Tumbukan Terakhir 20 Oktober

TUMBUKAN Sofiyan al-Bassar singgah tepat di atas muka lawannya yang menyebabkan lelaki berkenaan hilang pertimbangan. Apabila dilihat lawannya hampir tumbang, Sofiyan segera meluru untuk memastikan kemenangannya.

“Berhenti! Berhenti!” jerit satu suara sambil menarik peninju berusia 23 tahun itu ke belakang. Sofiyan dan lawannya, Ramzi Abdulhadi al-Haji bukanlah anggota kumpulan militan yang bergaduh di jalanan di Tripoli, sebaliknya mereka antara lelaki muda yang pertama menyertai kelab tinju yang baru dibuka di bandar berkenaan.

Tinju yang dianggap sukan ‘ganas’ sudah diharamkan sejak 1979 oleh Muammar Gaddafi, tetapi ia muncul semula selepas kejatuhan dan kematian bekas pemimpin Libya itu.

Kelab tinju itu yang masih belum mempunyai nama, mula beroperasi di tempat yang dulunya menjadi tempat pertemuan penyokong kuat Gaddafi untuk membincangkan isi kandungan Buku Hijau, iaitu buku koleksi mengenai fahaman politik, ekonomi dan sosial pemimpin diktator berkenaan.

“Ini jawapan kami pada orang yang zalim itu. Kami mulakan balik sukan yang kami suka tetapi dia benci di tempatnya sendiri.

“Gaddafi mengharamkan tinju kerana dia anggap ini sukan yang ganas. Tetapi anehnya, dia tidak ada masalah pula menggantung dan membunuh penghuni Abu Slim (penjara di Tripoli). Tidak hairanlah jika orang-orang kami membunuhnya,” kata jurulatih kelab tinju, Dris Mohammed dengan suara tegas.

Gaddafi terbunuh pada 20 Oktober lalu dalam pertempuran sengit di kampung halamannya di Sirte. Kematian pemimpin yang tidak disukai rakyat itu menamatkan konflik lapan bulan di Libya yang tercetus pada Februari tahun lalu.

Dalam konflik berkenaan, puluhan ribu penduduk Libya sama ada tua atau muda berganding bahu menentang penyokong kuat Gaddafi yang akhirnya menamatkan pemerintahan kuku besinya selama 42 tahun.

Menurut Dris lagi, dia turut terbabit dalam kejohanan tinju antarabangsa terakhir yang disertai Libya di Venezuela pada 1979.

Kini walaupun sudah berusia 63 tahun, dia masih mengambil bahagian dalam sukan berkenaan bagi kategori feather (untuk peninju yang berat badannya tidak kurang daripada 54 kilogram tetapi tidak melebihi 57 kilogram) dan bertanding dengan peserta dari Thailand dan Venezuela tetapi akhirnya terpaksa menarik diri selepas jarinya patah.

Tiga tahun sebelum kejohanan terakhir yang disertai Libya itu, Dris bertemu legenda tinju, Mohammad Ali di Benghazi, bandar di timur Libya, tempat bermulanya pergerakan menggulingkan Gaddafi.

Sejurus selepas kembali ke Libya dari Venezuela, Dris terpaksa melupakan minatnya dalam sukan tinju dan beralih kepada angkat berat dan bina badan apabila Gaddafi mengharamkan sukan yang dianggap berbahaya itu.

Leave a Reply

You must be logged in to post a comment.

1,622 views