Tinggalkan Dunia Makan Gaji

Selendang separa bulat yang mudah dibentuk tampak mewah dan bergaya pada harga berpatutan menjadi antara penggerak utama kepada kejayaan perniagaan yang dijalankan secara usaha sama antara dua sahabat ini.

Lebih memberi tumpuan kepada keperluan golongan wanita yang sentiasa sibuk, baik dengan karier atau keluarga, tetapi pada masa mencintai fesyen, Puteri Maizura Razali, 34, dan Puteri Farah Najwa Megat Ahmad Tahwil, 30, mula serius membangunkan perniagaan tudung mereka pada 2013 selepas masing-masing sedar mereka berkongsi aspirasi yang sama.

Menurut Puteri Farah Najwa, mereka bekas rakan sekerja ketika dia masih bertugas di syarikat korporat, namun minat yang lebih terarah kepada perniagaan mendorongnya meninggalkan dunia makan gaji.

Namun, pada awalnya dia tidak tahu jenis perniagaan yang ingin diceburi sehingga berkenalan dengan pengasas perniagaan tudung dalam talian Marshmallowscarf, Puteri Maizura, yang kebetulan rakan sekerja, tetapi di bahagian berbeza.

Tidak hanya berkongsi pangkal nama yang sama, kedua-duanya begitu meminati fesyen dan bersemangat membina perniagaan demi memberi pilihan kepada kaum wanita bertudung yang mahukan sesuatu yang tampak eks–klusif, tetapi pada masa sama mampu menutup aurat sepenuhnya.

Kata Puteri Farah Najwa, apabila usia semakin meningkat, dia mahu mencari cabaran berbeza dan gembira apabila tudung rekaan Marshmallowscarf mendapat sambutan hangat daripada pelanggan biarpun baru bertapak di pasaran.

“Kebanyakan koleksi kami bukan saja nampak mewah, cantik dan mudah dibentuk, ia juga tidak perlu digosok dan boleh dicuci menggunakan mesin saja kerana fokus kami pada golongan ibu yang sudah semestinya sibuk sama ada dengan tugasan di pejabat ataupun menguruskan keluarga.

“Lebih mengujakan, ramai yang seolah-olah tidak percaya tudung yang dijual antara RM39.90 dan RM79.90. Kami mahu berikan sesuatu yang berkualiti kepada pelanggan dan semua boleh menggayakan tudung keluaran kami ini,” kata ibu dua anak itu.

Katanya, lebih penting usaha yang dilakukan mereka berdua mendapat sokongan penuh suami masing-masing yang sering membantu dan memberi kata perangsang supaya lebih berjaya.

Tudung keluaran mereka kebanyakannya dihasilkan daripada kain sutera satin yang lembut, tetapi tidak licin memandangkan bahagian dalamnya bertekstur, sekali gus membuatkan tudung terletak elok di kepala.

Antara tudung yang mendapat sambutan hangat adalah Medina, Aaliyah, Ammara dan Humairah yang masing-masing direka dengan keistimewaan tersendiri.

Kata Puteri Farah Najwa, Medina adalah tudung separa bulat yang dihasilkan daripada kain sutera satin berkilat. Ia hadir dalam beberapa pilihan warna kosong dan mudah disesuaikan dengan semua jenis pakaian.

“Aaliyah pula tudung ekspres ala selendang kerana jahitan kain tidak kelihatan di bahagian hadapan tudung sebaliknya di belakang membuatkan ia sering dianggap sebagai selendang yang sudah diikat kemas di kepala.

“Ammara pula terdiri daripada selendang separa bulat yang dipenuhi dengan corak abstrak kilat berlatarbelakangkan warna terang manakala Humairah pula terdiri daripada Humairah satin yang kosong dan Humairah eksklusif dihiasi labuci di bahagian tepinya.

“Semua tudung kami juga mudah digayakan ketika melancong kerana ia tidak perlu digosok. Hanya perlu cuci dan terus sidai, gulung dan simpan di dalam beg pakaian,” katanya.

Menurut Puteri Maizura pula, hanya material terbaik dan berkenan di hati mereka dipilih, malah mereka juga melakukan kajian dengan menyarungkan terlebih dulu sampel rekaan untuk memastikan ia selesa, nampak cantik dan mudah dipakai.

Sekiranya tidak memenuhi cita rasa mereka, tudung berkenaan tidak akan dijual. Mereka turut menjalankan uji kaji sendiri apabila mencuci tudung yang sudah dipakai menggunakan mesin basuh bagi melihat ketahanannya.

Puteri Maizura berkata, dia mampu meletakkan harga berpatutan biarpun tudung daripada material mewah kerana dia dan rakannya membeli bekalan tekstil secara pukal daripada pembekal paling murah serta mengupah tukang jahit di negara terbabit untuk menghasilkan stok baru.

“Setiap kali mahu menambah stok, kami ke luar negara untuk mendapatkan kain yang cantik. Sekiranya kami berpuas hati dengan kualiti kain dan coraknya baru koleksi tudung mula dijahit dan dipasarkan kepada pelanggan.

“Tudung yang dibuat juga untuk memudahkan pelanggan dan hanya memerlukan kurang dua minit untuk dipakai. Kami lebih cenderung menghasilkan tudung separa bulat bersaiz besar (175 x 75 sentimeter) untuk memastikan aurat Muslimah ditutup sepenuhnya,” katanya yang turut memaparkan beberapa rekaan tudungnya di laman www.marshmallowscarf.com.

Puteri Maizura mula menghasilkan rekaan tudung itu apabila berasa kecewa dengan tudung yang ada di pasaran kerana kebanyakannya singkat dan tidak praktikal buat ibu menyusukan bayi biarpun ia memang cantik manakala tudung yang labuh pula tidak menarik.

Dia boleh tersenyum bangga kerana penat lelah yang dilaburkan sepanjang membangunkan perniagaan semakin menampakkan hasil berikutan permintaan yang semakin meningkat sehingga tidak ada masa untuk berehat biarpun pada hujung minggu.

“Sasaran saya untuk menjadikan jenama ini sebagai pilihan utama pelanggan iaitu apabila mereka memikirkan hijab, mereka akan terus teringatkan Marshmallowscarf. Saya mempunyai hasrat melihat semua wanita bertudung nampak ang-gun apabila menggayakan tudung keluaran kami,” katanya.

Leave a Reply

You must be logged in to post a comment.

519 views