Turun Gunung Lebih Mencabar

SEPANJANG sejam berbual dengan Mohd Asman Iljam, 40, penulis bukan saja rasa kagum tetapi turut ‘malu’. Bukan apa, Asman yang sukar berjalan dengan baik akibat masalah palsi serebrum sejak kecil (iaitu keadaan membuatkan otot menjadi lemah) berlatih menaiki tangga di rumah pangsanya sehingga ke tingkat 17. Bukan sekali, tetapi dua hingga empat kali sehari!

Apabila hujan lebat, dia sedikit muram kerana tidak dapat bersenam. Namun wajahnya akan kembali ceria jika ibunya, Roslia Mahmud, membenarkan dia berlatih walaupun sekali. Semangat dan tekad Asman memang kuat. Baginya apa sangatlah tangga setinggi 15 tingkat itu jika hendak dibandingkan dengan cabaran yang bakal dilalui di Gunung Kinabalu.

Dek semangat itulah juga, dia berjaya menawan puncak gunung kemegahan negara itu dalam Ekspedisi Pendakian Di Luar Kemampuan Gunung Kinabalu pada 13 hingga 17 Oktober lalu bersama 18 orang kelainan upaya (OKU) dengan ditemani dua doktor dari Pusat Kesihatan dan Rehabilitasi WQ Park serta 99 sukarelawan Kelab Rotary.

“Teruja, sangat teruja. Allah saja yang tahu perasaan saya ketika berada di puncak. Kalau ada peluang, saya mahu pergi lagi,” katanya sepatah-sepatah. Walaupun agak sukar memahami butir katanya yang tidak jelas, namun kegembiraan jelas terpampang di wajah Asman. Kejayaan itu menebus kehampaan pada 1999 kerana dia tidak berdaya meneruskan pendakian akibat melecet teruk di kaki tatkala tiba di pos Laban Rata.

Jika tidak melihat gambar dan sijil penghargaan, memang sukar hendak percaya Asman dan rakan OKU lain termasuk yang ada masalah Sindrom Down dan cacat penglihatan sudah sampai ke singgahsana Kinabalu. Malah, ibunya yang menunggu di penginapan di kaki gunung menitiskan air mata apabila melihat anaknya berjaya menghabiskan pendakian dengan selamat.

“Mendaki itu susah, tetapi hendak turun lebih payah. Ada kalanya saya terpaksa dipapah apatah lagi ketika kami turun hujan lebat, cuaca pula sangat sejuk dengan suhu sekitar enam hingga tujuh darjah Celsius. Trek licin dan berbahaya. Namun semakin penat, semakin kuat semangat hendak segera sampai ke puncak” katanya lagi.

Bagi Ngok Kok Meng, 15; Zamzam Modjahidin, 15 dan Muthu Magendran, 21 dari Persatuan Penjagaan Kanak-kanak Cacat Klang – antara yang pertama sampai ke puncak, kegembiraan mereka juga sangat sukar digambarkan. Mereka juga tidak dapat menahan air mata apabila berdiri di puncak Kinabalu selepas melalui perjalanan yang sangat sukar.

Banyak air mata pendaki ekspedisi ini tumpah tatkala melihat Mohd Irwan Hakeem Sidek, 29, yang mengalami palsi serebrum dan tidak boleh bercakap menjerit gembira sebaik disahkan tiba di puncak, apatah lagi sebelum itu dia hampir pengsan kerana terlalu penat. Namun, atas dorongan ayahnya yang turut serta dalam ekspedisi itu menguatkan semangat Irwan untuk meneruskan pendakian.

Godrey Ooi, yang cacat penglihatan tidak sangka pada usia 63 tahun dia mampu sampai ke puncak yang menjadi idaman ramai pendaki itu. Laluan Ooi dan dua rakan senasib, Taslim Kosni, 63 dan Jacqueline Sarlah Emmanuel, 61, lebih mencabar kerana setiap langkah perlu ‘diraba’ terlebih dulu. Namun, latihan mendaki bukit di sekitar Kuala Lumpur selama tiga bulan membolehkan mereka bertahan sepanjang pendakian.

“Cabaran paling hebat ialah untuk mengatasi halangan fizikal dan mental. Sesetengah laluan sangat tinggi atau curam. Dalam keadaan tidak nampak dan penat, laluan akan jadi sangat sukar sehingga boleh membuatkan kita putus asa.

“Sepanjang mendaki saya ingatkan diri sendiri untuk bertahan. Saya katakan pada diri sendiri, jika orang yang lebih tua dari saya pun boleh sampai ke puncak, tiada sebab saya tidak boleh. Syukur, dengan bantuan sukarelawan saya dan Taslim berjaya juga akhirnya walaupun tempoh pendakian kami dua kali ganda lebih lama dari orang lain.

“Apabila sampai ke puncak saya tidak boleh berfikir kerana terlalu penat. Dalam hati saya sangat gembira dan bersyukur kepada Tuhan memberi saya peluang yang sangat berharga itu,” katanya sebelum berlepas ke India bersama isteri sebagai ‘hadiah’ kepada pencapaian membanggakan itu.

Sememangnya setiap pendaki OKU ini mempunyai cerita tersendiri, walaupun ada beberapa yang hanya mampu bertahan separuh jalan. Pun begitu, bukan mudah untuk sampai walaupun ke pos Laban Rata yang terletak pada ketinggian 3,272 meter dengan masalah fizikal yang mereka miliki.

Pendaki OKU lain yang turut menyertai ekspedisi berkenaan ialah Yong Mae Way, 24; Abirami Rengasamy, 21; Loh Yit Sern, 19; Lau Chin Chuan, 24 dan Chong Min Jie, 14.

Saringan dan persediaan

Peserta dipilih dari empat pusat iaitu Persatuan Spastik Selangor dan Kuala Lumpur, Persatuan Penjagaan Kanak-kanak Cacat Klang, Pusat Hopehaven Melaka dan Persatuan Orang Buta Malaysia (MAB).

Pemilihan dilakukan oleh Kelab Rotary berdasarkan tahap kesihatan, kemampuan dan ketahanan fizikal, keazaman serta kepatuhan menjalani latihan yang dijalankan selama tiga hingga sembilan bulan; mengikut keadaan setiap orang.

Menurut Perunding Perubatan Rehabilitasi, Dr Tunku Nor Taayah Tunku Zubir, setiap peserta perlu menjalani pemeriksaan kesihatan yang terdiri daripada ujian untuk mengetahui kekuatan otot, jantung dan paru-paru. Peserta juga diuji sekiranya menghidap asma (kerana ada risiko tinggi mengalami masalah pernafasan ketika mendaki gunung), keseimbangan fizikal dan mental.

“Malah, kita juga jalankan pemeriksaan ketahanan kardiovaskular melalui ujian langkah bagi mengetahui kadar denyutan nadi. Bagi yang ada kencing manis dan tekanan darah tinggi, perlu jalani pemeriksaan lain bagi memastikan penyakit mereka dalam keadaan terkawal,” katanya.

“Selain latihan mencukupi, peserta OKU dinasihatkan untuk mengambil pemakanan seimbang dan minum banyak air. Pada masa sama mereka juga perlu ada cukup ‘vitamin semangat’ – yang datang perlu datang daripada keluarga, rakan dan jurulatih,” katanya.

Cabaran

Menurut jurulatih sambilan di Persatuan Kanak-kanak Spastik Selangor dan Wilayah Persekutuan, Low Kai Tuck, Asman dan dua rakan palsi serebral atau CP, Irwan dan Janice Yim, 44, menjalani latihan yang ‘sukar’ kerana cabaran paling besar bagi individu CP ialah ketiadaan kestabilan. Ketika berjalan, bila-bila saja mereka boleh jatuh.

“Sebagai permulaan, kami berlatih berjalan di permukaan yang tidak rata. Kemudian disusuli latihan naik turun tangga untuk meningkatkan stamina dan daya ketahanan mereka. Selepas itu mereka dikehendaki berjalan di tepi longkang yang saya rentang tali. Latihan ini susah kerana saya tidak benarkan mereka melihat ke bawah (ke tanah) ketika berjalan, perlu fokus pandangan ke depan.

“Latihan berjalan di tepi longkang ini untuk meningkatkan keyakinan dan keseimbangan mereka. Jika tidak seimbang, mereka akan jatuh ke dalam longkang. Setiap kali latihan, saya akan tekankan apa yang penting ialah membina keseimbangan dan keyakinan, bukan kepantasan berjalan.

“Selain itu, saya galakkan mereka berlatih sendiri di rumah seperti yang Asman lakukan. Untuk elakkan bosan, kami berlatih di tempat berbeza termasuk mendaki Gunung Nuang atau menjelajah hutan rekreasi di Taman Tun Dr Ismail Malah, bulan puasa pun kami masih buat latihan ringan di sekolah (pusat spastik),” katanya.

Low yakin dengan pepatah Melayu yang mengatakan di mana ada kemahuan di situ ada jalan. Dia melihat individu CP sebagai kumpulan yang sangat istimewa kerana walaupun mengalami halangan fizikal tetapi mereka mempunyai semangat luar biasa.

“Mereka boleh melakukan sesuatu yang menakjubkan. Apa yang penting ialah beri mereka peluang dan sokongan. Bagi individu CP, sokongan keluarga sangat penting,” kata jurulatih skuad paralimpik kebangsaan itu.

Perkara ini diakui ibu Asman, Roslia yang tidak pernah jemu memberi galakan kepada anaknya, apatah lagi melihat kesungguhan anak sulungnya itu berlatih.

“Dia sedar ada banyak perkara yang dia tidak boleh lakukan. Mungkin itulah sebabnya apabila ada peluang, dia memang bersungguh-sungguh, bukan hanya untuk ekspedisi ini saja tetapi dalam semua perkara.

“Kalau dia kata mahu berlatih, saya benarkan. Jika tidak nanti dia sugul di rumah. Biasanya dia hanya ambil masa 30 hingga 40 minit untuk naik tangga hingga ke tingkat 17 dan turun semula,” katanya.

Menurut Pengasas dan Pengerusi Persatuan Penjagaan Kanak-Kanak Cacat Klang, Morgun Nadesan yang turut bertindak sebagai jurulatih, cabaran dihadapi pelajarnya pula sedikit berbeza. Ini kerana kebanyakan pelajarnya terdiri daripada individu sindrom Down dan ada masalah pembelajaran.

Walaupun keadaan fizikal pelajarnya sempurna tetapi mereka sukar menerima dan memahami apa yang diajar. Bahkan daya tumpuan mereka juga pendek dan mudah terganggu walaupun disebabkan perkara kecil. Lebih sukar, semangat mereka tidak sekuat dan sekental individu CP.

“Satu-satu latihan perlu diulang beberapa kali barulah mereka faham. Sebagai pelatih, kami memang perlu bersabar dengan kerenah setiap orang. Selain itu, kebolehan dan kepantasan setiap orang tidak sama. Selalunya setiap kali berlatih mendaki, saya tertinggal jauh di belakang. Malah pernah juga seorang pelajar saya hilang kerana dia tidak mahu jalan berkumpulan.

“Sering juga mereka merungut kerana sudahlah perlu berlatih mendaki bukit setiap hari di Taman Rakyat Klang, pada hujung minggu perlu ke Kuala Lumpur untuk latihan yang dikelolakan Kelab Rotary. Setiap kali mereka berasa malas, saya beri rangsangan dengan mengatakan itulah peluang untuk menaiki kapal terbang,” katanya tersenyum bangga dengan pencapaian pelajarnya.

Risiko gangguan kesihatan

Menurut Dr Taayah, antara masalah kesihatan yang kerap dialami pendaki gunung ialah ketidakselesaan akut pergunungan (AMS) terutama apabila berada di ketinggian melebihi 2,400 meter. Ia boleh berlaku kepada sesiapa saja walaupun berlatih secukupnya.

Bagaimanapun, kesan AMS biasanya tidak dirasai sehinggalah anda berada pada satu-satu ketinggian untuk beberapa jam. Gunung Kinabalu yang mempunyai ketinggian 4,095 meter dikategorikan sebagai ‘sangat tinggi’ dan setiap pendaki berisiko mengalami AMS.

“Biasanya AMS berpunca daripada gabungan beberapa faktor seperti kurang tekanan udara dan tahap oksigen yang rendah di tempat tinggi. Kebarangkalian berlaku dan keterukan AMS bergantung kepada daya ketahanan seseorang, berapa cepat dia mendaki atau turun. Lebih cepat anda naik atau turun, risiko mendapat AMS lebih tinggi,” katanya.

Antara gejala AMS ringan dan sederhana ialah:

Sukar tidur

Pening

Lesu

Sakit kepala

Mual atau muntah

Degupan jantung menjadi cepat

Nafas tercungap-cungap

Gejala AMS teruk pula ialah:

Edema pulmonari altitud tinggi (HAPE) ialah keadaan apabila paru-paru dimasuki cecair dan menyebabkan sesak nafas. Pendaki tidak sepatutnya ada kesukaran bernafas ketika berehat walaupun berada di puncak Everest. Jika anda sesak nafas ketika berehat, bermakna anda mengalami HAPE. HAPE juga boleh menyebabkan demam panas dan batuk berkahak.

Edema serebrum altitud tinggi (HACE) ialah keadaan apabila wujudnya cecair dalam otak. Ia menyebabkan seseorang berasa keliru, tidak menentu, kelam kabut dan boleh terjauh. Tanda awal seperti rasa malas, emosi yang keterlaluan atau bertindak ganas kadang kala sukar dikesan. Ia lebih berbahaya kerana boleh menyebabkan pening atau pengsan yang mungkin mengakibatkan kematian. HAPE dan HACE boleh berlaku serentak.

Antara gejala AMS teruk ialah:

Kesukaran bernafas ketika rehat

Tidak boleh berjalan lurus atau tidak boleh berjalan langsung

Batuk

Kulit jadi pucat atau biru

Batuk berdarah

Dada terasa sesak

Keliru

Hilang kesedaran

“Individu yang mengalami AMS perlu dirawat segera. Cara terbaik ialah turun ke paras lebih rendah secepat mungkin. Jangan teruskan mendaki jika mengalami gejala yang disenarai di atas. Selain berehat, pesakit boleh diberikan bekalan oksigen, paracetamol atau ubat lain.

“Berita baiknya, ia boleh dicegah dengan mendaki perlahan-lahan, elakkan minum minuman beralkohol, makan sedikit sedikit tetapi kerap dan mengambil ubat seperti acetazolamide dan dexamethasone.

“Panduan mudah – berhenti apabila penat dan jika ada gejala, berhenti dan berehat. Namun paling penting ialah mempunyai cukup persediaan (latihan) sebelum mendaki,” katanya.

Leave a Reply

You must be logged in to post a comment.

891 views