat beli-belah Great Eastern di Jalan Ampang, Kuala Lumpur.
Elak risiko
Jenayah dan kemalangan terjadi di mana saja tidak kira di sekolah, rumah, pejabat, tempat letak kereta mahupun jalan raya.
Dua perkara ini juga tidak mengenal mangsanya sama ada wanita, lelaki, kanak-kanak, orang kelainan upaya atau warga emas.
Acapkali tiba musim cuti sekolah misalnya, ia menjadi saat paling menggembirakan bagi kebanyakan kanak-kanak kerana berpeluang melakukan pelbagai aktiviti di luar rumah seperti di padang permainan dan tepi jalan raya.
Namun, ia boleh menjadi tempoh yang mengundang kebimbangan ibu bapa khususnya yang bekerja sekiranya anak dibiarkan bermain tanpa pengawasan orang dewasa.
Mengayuh basikal dengan laju bersama rakan tanpa memikirkan risiko bahaya yang bakal dihadapi, walaupun ia aktiviti menyihatkan, sekiranya tersilap langkah boleh mengundang kecelakaan termasuk kemalangan.
Hakikatnya, semua itu boleh dielakkan sekiranya kanak-kanak dibekalkan ilmu keselamatan ketika mengayuh basikal.
Panduan lengkap mengenai keselamatan jalan raya dan cara betul mengayuh basikal perlu diketahui kanak-kanak bagi mengelakkan berlaku perkara tidak diingini.
Untuk keselamatan kepala contohnya, kanak-kanak perlu dibekalkan dengan topi keselamatan yang saiznya berpadanan. Walaupun nampak remeh, topi keselamatan hakikatnya menyelamatkan mereka daripada mengalami kecederaan teruk selain menghalang hentakan kuat terus ke kepala sekiranya terjadi kemalangan.
Pemilihan pakaian juga penting terutama seluar. Pastikan anak-anak tidak memakai seluar besar di bahagian hujungnya ketika mengayuh basikal kerana ia boleh tersangkut di rantai atau tayar basikal yang boleh menyebabkan kemalangan.
Sememangnya kita tidak mampu menghentikan kemalangan daripada terjadi atau jenayah daripada berleluasa, namun kita masih berupaya menghindarinya andai diri dilengkapi ilmu survival khususnya dalam kalangan wanita apabila membabitkan jenayah jalanan.
Tingkatkan kesedaran
Menurut perunding keselamatan yang juga Presiden RSMC dan Pengasas MVFRA, K Balasupramaniam, wanita paling mudah menjadi mangsa jenayah jalanan seperti ragut atau rompakan.
Terdapat beberapa faktor perkara seumpama ini terjadi antaranya, wanita kurang waspada terhadap persekitaran sekeliling, mereka tidak tahu apa yang perlu dilakukan jika berdepan jenayah dan penjenayah sentiasa menganggap wanita golongan yang lemah.
“Jika tidak mempunyai masa menghadiri kelas mempertahankan diri, wanita boleh membaca mengenai langkah pencegahan perlu diambil sekiranya kejadian seperti itu menimpa diri misalnya di Internet dan media cetak.
“Jangan bersikap endah tak endah kerana beranggapan ia tidak mungkin atau belum terjadi pada diri sendiri. Sekurang-kurangnya ambil peduli mengenai teknik menyelamatkan diri agar tidak dicederakan oleh penjenayah.
“Mereka boleh gunakan semburan lada, malah beg tangan dan kasut sebagai senjata pada saat kecemasan supaya penjenayah berasa terkejut atau takut lalu melarikan diri,” katanya pada majlis perasmian kempen berkenaan.
Kempen terbabit yang akan dianjurkan di seluruh negara merangkumi elemen penting seperti bengkel antijenayah dan pameran mengenai pelbagai peralatan perlindungan untuk wanita.
Ia mendapat sokongan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat serta Kementerian Dalam Negeri.
Objektifnya adalah mewujudkan kesedaran, meningkatkan pengetahuan dan kemahiran wanita mengenai cara, teknik dan langkah pencegahan atau keselamatan yang boleh diambil untuk melindungi diri dan keluarga daripada ancaman jenayah.
Timbalan Ketua Setiausaha (Operasi) Jabatan Kebajikan Masyarakat, Datuk Sabariah Hassan berkata, penjenayah jalanan yang melakukan ragut, samun tanpa senjata dan samun berkawan, cenderung memilih wanita sebagai mangsa.
“Kes jenayah membabitkan keganasan terhadap wanita banyak dilaporkan. Ini termasuk jenayah rogol, sumbang mahram, cabul dan keganasan rumah tangga.
“Tanggungjawab membanteras jenayah tidak seharusnya diletakkan di bahu pihak polis semata-mata kerana sebenarnya, ia tanggungjawab kita bersama iaitu seluruh anggota masyarakat,” katanya.
Pelbagai program dilaksanakan kementerian yang bertujuan meningkatkan kesedaran dan pengetahuan wanita khasnya dalam menangani masalah jenayah yang menyasarkan mereka supaya dapat bersiap sedia atau peka mengenai keselamatan diri.