Tiba-tiba Tak Dengar

zaisa@hmetro.com.my

Tiada siapa mampu menduga anak yang dilahirkan sihat tiba-tiba hilang pendengaran. Demikianlah ujian berat dilalui pasangan Mohd Shahid Mohamed Fatil, 28, dan Nurul Habibah Abdul Rahman, 31, apabila anak mereka, Muhammad Ziyad Iman, mengalami masalah deria pendengaran akibat komplikasi meningitis iaitu radang pada bahagian meninges (selaput otak dan saraf tunjang) akibat jangkitan virus atau bakteria. Bayi berusia 18 bulan itu dikatakan mendapat jangkitan penyakit berbahaya terbabit ketika berusia lima bulan.

Walaupun sudah pulih daripada penyakit terbabit, Muhammad Ziyad Iman terdedah kepada komplikasi penyakit yang mengganggu sistem saraf dan menyebabkan si kecil ini hilang pendengaran.

Menurut Nurul Habibah, beliau menyedari sesuatu tidak kena pada anaknya apabila bayi berkenaan tidak memberikan sebarang tindak balas kepada bunyi selepas pulih daripada meningitis.

“Saya mula menyedari kekurangan itu apabila Ziyad tidak terkejut langsung dengan bunyi bising daripada penyedut hampagas berhampirannya.

“Namun demikian saya tidak mengesyaki apa-apa sehingga dia berusia setahun apabila didapati tindak balasnya terhadap bunyi semakin negatif iaitu langsung tidak menunjukkan reaksi.

“Saya juga bertambah pelik apabila dia tidak teruja seperti bayi lain apabila diagah, malah langsung tidak mengeluarkan suara atau bercakap,” katanya.

Nurul Habibah berkata, anaknya kemudian dibawa ke klinik menjalani ujian pendengaran sebelum disahkan hilang pendengaran. Enggan tunduk pada takdir, Nurul Habibah dan suami berusaha merawat masalah pendengaran itu dan merujuk anak mereka kepada Pakar Perunding Kanak-kanak Pusat Perubatan Sunway (SunMed), Dr Rosalie Yip, untuk penilaian pendengaran lanjut.

Tindak balas Muhammad Ziyad Iman terhadap bunyi dikatakan tidak konsisten dan si kecil itu kemudian disyorkan untuk menjalani pembedahan menanam implan koklea berikutan dia menerima manfaat yang terhad menerusi penggunaan alat bantuan pendengaran biasa.

“Rawatan melalui pembedahan implan koklea adalah pilihan terbaik dan satu-satunya jalan penyelesaian bagi mereka yang pekak sepenuhnya dan tidak dapat menggunakan alat bantuan pendengaran biasa.

“Tambah lagi, saya dimaklumkan jika pembedahan berkenaan tidak dilakukan segera, masalah hilang pendengaran ini akan menjejaskan keupayaan Ziyad dalam pembangunan pertuturan dan bahasa.

“Malah, Ziyad yang mempunyai sejarah menghidap meningitis juga menjadikan dia lebih mudah terdedah kepada proses formasi koklea atau pengerasan tisu kepada tulang yang akan menyukarkan dia untuk menjalani penanaman implan pada masa akan datang,” katanya.

Beliau difahamkan pembedahan implan koklea perlu dimulakan seawal mungkin sebaik masalah itu dikesan kerana jika dibiarkan, Muhammad Ziyad Iman akan menghadapi masalah untuk belajar bertutur. Lebih awal menggunakan alat bantuan pendengaran itu adalah lebih baik kerana semakin umur meningkat, kebolehan untuk bertutur semakin rendah.

Nurul Habibah gembira apabila masalah pendengaran anak kesayangan boleh dirawat dan si kecil mampu mendengar seperti sediakala selepas diberitahu mengenai pembedahan implan koklea itu. Namun, hati yang berbunga riang itu kembali gundah apabila mendapat tahu kos pembedahan bagi sepasang peranti implan koklea adalah RM138,600.

Menurut Nurul Habibah, beliau sekeluarga tidak mempunyai kewangan yang mencukupi untuk membiaya pembedahan berkenaan, malah pihak insurans juga tidak mempunyai perlindungan untuk penanaman implan terbabit. Disebabkan keluarganya mengalami masalah untuk mengumpul dana yang diperlukan bagi pembelian peranti, pasukan Pusat Perubatan Sunway (SunMed) tampil menghulur bantuan menerusi tanggungjawab sosial korporat (CSR) dengan menaja kos implan berkenaan.

SunMed mempunyai program implan koklea paling lama beroperasi di hospital swasta sejak 2004, malah hospital ini juga adalah pusat tunggal yang mengadakan majlis unik bertema Switch On untuk semua individu yang pernah menjalani pembedahan implan koklea di SunMed.

Majlis ini sempena kejayaan pembedahan dan pengaktifan implan koklea serta meraikan pengalaman pendengaran pesakit termasuk kesan positif implan koklea dalam kehidupan pesakit. Setakat ini, seramai 40 individu melakukan pembedahan implan koklea sama ada kedua-dua telinga atau sebelah saja.

Pembedahan implantasi untuk Muhammad Ziyad Iman dijalankan Perunding dan Pakar Bedah Mata, Telinga dan Tekak, SunMed, Dr Koay Cheng Boon, manakala proses pemulihan lanjut pula diuruskan satu pasukan pakar klinikal dari Pusat Pendengaran dan Pertuturan SunMed terdiri pakar audiologi dan ahli terapi pertuturan bahasa.

Pembedahan implantasi kali pertama pada telinga kanan Muhammad Ziyad Iman dilakukan pad 19 November 2015, manakala telinga kiri pada 11 Januari lalu.

Menurut Dr Koay, implan koklea adalah alat elektronik yang ditanam dalam kepala melalui pembedahan bagi membantu memberi deria pendengaran bagi mereka yang mempunyai masalah pendengaran teruk ke sangat teruk dan yang tidak dapat lagi dibantu dengan alat bantu pendengaran biasa.

Komponen implan koklea membabitkan bahagian dalam iaitu implan dan baris elektrod, manakala bahagian luar pula pemproses bunyi. Fungsinya juga berbeza dengan alat bantu pendengaran yang digunakan untuk menguatkan bunyi, sebaliknya implan koklea membantu menggantikan fungsi telinga dalam yang rosak bagi memproses bunyi dan menghantar isyarat ke otak.

Pemeriksaan imbasan tomografi berkomputer (CT Scan) dan imbasan Magnetic Resonance Imaging (MRI) akan dilakukan pakar ENT bagi memeriksa struktur telinga dalam dan saraf pendengaran bagi menilai sama ada pesakit sesuai menjalani pembedahan implan koklea atau tidak.

“Pembedahan implan koklea mengambil masa antara tiga hingga empat jam dalam keadaan bius sepenuhnya dengan menggunakan mikroskop dan ia dilakukan di bahagian belakang cuping telinga dan menggerudi sedikit pada tengkorak untuk menyediakan tapak bagi menempatkan implan, manakala satu lubang lain ditebuk sehingga ke koklea untuk memasukkan elektrod.

“Selepas elektrod berjaya dimasukkan, pakar audiologi akan menguji tahap kerintangan implan terlebih dulu untuk memastikan implan itu memberi tindak balas terhadap sejumlah arus elektrik yang diberi sebelum bukaan untuk implan dijahit.

“Pakar bedah juga akan membuat ujian sinar-X sehari selepas pembedahan untuk memeriksa kedudukan elektrod adalah betul. Selepas dua hingga tiga minggu, luka pembedahan akan sembuh sepenuhnya dan pengaktifan pemproses bunyi akan dilakukan oleh pakar audiologi,” katanya.

Pakar Audiologi Kanan Sun-Med, Ellin Fariza Selamat berkata, selepas pembedahan komponen luar, implan koklea akan diaktifkan dan pemproses bunyi akan diprogram melalui proses pemetaan.

Proses pemetaan dilakukan dengan memberi sejumlah arus elektrik untuk merangsang implan. Proses ini dilakukan secara peringkat dan tahap pendengaran berbantu (aided evaluation) dengan implan koklea perlu diuji untuk mengetahui sejauh mana pesakit boleh mendengar dengan bantuan implan koklea.

“Bagi pesakit yang sudah lama tidak dapat mendengar atau tidak pernah mendengar, ia akan mengambil masa bagi otaknya membiasakan dengan rangsangan daripada implan.

“Ibu bapa atau penjaga juga perlu terbabit secara aktif dan digalakkan banyak bercakap dengan anak yang baru menerima alat bantu pendengaran atau implan koklea ini bagi merangsang kebolehannya bertutur.

“Jika sudah dipasangkan dengan alat bantu pendengaran yang sesuai, kanak-kanak bermasalah pendengaran akan diajar mengikut perkembangan pendengaran dan pertuturan kanak-kanak dengan pendengaran normal,” katanya.

Sementara itu, Pakar Patologi Pertuturan-Bahasa SunMed, Christine Yu Lee Mei berkata, selepas pembedahan menerima implan koklea, Muhammad Ziyad Iman perlu menjalani pemulihan bagi melatih keupayaan mendengar, berbahasa dan berkomunikasi.

“Teknik mendengar dan berbahasa dipelajari di klinik perlu diamalkan dalam aktiviti seharian di rumah untuk memastikan pesakit menerima rangsangan pendengaran dan bahasa sepanjang hari. Disebabkan itu juga kami turut melatih ibu bapa dan ahli keluarga lain untuk mengajar kanak-kanak yang memakai implan koklea berkomunikasi.

“Ini kerana kanak-kanak belajar bercakap melalui pendengaran dan apabila pendengaran kurang, pertuturan juga sukar dan kurang jelas. Terapi pemulihan yang intensif dan berterusan penting supaya kanak-kanak yang mempunyai implan koklea dapat mencapai tahap terbaik pendengaran dan pertuturan seperti rakan sebaya,” katanya.

Leave a Reply

You must be logged in to post a comment.

227 views