Ton Kulit Lebih Menyerlah

Riasan wajah semula jadi, kulit berseri dan tampak sihat menjadi nadi kepada himpunan warna aliran solekan di MAC bagi musim bunga dan panas (SS13) kali ini.

Biarpun tampak semula jadi dengan sedikit suntikan neon, keseluruhan persembahan SS13 ini dicetuskan daripada aliran musim sebelumnya lalu diberikan nafas baru.

Menerusi sesi pengenalannya oleh Pengarah Solekan Artistry Asia-Pasifik MAC, James Molloy yang berkunjung ke Kuala Lumpur, baru-baru ini, SS13 menampilkan empat zon aliran iaitu Sig-Nature, Nu-Ance, Sci-Chedelic dan Puri-Tan, yang tidak hanya menekankan kepada aspek solekan ‘cantik dan sempurna’ tetapi lebih kepada lagak wanita yang tampil penuh keyakinan tanpa calitan rona keterlaluan.

Jelas Molloy, solekan bagi musim bunga dan panas tidak semestinya bertumpu kepada gaya ceria serta rona yang terlalu menonjol kerana trend musim ini lebih terarah kepada riasan segar dan lembut seakan-akan wajah ‘dicium’ sinaran matahari yang menyihatkan.

“Gaya pilihan saya bagi musim ini lebih kepada kesan keemasan minimum dengan pemakaian bedak asas yang memperlihatkan kulit sihat bercahaya.

“Saya banyak menggunakan bedak asas baru daripada MAC, Master. Ia menampilkan teknologi terkini yang membolehkan ton kulit semula jadi lebih menyerlah tapi pada masa sama memberikan litupan asas yang diperlukan.

“Ia sesuai untuk keadaan cuaca panas dan lembap, selain kering dengan penyudah matte. Master juga sesuai untuk pemakaian tempoh lama dan tidak terlalu berat untuk sapuan menyeluruh,” katanya.

MAC tidak ketinggalan cuba kembali kepada solekan satu titik fokus di mana tumpuan diberikan pada satu bahagian contohnya kening. Kening dipantis sedikit bagi membolehkannya dirias penuh.

“Untuk bibir pula lebih kepada olesan pucat atau sekadar layangan pengilat bibir rona semula jadi.

“Saat trend SS13 ini dikembangkan lagi gayanya, ia sebenarnya memperlihatkan kecantikan semula jadi iaitu cara terbaik untuk memulakan peringkat solekan seterusnya,” jelasnya.

Nyata tiada betul atau salah dalam solekan tapi semuanya bergantung sama ada berani atau tidak untuk menggayakannya seperti yang ditegaskan Molloy.

“Saya tidak percaya dengan ‘kesilapan bersolek’. Bagi saya, ia lebih kepada keyakinan diri serta tabiat untuk lari daripada kebiasaan.

“Setiap wanita mempunyai rutin penjagaan kecantikan dan solekan tertentu tapi ia boleh berubah mengikut masa atau keadaan.

“Apa yang penting, jangan takut untuk mencuba. Solekan boleh dibersihkan bila-bila masa dan ulang semula riasan jika ia tidak menepati gaya yang diingini. Mudah, bukan?” ujarnya.

TREND MAC #1
Sig-Nature

Sig-Nature berkisarkan kepada wajah yang bersih, sihat dan tampak manis dengan sedikit sapuan rona lembut pada pipi serta bibir. Ia seakan-akan kombinasi cerahnya patung mannequin dan kulit bak telur dikupas yang memberikan kesan kilauan memukau.

“Ia memaparkan wajah segar dan imaginasi tanpa cela. Bayangkan wanita yang baru menjalani rawatan wajah dan pipinya berseri-seri.

“Menariknya, wajah ini ditambah dengan sedikit gaya adrogini di bahagian kening dengan riasan penuh menggunakan warna yang sedikit gelap,” jelas Molloy.

Trend wajah ini menjadi pilihan di pentas peragaan bagi JW Anderson, Prabal Gurung, Tommy Hilfiger, Blumarine, Rick Owens, Tory Burch, Ruffian, Sportmax, Margaret Howell, edun, Costume National dan Antipodium.

Produk pilihan: Bedak asas Mineralize Moisture SPF 15, Dirty Blonde Fluidline Brow Gelcreme, Golden Elixir Strobe Cream, bedak asas dan bedak debu Mineralize, gincu Posh Tone Mineralize Rich serta losen Face and Body.

TREND MAC #2
Nu-Ance

Nu-Ance menjurus kepada wajah bersih dengan riasan semula jadi yang digabungkan bersama sedikit warna terang atau pastel di bahagian mata yang menceritakan mengenai kisah romantis wanita moden.

Bagi menambahkan lagi gaya elegan, sapuan rona kelabu dan metalik menghasilkan aura futuristik segar.

“Trend ini diilhamkan daripada palet warna alam yang kita lihat setiap hari. Biru, merah, jingga, perang semuanya diadun dengan lembut bagi menghasilkan gaya feminin.

“Ia banyak memainkan pesona pastel dan menyerlahkan sisi berbeza wanita lembut,” kata Molloy.

Trend wajah ini diperagakan di pentas Blugirl, Ermanno Scervino, Francesco Scognamiglio, Gianfranco Ferre, Issey Miyake, Meadham Kirchhoff, Monique Lhuillier, Nicole Miller, Peter Som, Roksanda Ilincic, Sophie Theallet dan Tess Giberson.

Produk pilihan: Pembayang mata Now Mustard!, pembayang mata Sunshine, pemerah pipi rona Poised, pelembap bibir dan pigmen kelabu atau metalik.

TREND MAC #3
Sci-Chedelic

Minimalis. Tunggal. Reduksionis. Ia menonjolkan gaya grafik retro inspirasi era 1960-an. Punk tapi pada masa sama mengekalkan ciri chic dan elegan.

“Banyak rujukan kepada gaya 60-an, The Beatles dan seumpamanya. Trend ini mengenai ekspresi diri menerusi warna dan semangat bebas yang diterjemahkan pada solekan mata atau bibir yang lain daripada biasa,” katanya.

Trend ini popular di pentas peragaan Mugler, Vivienne Westwood, Missoni, Aquilano Rimondi, Gareth Pugh, Haider Ackerman, Holly Fulton, Jean-Pierre Braganza, Moschino, Richard Chai dan Threeasfour.

Produk pilihan: Pensel MAC Pro Chromographic rona Process Magenta, MAC Pro Acrylic Paint rona Yellow, Cyan dan Process Magenta, pigmen Electric Red, penggaris mata Auto-de-Bleu Technakohl dan pensel bibir Embrace Me.

TREND MAC #4
Puri-Tan

Puri-Tan boleh disifatkan gaya baru untuk solekan gangsa. Ia disapu lembut bagi menyerlahkan wajah berkilau tanpa kesan perang keterlaluan.

Palet warna terdiri daripada rona tanah dan padang pasir dengan riasan mata berteraskan kesan akuatik serta ton keemasan.

“Puri-Tan adalah sisi lembut perang yang menggunakan ton madu untuk ‘bronzing’. Cuma layangkan pada wajah berbanding melakukannya terlalu dramatik,” kata Molloy.

Trend ini digayakan penuh bersahaja di pentas peragaan Alberta Ferretti, Alexis Mabille, Christian Siriano, House of Holland, Mandy Coon, Max Mara, MSGM, Osklen, Proenza Schoulder, Rebecca Taylor, Theyskens’ Theory dan Yigal Azrouel.

Produk pilihan: Pembayang mata Must Have Brown, pemerah pipi rona Taupe Shape, pembayang mata Top Soil, gincu Mineralize Rich rona Luxe Naturals dan pigmen rona Golden Lemon.

Leave a Reply

You must be logged in to post a comment.

592 views