Tidak Jemu Tambah Ilmu

Melihat koleksi gambar bayi yang baru saja berusia seminggu di dalam bakul rotan dengan pelbagai aksi berbeza, ia tentunya menimbulkan rasa teruja, lebih-lebih lagi kepada bakal ibu atau sesiapa saja yang melihatnya. Mungkin lontaran pertama yang terkeluar daripada bibir mereka, ‘Bagaimana penggambaran dilakukan?’ atau ‘Adakah bayi ini tidak meragam diperlakukan sedemikian rupa atau ia melalui teknik tindan padan?’

Jika dulu menyimpan gambar bayi baru lahir atau menggantung bingkai gambar di dinding dianggap kurang perlu atau membazir tetapi kini ia menjadi satu kemestian terutama bagi ibu bapa moden yang ingin mengabadikan gambar si kecil dalam suasana berbeza dan istimewa.

Anggapan mereka, biarlah ia kekal menjadi kenangan terindah dan boleh ditunjukkan kepada anak-anak apabila mereka dewasa kelak.

Bertanya lebih lanjut kepada tiga jurugambar profesional wanita, mereka memberitahu, pengalaman mengambil gambar bayi baru lahir lebih mencabar berbanding kanak-kanak atau dewasa.

Ini diakui Rumaizah Abdul Wahab yang mengatakan kunci utama dalam pengambilan gambar bayi adalah kesabaran yang tinggi. Walaupun masih kecil, bayi mempunyai keperluan sendiri dan jurugambar perlu mengambil kira keselesaan mereka. Kadang-kadang sesi penggambaran boleh mengambil masa lima hingga enam jam kerana bayi berhenti menyusu, perlu ditukar lampin dan tidur.

Dia yang memulakan kerjaya jurugambar selepas melahirkan anak ketiga tiga tahun lalu, mengakui minat mengambil gambar bayi timbul kerana mahu mengabadikan saat awal kelahiran untuk dijadikan kenangan. Oleh itu, dia memberanikan diri mengambil gambar anak ketika dalam pantang.

“Saya sendiri merasai cabarannya walaupun ketika itu saya mempunyai banyak masa bersamanya. Ini kerana ketika tidur saya perlu meletakkan bayi dalam keadaan paling menarik dan ini sudah tentu mengganggu tidurnya. Namun selepas melihat hasilnya, memang saya sangat teruja. Bermula dari situ timbul minat dan keseronokan sehingga saya menjadikan bidang ini sebagai kerjaya utama.

“Walaupun dulunya bermula dengan fotografi perkahwinan, lama kelamaan saya mula jatuh hati dengan gambar potret terutama bayi dan kanak-kanak kerana merasakan setiap gambar yang dirakamkan begitu suci dan boleh menceriakan sesiapa saja. Tambahan pula bidang ini begitu dekat dengan naluri keibuan, menguji kesabaran dan daya kreativiti seseorang,” katanya yang belajar menerusi pengalaman dan mengikuti kelas dalam talian daripada jurugambar luar negara bagi mendalami seni gambar bayi yang begitu menitikberatkan keselamatan dan kesempurnaan.

Rumaizah yang memuatkan hasil kerja dalam www.thelittlebigshots.com dan menjelaskan, bagi memudahkan kerja atau mengelakkan wujud masalah pada saat akhir, dia membuat sedikit penyelidikan mengenai sifat anak, peralatan digunakan serta lokasi penggambaran.

Ini kerana walaupun bayi tidak banyak bergerak, mereka sangat sensitif kepada suasana persekitaran dan kadang-kadang memerlukan masa yang agak lama untuk mententeramkannya semula. Jadi jurugambar perlu mengambil dari setiap sudut untuk memastikan hasil menarik dan terbaik.

Ditanya bagaimana mendapat idea untuk hasil yang berbeza, jelas Rumaizah, biasanya ilham datang secara spontan ketika sesi penggambaran. Dengan hanya mengubah sedikit sudut pandangan, hasilnya cukup menyerlah.

“Saya juga mengalu-alukan pandangan daripada ibu bayi berkenaan kerana ia menjadikan gambar lebih eksklusif dan menarik. Begitu juga dengan peralatan yang saya sediakan, ada juga ibu bapa prihatin dan ingin menggunakan peralatan sendiri seperti selimut dan topi yang mungkin ada kenangan sendiri.

“Saya pernah mengambil gambar bayi dengan kamera vintaj milik ibu bapa bayi itu. Ia penuh kenangan dan saya merasakan itu sesuatu yang unik dan sesuai dirakamkan,” katanya yang menjadikan pasangan jurugambar, Kelley Ryden dan Tracy Raver dari Omaha, Nebraska sebagai idola. Ini kerana setiap gambar mereka menjadikan fotografi bayi sebagai seni yang tidak ternilai harganya.

Tidak seperti bangsa lain yang begitu menghargai gambar bayi, cabaran paling utama adalah untuk meyakinkan masyarakat terutama Melayu mengenai pentingnya merakamkan saat awal bayi kerana bayi cepat membesar. Jadi jari-jemarinya yang halus dengan kulit merah mengelupas antara perkara pertama yang amat perlu dirakamkan seawal mungkin.

“Namun begitu, masyarakat kini semakin terbuka untuk mengabadikan gambar si comel sebaik dilahirkan kerana inilah yang akan menjadi kenangan seumur hidup apabila anak-anak dewasa kelak,” ujarnya yang meletakkan harga RM500 ke atas untuk pakej penggambaran.

Papar sentuhan tersendiri

Menyedari kurangnya pembabitan jurugambar wanita dalam penghasilan gambar bayi dan kanak-kanak mendorong Amelia Shafer menceburi bidang ini dan menjadikannya sebagai kerjaya tetap. Selain sukakan bayi dan kanak-kanak, keterbukaan masyarakat Malaysia dalam memaparkan wajah dan detik terindah bayi mereka sememangnya sesuatu yang unik dan perlu disimpan sebagai kenangan sepanjang hayat.

Berbeza dengan gambar perkahwinan, mengendalikan bayi baru lahir adalah sesuatu yang sangat mencabar. Ini kerana mereka sukar dijangka, tidak mampu menerima arahan dan mempunyai pelbagai ragam.

“Mengambil gambar potret bayi baru lahir bukanlah sesuatu yang mudah. Oleh kerana bayi sukar dijangka dan kadangkala tidak selesa ketika sesi penggambaran, saya perlu mengenal pasti sebab bayi tidak selesa supaya saya mampu merakamkan gambar tanpa gangguan.

“Kadangkala ia mengambil lebih masa yang sepatutnya sehingga satu atau dua jam daripada jangka masa sebenar. Apa yang saya lakukan adalah memastikan bayi cukup tidur dan kenyang supaya mereka tidak buat hal,” katanya yang mula mengambil gambar anak sendiri, rakan dan saudara-mara sehingga mendapat kepercayaan orang ramai.

Contohnya, ketika mengambil gambar anak salah seorang pelanggan tetapnya, Rozita Yusof yang baru berusia 14 hari, Amelia memerlukan masa hampir enam jam kerana bayinya meragam.

“Oleh kerana Rozita pelanggan tetap, saya melanjutkan tempoh daripada tiga jam kepada masa tambahan tiga jam lagi sehingga saya berpuas hati dengan hasilnya.

Cabaran lain adalah memastikan pelanggan faham harga ditetapkan. Selain masa, mereka membayar kreativiti dan barang yang ditempah khusus untuk bayi,” katanya yang memastikan kamera berada dalam keadaan baik, keperluan bergambar dalam keadaan bersih dan dikelaskan mengikut jantina dan umur bayi serta tema yang dipersetujui pelanggan.

Kebanyakan rujukan Amelia daripada laman sesawang luar negara yang mereka sedaya upaya memperagakan bayi dalam pelbagai konsep dan stail.

“Ini menarik minat saya selain tertarik dengan penggunaan peralatan berwarna-warni. Namun demikian saya juga sedaya upaya memastikan sentuhan mempunyai identiti sendiri seperti mengenakan pakaian bertemakan ikan duyung, coklat, adiwira Batman dan Superman,” ujarnya yang sering menghadiri kelas berkaitan portraiture yang dijalankan jurugambar profesional dan selebihnya diperoleh daripada YouTube.

Walaupun dulu gambar potret bayi dan kanak-kanak kurang mendapat sambutan, kini berdasarkan pemerhatiannya, masyarakat di Malaysia mula memandang positif mengenai pentingnya menyimpan gambar sebagai kenangan.

“Walaupun tinggal di Pulau Pinang, saya melihat potensi profesion ini bakal berkembang memandangkan saya kerap menerima tempahan di luar kawasan Pulau Pinang iaitu Kuala Lumpur dan Shah Alam sedangkan perniagaan saya bertapak di utara.

“Walaupun jauh dan dikenakan bayaran lebih, mereka tetap berminat kerana inginkan sentuhan tersendiri. Saya pasti fenomena ini juga bakal berlaku di kawasan utara sedikit masa lagi,” katanya yang menetapkan harga bermula daripada RM588 hingga RM1,588.

Dia yang memuatkan hasil kerja menerusi www.ameliashafer.com dan www.facebook.com/AmeliaShaferPhotography berharap lebih ramai jurugambar wanita berani mendekati bidang bayi dan kanak-kanak manakala ibu bapa lebih terbuka untuk mengabadikan gambar si comel mereka.

Leave a Reply

You must be logged in to post a comment.

581 views