Tingkat Kesedaran Lawan Barah

Lebih 4,500 peserta daripada pelbagai latar belakang bersatu hati memberi sokongan dalam acara Relay for Life Malaysia 2014 anjuran Persatuan Kanser Kebangsaan Malaysia (NCSM), baru-baru ini.

Acara tahunan yang diadakan buat kali kelapan itu bertujuan membantu meningkatkan kesedaran mengenai penyakit barah dan kepentingan melakukan pemeriksaan pengesanan awal yang dapat mengurangkan kemungkinan diserang penyakit terbabit.

Berlangsung di Dataran Petaling Jaya, peserta begitu bersemangat di samping meraikan mereka yang pernah mengharungi cabaran sebagai pesakit dan mengingati mereka yang kehilangan nyawa kerana barah.

Peserta berkumpul di kawasan acara dan mengadakan aktiviti sihat sambil beriadah dengan beberapa program diadakan sepanjang petang dan malam.

Pengerusi Bersama Relay for Life Malaysia dan Timbalan Presiden NCSM, Clare Ratnasingham yang merasmikan acara itu berkata, setiap tahun jumlah individu yang menyertai dan menyokong acara semakin bertambah.

“Semakin ramai menyokong termasuklah selebriti dan pelbagai tokoh, malah beberapa badan bukan kerajaan menunjukkan sokongan dengan membeli tapak jualan. Hasil jualan pula disumbangkan kepada program berkaitan seperti Pink Unity iaitu badan yang fokus kepada wanita yang berjaya melawan barah.

“Mereka yang hadir bukan saja dapat menyumbang kepada perkara positif berkaitan barah, malah dapat meluangkan masa melakukan aktiviti bersama keluarga mahupun teman sambil beramal,” katanya.

Acara dimulakan dengan bekas pesakit barah diberi penghormatan kerana ketabahan mereka dengan mereka berarak sekeliling trek padang diiringi orang tersayang yang menjaga mereka semasa menghadapi penyakit.

Tambah menarik apabila barisan hadapan terdiri daripada kanak-kanak bekas pesakit barah yang berpakaian adiwira berwarna-warni.

Program utama yang ditunggu-tunggu bermula pada waktu senja apabila kawasan padang dilihat bersinar dengan nyalaan lilin dalam beg kertas yang dinyalakan peserta sebagai simbolik memperingati mangsa barah dan harapan melawan penyakit itu.

Acara pada waktu malam tambah mengharukan apabila 50 peserta yang berani dengan sukarela mencukur rambut mereka dan memberikannya kepada badan Locks of Hope untuk tujuan kebajikan.

Turut hadir pada acara penutup ialah pengerusi Relay for Malaysia, Datuk Zuraidah Atan dan wakil syarikat korporat sebagai penaja.

Relay for Life adalah satu acara tahunan yang dimulakan di Amerika Syarikat pada 1985 dan kini dianjurkan di lebih 20 negara seluruh dunia setiap tahun.
Di Malaysia ia dimulakan di Pulau Pinang pada 2005 dan kini ia juga diadakan di Melaka selain Lembah Klang.

Leave a Reply

You must be logged in to post a comment.

512 views