Tiub Fallopio Kanan Tersumbat

SAYA berumur 31 tahun dan sudah empat tahun berkahwin namun belum pernah hamil.

Saya sudah menjalani rawatan kesuburan di hospital. Doktor mendapati fallopio sebelah kanan saya tersumbat.

Suami saya pula menghadapi masalah sperma. Doktor menyarankan supaya kami melakukan IVF. Kos IVF yang agak tinggi menyebabkan saya terpaksa menangguhkan hasrat untuk melakukannya.

Adakah saya perlu menjalani pembedahan untuk membaik pulih tiub yang tersumbat?

Adakah peluang untuk saya hamil secara normal jika sebelah tiub tersumbat?

Saya amat tertekan, memandangkan faktor usia yang semakin meningkat. Harap doktor dapat membantu.

ZURA,
uala Lumpur

ANDA tidak menyatakan kaedah yang dijalani terhadap status tiub fallopio anda itu. Jika ia diketahui melalui kaedah pembedahan, doktor dapat memberitahu kemungkinan penyebab berkaitan serta mungkin sudah pun cuba melakukan pembedahan ‘membukanya’.

Sekiranya tiub tersumbat terbabit turut mengalami keadaan hidrosalpinx (pembengkakan tiub akibat pengumpulan cecair di dalamnya), tiub ini seeloknya dibuang atau ditutup terlebih dahulu pada pangkalnya untuk menghalang kemasukan air ke dalam ruang rahim yang boleh mengganggu kejayaan rawatan IVF.

Anda juga tidak menyatakan tahap kekurangan masalah sperma suami. Jika sperma sangat sedikit, IVF malah mungkin ICSI adalah pilihan yang ada.

Secara umumnya peluang terbaik anda untuk hamil adalah dengan kaedah IVF. Ini kerana tidak mustahil juga penyakit yang sama menyebabkan kerosakan fungsi tiub fallopio yang masih belum tersumbat itu. Pada usia anda, peluang kejayaan kehamilan klinikal dengan IVF dijangka sekitar 30 hingga 40 peratus, bergantung kepada penyakit yang dialami serta bilangan embrio yang dimasukkan.

Namun, jika belum bersedia (kurang berkemampuan), anda masih boleh mencuba beberapa pilihan IVF di bawah:

Mendapatkan rawatan IVF di hospital kerajaan. Terdapat beberapa hospital kerajaan yang menawarkan rawatan IVF.

Mendapatkan rawatan IVF di ibu pejabat LPPKN, sebuah badan berkanun yang menawarkan rawatan IVF antara termurah memandangkan sebahagian kos terbabit sudah pun ditanggung.

Memohon bantuan pembiayaan sepenuhnya oleh Yayasan Fertiliti Tunku Azizah (TAFF) jika memenuhi syarat yang ditetapkan. Jika berkelayakan dan ditawarkan, anda akan menjalani IVF di mana-mana pusat kesuburan terpilih. Memandangkan tidak semua yang layak memohon dapat ditawarkan, anda disyorkan memohon hanya jika benar-benar memenuhi syarat.

Memilih IVF yang ditawarkan secara pakej. Namun jika pilihan jenis dan dos ubat rangsangannya sudah ditetapkan (bagi merapatkan jurang kos di antara pesakit), terdapat kemungkinan bilangan telur atau embrio sangat sedikit sehingga tiada embrio lebihan yang boleh dibeku-simpan. Jika percubaan rawatan terbabit tidak berjaya, anda perlu mengulangi rawatan IVF dari awal dan dengan caj yang hampir sama berbanding jika menggunakan embrio beku sahaja. Eloklah juga anda mendapatkan penjelasan mengenai apa yang termasuk serta apa tidak termasuk dalam pakej rawatan bagi memastikan anda tidak dibebani caj tambahan kelak.

Jika tidak, anda masih mempunyai pilihan selain IVF, walaupun ia memberi peluang yang lebih rendah, malah jika dikumpul akhirnya mungkin akan menyamai kos IVF. Usia yang meningkat kelak juga perlu diberi perhatian:

Menjalani pembedahan ‘membuka’ tiub fallopio yang tersumbat itu serta pada masa sama, membuang atau merawat penyakit yang dikesan. Terdapat beberapa penyakit yang boleh menjejaskan kesuburan dan seeloknya ia dirawat.
Bagaimanapun, jika berjaya ‘dibuka’, tidak mustahil fungsi tiub terbabit sudah terjejas dan ini meningkatkan risiko kehamilan luar rahim kelak.

Menjalani rawatan secara pengambilan ubat subur dan disusuli dengan IUI.

Menjalani rawatan secara pengambilan ubat subur untuk meningkatkan bilangan telur matang dalam sesuatu kitaran dan diharapkan; telur tersebut di sebelah bahagian tiub fallopio yang tidak tersumbat pula.

Leave a Reply

You must be logged in to post a comment.

12,012 views