Tibi Ragut Sejuta Nyawa

Penyakit tibi (tuberkulosis) juga dikenali sebagai batuk kering antara penyakit tertua di dunia dan masih menjadi masalah utama di dunia termasuk di negara ini.

Di seluruh dunia, penyakit tibi adalah penyakit yang paling banyak menyebabkan kematian dan ia berada pada tahap membimbangkan.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menganggarkan sembilan juta penduduk dunia menghidap penyakit tibi dengan sejuta kematian.

Jika tidak dirawat, setiap pesakit tibi yang aktif akan ‘menghadiahkan’ penyakit ini kepada 10 hingga ke 15 orang setiap tahun.

Pengarah Institut Perubatan Respiratori dan Pakar Perunding Kanan Perubatan, Datuk Dr Abdul Razak Muttalif berkata, tahun lalu negara kita mencatatkan 24,071 kes penyakit tibi berbanding tahun sebelumnya iaitu 22,710 kes. Ia menunjukkan peningkatan sebanyak enam peratus atau 1,361 kes.

Katanya, jumlah itu amat membimbangkan dan menjadikan penyakit ini kedua tertinggi dalam kalangan penyakit berjangkit.

“Tibi menjadi punca utama kepada kematian akibat penyakit berjangkit dengan kematian sebanyak 1,597 kes pada tahun lalu berbanding 1,414 kes pada 2012. Ini menunjukkan peningkatan sebanyak 13 peratus atau 183 kes.

“Dari 2011 hingga 2013 seramai 42,908 pesakit berjaya menamatkan rawatan tibi sepenuhnya dan 380,777 orang menjalani pemeriksaan penyakit ini,” katanya.

Kebanyakan yang meninggal dunia ialah mereka yang berusia dan golongan warga emas kerana kurang daya tahan untuk melawan penyakit.

Menurutnya, tibi ialah sejenis penyakit yang dibawa oleh bakteria mycrobacterium tuberculosis atau kuman tibi. Bakteria berbahaya itu bertindak menyerang paru-paru dan bahagian lain dalam tubuh seseorang seperti tulang, sendi dan buah pinggang.

Antara tanda awal penyakit ini ialah batuk kering, kurang berat badan, hilang selera makan dan batuk berdarah dengan kerap.

Antara pesakit yang mudah atau berisiko tinggi menghidap tibi ialah mereka yang mendapat jangkitan kuman di paru-paru, asma dan penghidap penyakit sekatan pulmonari kronik (COPD).

Pesakit kencing manis contohnya berisiko mendapat tibi kerana daya ketahanan badan mereka melawan kuman tibi agak rendah. Hasil kajian mendapati seorang daripada lima pesakit kencing manis akan menghidap tibi.

Penyakit ini sering terjadi dalam kalangan mereka yang berusia antara 30 hingga 50 tahun yang banyak terdedah kepada risiko jangkitan seperti berada di persekitaran sama dengan individu yang berpenyakit atau kerap bekerja di lapangan.

Wanita juga tidak terkecuali daripada penyakit tibi walaupun kebanyakan masa berada di rumah. Mereka berisiko mendapat jangkitan jika di pejabat suami ada orang yang menghidap tibi.

Kanak-kanak juga akan terkena jangkitan kuman ini sekiranya berada di kawasan golongan berpenyakit, namun ia tidak membimbangkan dan masih terkawal.

Orang muda yang mempunyai penyakit lain iaitu HIV turut berisiko tinggi mendapat penyakit ini. Daripada rawatan yang diberikan kepada pesakit, didapati 50 peratus daripada pesakit HIV menghidap tibi dan ia boleh menyebabkan kematian.

HIV dan tibi mempunyai hubung kait yang sangat rapat kerana pesakit HIV memang mengalami masalah kekurangan daya ketahanan tubuh untuk melawan sebarang penyakit terutama batuk kering.

“Kebanyakan pelarian yang ada di negara kita menghidap tibi. Apa yang lebih membimbangkan ialah tibi yang mereka hidapi itu adalah jenis kebal yang sukar untuk dirawat dengan ubat biasa.

“Mereka perlu dirawat dengan ubat khas yang memakan masa agak lama iaitu sekurang-kurangnya selama dua tahun. Ubat yang diberikan kepada mereka juga agak mahal daripada ubat biasa,” katanya.

Beliau berkata, 60 peratus daripada pelarian berisiko maut. Dalam kalangan rakyat negara, kita hanya 1.3 peratus saja menghidap penyakit tibi kebal.

Penyakit tibi ini boleh dirawat dan akan sembuh sepenuhnya jika mendapat rawatan awal, tetapi ia boleh menyebabkan kematian sekiranya lambat dikesan dan pesakit gagal mematuhi jadual pengambilan ubat.

Ini kerana kuman tibi boleh merosakkan paru-paru dan kerosakan ini tidak boleh dipulihkan. Malah kerosakan paru-paru yang teruk akan menyukarkan rawatan dan penyembuhan.

Sekiranya mempunyai tanda awal penyakit ini lebih baik datang awal untuk mendapatkan rawatan dengan melakukan ujian tertentu iaitu ujian kahak dan sinar-X.

Kedua-dua ujian ini akan dapat mengesan penyakit tibi dan seterusnya pakar perubatan akan memberikan ubat tertentu kepada pesakit untuk mematikan kuman tibi.

Dr Abdul Razak berkata, jika seseorang mengalami batuk berpanjangan dalam tempoh dua minggu lebih baik mendapatkan rawatan segera untuk mengelakkan kuman tibi itu merosakkan paru-paru dan mengganggu sistem pernafasan.

Antara ubat yang akan diberikan kepada pesakit ialah antibiotik khas untuk membunuh kuman dan perlu diambil mengikut peraturan ditetapkan.

“Sebanyak 60 peratus daripada pesakit kurang kesedaran terhadap penyakit ini apabila mereka datang lambat ke klinik atau hospital untuk mendapatkan rawatan. Mereka datang apabila tibi sudah merebak ke paru-paru dan dalam keadaan teruk.

“Akibat kelalaian tidak mendapatkan rawatan dengan betul, ia akan menyebabkan risiko kematian kerana akan menggagalkan sistem pernafasan kerana saluran udara menjadi sempit,” katanya.

Menurutnya, penyakit ini boleh dirawat dan pesakit boleh sembuh sepenuhnya dengan menggunakan rawatan ubat-ubatan khas yang diambil dalam tempoh enam bulan.

Ia perlu dimakan secara konsisten selain kerap bertemu pakar perubatan untuk mendapatkan khidmat nasihat.

Risiko untuk mendapat jangkitan semula memang ada, tetapi tidak tinggi iaitu hanya lima peratus saja. Risiko mendapat jangkitan kali kedua lebih tinggi pada bekas pesakit tibi kebal.

Cara untuk mengelakkan penyakit ini? Mudah saja. Dr Abdul Razak menasihatkan supaya kita mengamalkan cara hidup sihat dengan menjaga pemakanan, melakukan senaman mengikut rutin, tidur secukupnya dan jangan merokok. Bagi mereka yang merokok disarankan untuk berhenti.

Jika ada tanda awal lebih baik membuat pemeriksaan dengan cepat menggunakan ujian tertentu. Kini ada pelbagai kemudahan yang disediakan Kementerian Kesihatan untuk mencegah dan merawat pesakit tibi antaranya ialah menambah sebanyak 118 buah atau 28 peratus peralatan diagnosis di klinik dan hospital.

Peralatan ini akan mempercepatkan proses mengesan tibi dan memudahkan pakar perubatan menjalankan rawatan kepada pesakit. Jadi kepada mereka yang mengalami gejala seperti di sebut di atas, manfaatkan 535 peralatan diagnosis yang disediakan kerajaan itu sebaiknya demi kesihatan kita bersama.

Leave a Reply

You must be logged in to post a comment.

621 views