Tidak Semua Gaun Sesuai Digayakan
Persekitaran semula jadi dengan tumbuhan hijau mampu membangkitkan aura kepada mempelai disebabkan hubung kait dengan alam menjadikan perasaan lebih ceria seterusnya terpancar menerusi wajah.
Selain pakaian dan solekan pemilihan lokasi perkahwinan juga sangat penting kerana ia akan memberikan impak berbeza kerana akan mempengaruhi rona pakaian dan solekan.
Untuk majlis berkonsepkan dalam taman misalnya pengantin Muslimah sesuai memperagakan busana daripada rangkaian rona lembut seperti ungu, putih, hijau, kelabu dan keemasan. Ini kerana semua warna ini mampu mewujudkan unsur keceriaan apabila bergabung dengan suasana semula jadi sekali gus menonjolkan keanggunan mempelai.
Menurut pemilik D’Cinnamon Beauty House Butik Pengantin yang hanya mahu dikenali sebagai Hanie, kebanyakan mempelai kini sering membuat rujukan menerusi majalah dan Internet mengenai konsep serta gaun yang akan digayakan pada hari persandingan. Namun apa yang dipamerkan di dalamnya mungkin tidak sesuai digayakan semua kerana bergantung kepada bentuk badan, warna kulit dan ketinggian ratu sehari.
“Tidak semua pengantin sesuai dengan konsep dan warna diketengahkan seperti yang digayakan model kerana ia bergantung kepada bentuk badan, warna kulit, ketinggian dan ukuran badan. Ada yang nampak cantik pada orang lain tidak semestinya cantik untuk diri sendiri,” ujarnya.
Sebagai perunding perkahwinan, walaupun Hanie sedaya upaya menyediakan keperluan mengikut pilihan mereka, tetapi dia akan memberikan pendapat bukan saja berdasarkan keperluan tetapi penampilan. Sebaiknya busana harus menonjolkan kelebihan dan menutupi kekurangan bentuk tubuh kerana di sinilah letaknya titik tumpu pandangan tetamu.
“Misalnya mempelai berbadan comel mungkin tidak sesuai memakai rekaan gaun kembang kerana ia akan hanya menampakkan badan lebih besar. Sebaik pilih potongan kembang bawah serta mengikut bentuk tubuh,” jelasnya.
Selain potongan, warna juga memainkan peranan penting kerana ia akan menunjukkan sama ada konsep pilihan bersesuaian dengan karektor mempelai. Jika dulu pengantin gemar memilih warna merah kerana lebih menonjol tetapi kini rona pastel mewarnai konsep majlis. Kelabu, putih, krim, coklat dan kuning keemasan yang digabungkan dengan ungu lembut, merah jambu dan perak sesuai untuk mereka yang inginkan kelainan.
“Pemilihan warna memainkan peranan penting kepada mempelai. Sebaiknya bertanya kepada perunding majlis mengenai konsep yang anda inginkan bagi mengelak anda mengenakan busana yang tidak sesuai dengan warna kulit dan bentuk tubuh,” katanya.
Hanis yang banyak menghasilkan rekaan potongan gaun kembang, memilih busana menggunakan fabrik renda Perancis atau Swiss, shantung, sutera Itali, organza atau sifon yang beralun cantik pada tubuh si pemakai.
“Biasanya saya mencadangkan mempelai memilih tema moden atau kontemporari sesuai dengan arus fesyen semasa. Misalnya gaun berpotongan empayar yang akan menampakkan kelangsingan tubuh lebih sesuai digayakan untuk majlis dalam taman atau dewan,” katanya.
Butik D’Cinnamon Beauty House yang dibuka sejak 10 tahun lalu menyediakan kepelbagaian busana pengantin sama ada untuk majlis pertunangan, pernikahan atau persandingan. Untuk lelaki selain baju Melayu turut disediakan adalah sut lengkap berpotongan moden dan kontemporari bersama padanan gaun untuk wanita.
Dikhususkan untuk pengantin bertudung dan tidak bertudung, pakej disediakan meliputi pelamin, solekan, katering dan sewa baju pengantin pada harga RM1,200 ke atas.
Terima kasih Butik D’Cinnamon Beauty House 27M, Jalan Kosas 1/2, Taman Kosas Ampang, Selangor (012-9368598)