Tinggal Kerja Sebagai Setiausaha

Cabaran silih berganti menghambat dirinya, tetapi ia tidak sesekali melumpuhkan semangat untuk meneruskan hidup biarpun pernah diuji hebat apabila kehilangan dua insan paling disayangi dalam tempoh hanya berselang tujuh bulan.

Begitulah tabahnya Rozita Abd Kader, 50, dalam menempuh perjalanan hidupnya sebagai wanita, ibu dan pemilik kilang kecil perniagaan biskut raya Ita’s Delight yang terletak di Klang, Selangor.

Apabila anak lelaki pertama meninggalkan dirinya pada usia 28 tahun akibat serangan asma tahun lalu sebelum suaminya yang dikahwini lapan tahun lalu meninggal dunia akibat serangan jantung tiga bulan lalu, wanita itu bagaikan hilang arah seketika hingga mahu melepaskan perniagaan yang sudah diusahakan sejak 15 tahun lalu.

Namun, sokongan orang sekeliling selain percaya kepada qada dan qadar Allah SWT membantu memulihkan semangatnya, apatah lagi dia masih memiliki seorang lagi cahaya mata, Mohd Afiq Daniel Md Hanief, 13, yang menjadi sumber kekuatan dirinya.

Memperkatakan mengenai kesedihannya, Rozita tanpa berselindung mengakui dia separuh ‘gila’ memikirkan dugaan yang menimpa ditambah pula anak lelaki sulung ibarat tangan kanan yang banyak membantu dari segi perniagaan.

Pada awal kehilangan orang tersayang, dia menangis setiap hari dan berbual dengan gambar mereka kerana tidak tertanggung rasanya kesedihan di hati, namun dia bangkit semula dengan pandangan positif.

“Hidup mesti diteruskan dan saya percaya ia satu ujian yang membuatkan saya bertambah matang melayari kehidupan. Setiap kali pulang ke rumah, saya dihambat kepiluan apatah lagi gambar anak dan suami banyak di dinding rumah.

“Demi memberi semangat baru, saya melakukan beberapa pengubahsuaian dan mengecat semula rumah supaya ia nampak berbeza sikit selain menjadi simbol permulaan baru dalam hidup saya,” katanya ketika ditemui, baru-baru ini.

Bagi melupakan kesedihan, Rozita tetap meneruskan perniagaan dan menganjurkan bengkel memasak biskut raya biarpun ada kata-kata nakal yang mempersoalkan dirinya yang masih dalam edah, namun dia tidak sanggup menangis setiap saat atau mengecewakan peserta yang sudah lama berharap menyertai bengkel yang diadakan.

Meminati bidang masakan, suatu waktu dulu dia menjual biskut raya demi menambah pendapatan. Kini, Rozita boleh berbangga kerana memiliki kilang kecil yang mampu mengeluarkan 25 jenis biskut antaranya tart nanas, almond london, choc chip, strawberry finger dan pandan delight.

Pernah bertugas sebagai setiausaha, dia akhirnya mengambil keputusan berhenti kerja dan menumpukan sepenuh perhatian kepada perniagaan biskut raya yang menjana pendapatan ribuan ringgit setiap bulan.

Kehilangan suami dan anak juga membakar semangatnya untuk merancang langkah lebih jauh dan mengembangkan perniagaan termasuk menjual kuih-muih beku seperti yang diimpikannya sebelum ini.

Memegang falsafah ‘kejatuhan bukan suatu kekalahan, tetapi batu loncatan untuk melangkah lebih jauh’, dia akui setiap harinya dipenuhi pelbagai aktiviti. Jika Isnin hingga Sabtu, dia berada di kilang, hujung minggu pula sibuk dengan mengajar orang memasak biskut raya menerusi bengkel yang diadakan di seluruh negara.

Berkongsi tip kejayaannya sebagai usahawan biskut raya, Rozita berkata, seseorang perlu memilih satu cabang perniagaan dan berusaha memajukannya.

“Kesilapan yang sering berlaku apabila ramai yang mahu membuat dua atau tiga perniagaan sekali gus. Sukar untuk memberi tumpuan pada satu cabang membuatkan mereka sukar merencanakan perjalanan perniagaan, akhirnya gagal semua sekali.

“Selain itu, pilihlah jenis perniagaan yang kita minati kerana jika tiada minat, susah juga hendak pergi jauh. Saya sendiri misalnya, hanya fokus pada perniagaan biskut raya biarpun saya sebenarnya boleh memasak jenis masakan lain termasuk kek.

“Sekiranya ia diberi tumpuan, produk yang dihasilkan lebih berkualiti. Biskut raya dari kilang saya tidak dibuat secara lambakan demi memestikan rasanya terpelihara,” katanya yang turut dilantik sebagai duta dan barisan panel untuk jenama mentega, Buttercup.

Selain biskut raya Ita’s Delight, Rozita turut menjalankan perniagaan berkaitan iaitu hamper dan kuih raya, Ita’s Sweet Gift. Lebih membanggakan, dia turut mendapat kepercayaan menghasilkan biskut lazat untuk projek terbaru Istana Negara dan diiktiraf sebagai Usahawan Negeri Selangor dan SIRIM pada tahun lalu.

Malah, Rozita juga pernah menghasilkan sembilan buku masakan yang popular antaranya Semanis Rasa Kak Ita, Festival Biskut Raya, Inspirasi Kek, Kuih Tradisional Rasa Baru, Muffin dan Cupcake serta Rahsia Resipi Biskut Kak Ita untuk memudahkan ramai menghasilkan sendiri kuih raya di rumah mereka.

“Saya juga pernah menghasilkan resipi untuk seorang usahawan biskut raya dan kini dia sudah pun bergelar jutawan malah kami sering bertemu untuk belajar resipi baru,” katanya yang turut memaparkan kuih rayanya di www.ita-delight.com.

Sebagai usahawan biskut raya, Rozita menjual produknya secara pukal kepada ejen pada harga RM20 satu bekas. Dia juga menjual kepada peniaga hamper dan menghasilkan cenderahati perkahwinan atas permintaan. Biskut raya yang dihasilkan Rozita turut dijual di pusat beli-belah Aeon dan Isetan setiap kali musim perayaan.

Leave a Reply

You must be logged in to post a comment.

434 views