Tingkat Disiplin, Badan Sihat
Jika ditanya aktiviti riadah yang menjadi pilihan wanita, lazimnya berjoging, berenang dan bersenam di gimnasium berada di tangga teratas, manakala seni bela diri seperti tomoi atau muay thai berada di tempat paling bawah atau langsung tidak tersenarai.
Ini kerana anggapan segelintir wanita, muay thai memerlukan kekuatan fizikal, nampak ganas dan tidak sesuai untuk wanita.
Namun ketika berkunjung ke Muay Thai Combat Bangi terletak di Bandar Baru Bangi, kelihatan kesungguhan beberapa wanita melakukan pergerakan seni bela diri membabitkan tangan, kaki dan siku. Mereka lengkap berpakaian termasuk peralatan keselamatan seperti topi, sarung tinju dan penahan lutut sebagai langkah keselamatan.
Malah, bukan wanita saja teruja menjalani latihan, turut kelihatan tiga kanak-kanak perempuan berusia 10 hingga 15 tahun bersama-sama mendalami seni bela diri ini.
Apakah menariknya muay thai? Adakah fungsinya sama seperti aktiviti kecergasan yang lain?
Menurut Presiden Muay Thai Combat Community Club Wan Zamri Wan Ali, sukan muay thai atau tomoi salah satu cabang seni mempertahankan diri yang menggunakan kepantasan anggota badan seperti tangan, siku, kaki dan lutut dalam mencari sasaran menjatuhkan lawan.
Berbanding seni bela diri lain seperti silat, muay thai lebih mudah kerana tidak dimulakan dengan bunga-bunga, sebaliknya secara terus melalui pukulan atau tumbukan yang bertujuan mengenai pihak lawan. Malah jika dilakukan dengan tepat dan sepenuh tenaga, pukulan menggunakan anggota badan seperti siku boleh mencederakan mata pihak lawan.
Ditanya mengenai perbezaan antara lelaki dan wanita, jelas Wan Zamri, seni bela diri ini cukup meluas dan tidak dipengaruhi gender walaupun lebih ramai lelaki menyertainya. Secara lahiriah, wanita memiliki sifat lemah lembut dan keadaan ini menyukarkan mereka untuk mempertahankan diri selain kerap dipergunakan lelaki. Namun sekiranya mereka tahu cara yang betul mengaplikasikan pergerakan menggunakan siku atau lutut, itu sudah mencukupi sebagai senjata mempertahankan diri.
“Pergerakan yang praktikal walaupun hanya cukup satu tumbukan yang tepat, pihak musuh dapat ditumbangkan dengan mudah. Namun mereka perlu menjalani latihan demi latihan supaya tenaga lebih kuat dapat dihasilkan serta ketepatan ke arah musuh dapat diperkemaskan,” katanya.
Tidak hanya untuk wanita, kanak-kanak juga digalakkan menyertai muay thai pada usia muda terutama ketika masih di sekolah rendah. Walaupun fizikal mereka kecil, tenaga masih kurang dan pemikiran masih mentah, ia tidak menjadi masalah. Ini kerana dalam muay thai, bukanlah fizikal yang diberikan tumpuan sebaliknya kekerapan latihan yang kemudiannya akan meningkatkan kekuatan dan tenaga.
Bagi kanak-kanak, mereka akan lebih berdisiplin serta mempunyai keyakinan diri yang sangat tinggi terutama ketika berhadapan dengan individu yang tidak dikenali.
Disiplin tinggi
Hal yang sama turut diakui Suhaila Md Salleh, guru tahfiz di sebuah sekolah agama di Bangi yang menyertai muay thai sejak 2012. Sebelum ini dia menyertai tae kwan do sebagai seni bela diri selain sebagai aktiviti kecergasan diri.
“Di Malaysia muay thai kurang diberi pendedahan terutama untuk wanita. Namun saya melihat pergerakannya begitu sederhana, ringkas dan efektif tetapi bertenaga dan padu. Saya mula tertarik untuk mendalaminya kerana berasa perlunya wanita memiliki ilmu pertahanan diri terutama dalam keadaan persekitaran sekarang yang memungkinkan pelbagai perkara buruk berlaku.
“Setiap hari kita terdedah kepada kes ragut, rompak, culik dan rogol membabitkan wanita. Ini menyebabkan saya berasa pentingnya wanita bersedia dengan seni bela diri supaya mereka dapat mempertahankan dan menyelamatkan diri daripada bahaya,” katanya.
Suhaila juga menyatakan seni bela diri ini bukannya menghilangkan sifat kewanitaan, malah ia mampu meningkatkan disiplin serta tahap keyakinan diri mereka. Ini kerana sifat semula jadi wanita sering dibuai ketakutan terutama apabila berada dalam keadaan bahaya.
“Saya akui perasaan takut musuh utama wanita, namun selepas menyertai latihan dan mengetahui serba sedikit mengenai pergerakan muay thai, lama-kelamaan perasaan takut itu hilang dan digantikan dengan keyakinan diri yang kuat,” katanya.
Menjalani latihan empat kali seminggu dengan setiap sesi selama satu setengah jam, Suhaila mengakui dia semakin mencintai sukan ini. Ini kerana tahap disiplin yang tinggi apabila setiap peserta perlu menguatkan bahagian tubuh dengan kekuatan siku dan lutut. Jadi, tanpa mengira jantina dan usia, latihan ‘keras’ terpaksa diharungi.
Dari sudut kesihatan, pergerakan muay thai menjadi aktiviti regangan paling berkesan kerana dari mula hingga akhir, keseluruhan otot dipaksa bergerak yang sekali gus meningkatkan kardiovaskular. Peluh yang keluar saat melakukan tumbukan dan tendangan membakar sehingga 1,000 kilojoule untuk setiap sesi selama dua jam.
“Menumbuk dan menendang membantu melancarkan perjalanan darah kerana pelatih perlu melakukan regangan atau joging sebelum memulakannya. Latihan regangan sangat penting sebelum memulakan muay thai supaya otot bersedia melakukan pergerakan yang berat dan sukar. Latihan menumbuk dan menendang beg berat misalnya menjadikan tulang lebih kuat. Ini secara tidak langsung membantu menghilangkan kolesterol, sekali gus menjadikan badan lebih sihat dan kuat. Sebab itu mereka yang memiliki masalah berat badan mampu mengurangkannya dengan hanya mengikuti latihan muay thai,” katanya.
Lebih sabar, tenang
Guru Bahasa Inggeris Rozita Aini Mohd Rosdi, 35, mengakui menyertai muay thai disebabkan tertarik selepas ditugaskan mengambil gambar dalam salah satu acara sukan. Pada mulanya ada rasa gerun di hati apabila melihat peserta melakukan aksi di luar jangkaan dan melakukan tumbukan dengan bersungguh-sungguh.
“Namun walaupun ditendang dan ditumbuk, peserta tidak mengalah malah sanggup mempertahankan diri mereka dalam apa juga keadaan. Ini menjadikan saya sangat tertarik dan teringin mencuba,” katanya yang mula menyertainya sejak 2010.
Memiliki berat badan 75 kilogram sudah tentu ia tidak sepadan dengan ketinggian 156 sentimeter. Namun jurulatih muay thai memberi keyakinan yang latihan ini mampu menurunkan berat badannya.
“Tercabar dengan kata-kata mereka saya memberanikan diri untuk mencuba. Alhamdulillah, walaupun tidak memberi tumpuan kepada bentuk badan, sedikit demi sedikit berat badan berkurangan sehingga sekarang saya mendapat berat ideal 53 kilogram. Malah tubuh saya nampak lebih cergas dan ‘kemas’ berbanding biasa. Inilah sebab utama saya meneruskan latihan sehingga sekarang,” jelasnya yang hanya menjalani latihan seminggu sekali.
Tambah Rozita, muay thai bukan sekadar melindung dan mempertahankan diri, tetapi menitikberatkan kekuatan diri.
“Menerusi latihan saya lebih mengenali kekuatan dan kelemahan diri dan berusaha memperbaikinya. Walaupun sekarang saya memakai baju kurung dan mengenakan kasut tumit tinggi, saya lebih berani dan berkeyakinan sekiranya ada ancaman dari luar. Malah sekiranya perlu berlawan, saya mampu untuk menilai tahap bahaya yang ada dan kelebihan lawan. Ini membuatkan saya berasa lebih selamat,” katanya.
Ditanya kesakitan yang terpaksa ditanggung saat menumbuk atau menendang beg berat, akuinya itu perkara normal sebelum tubuh mulai terbiasa menerima tekanan. Alah bisa tegal biasa, lama-kelamaan apabila sudah menjadikannya secara rutin, kesakitan itu langsung tidak ada.
Selain meningkatkan keyakinan, muay thai mendidik emosi untuk menjadi lebih sabar dan tenang. Berdasarkan pengalamannya yang termasuk dalam golongan wanita yang mudah marah atau panas baran, selepas menjalani latihan berkala dia mendapati mampu mengawal emosi dengan lebih baik dan berkesan.
“Bukan saya saja yang perasan, keluarga dan rakan-rakan turut mengakui saya semakin bijak mengawal emosi dan berada dalam keadaan tenang,” katanya.
Bagi mereka yang ingin mendapatkan maklumat lanjut mengenai muay thai atau ingin menyertai latihan di Muay Thai Combat Bangi, boleh melayari laman sosial Facebook Muay Thai Combat Bangi. Bayaran dikenakan sangat berpatutan sama ada untuk dewasa lelaki dan perempuan termasuk kanak-kanak seawal usia tujuh tahun.