‘Ubah Dunia Ikut Cara Sendiri’

Siapa yang tidak suka melihat wanita cantik. Apatah lagi sekiranya kecantikan itu datang bersama pakej kesempurnaan, bukan saja dari segi gaya dan personaliti malah bijak memberikan pendapat.

Hakikatnya golongan wanita kini bukan saja berperanan sebagai pengurus keluarga malah menjadi inspirasi kepada masyarakat menerusi kejayaan di dalam pelbagai bidang. Mereka mampu memainkan peranan sebagai isteri dan ibu, di samping menzahirkan keupayaan menerusi kebijaksanaan menjalankan tanggungjawab kepada masyarakat.

Mungkin antara kita kurang mengenali nama seperti Andrea Fonseka, Gloria Ng, Vivy Yusof, Asha Gill dan Yasmin Rasyid. Namun kelima-lima wanita anggun dan berjaya ini diiktiraf atas sumbangan mereka kepada masyarakat. Justeru, sebagai meraikan dan memberi penghormatan kepada wanita atas pencapaian hebat dan sumbangan yang penuh inspirasi, stesen televisyen, NTV7 mencipta kelainan apabila memperkenalkan rancangan anugerah wanita pertama di Malaysia, Bella Awards 2013 yang julung kali diadakan.

Ilham menerbitkan rancangan ini hadir daripada rancangan temu bual wanita, Bella iaitu program yang memberi inspirasi kepada wanita menerusi topik bermaklumat yang padat dengan pengisian khusus untuk golongan hawa.

Dicalonkan dalam kategori Anugerah Gaya Bella, pemegang mahkota Ratu Universe Malaysia 2004, Andrea Fonseka cukup teruja apabila dipilih bersama empat peserta lain. Baginya, anugerah ini mampu memberi inspirasi kepada lebih ramai wanita untuk serius dalam bidang masing-masing sekali gus menyumbang kepada masyarakat.

Dia yang juga Pengarah Nasional Miss Universe Malaysia menjelaskan, pencapaian membanggakan dalam bidang peragaan apabila melakukan transformasi pertandingan ratu cantik sebagai program realiti televisyen dan juga menyediakan biasiswa penuh untuk empat peserta akhir yang berpeluang melanjutkan pengajian di universiti swasta.

Malah duta pusat kecergasan True Fitness ini berkempen bersama bintang Hollywood, Roland Kickinger (daripada Terminator Salvation), untuk menggalakkan kecergasan, yoga dan tarian kepada masyarakat terutama wanita.

“Apa yang saya lakukan bukanlah sekadar untuk menyumbang kepada masyarakat sebaliknya setiap anugerah diterima satu penghargaan dan seharusnya saya perlu melakukannya dengan bersungguh-sungguh dan ikhlas. Saya percaya berbuat baik secara berterusan akan membawa kesan positif kepada masyarakat,” ujarnya.

Wanita jelita yang pernah membintangi filem berjudul Carrotcake Conversations yang ditayangkan di Festival Filem Cannes ini mengakui dia sentiasa berpegang kepada prinsip sentiasa melakukan yang terbaik dalam hidup serta tampil positif dalam apa juga dilakukan.

“Walaupun mungkin hanya dapat dilakukan dalam masa singkat, jika saya mampu berbuat demikian secara positif saya boleh mengubah dunia mengikut cara saya sendiri,” katanya yang juga dianugerahkan Wajah Malaysia sempena Minggu Fesyen Antarabangsa.

Dia bukan bergelar doktor, pakar pemakanan atau jurulatih malah tidak boleh melakukan solekan atau dandanan rambut namun harapan pemilik dan Pengarah Syarikat Dirigo Events Sdn Bhd, Gloria Ng begitu tinggi untuk melihat amalan gaya hidup sihat dapat dipraktikkan di Malaysia.

“Menyedari tahap obesiti di Malaysia yang tinggi dengan pelbagai masalah kesihatan berkaitan berat badan seperti serangan jantung dan kencing manis, saya merangka program gaya hidup aktif menerusi larian tahunan Maraton KL Standard Chartered untuk menggalakkan orang ramai berlari sebagai satu aktiviti menyihatkan badan,” katanya.

Pada tahun lalu, maraton terbabit mencecah rekod 28,000 pelari malah dijangka meningkat sehingga 30,000 orang tahun ini. Sebagai peneraju utama, Gloria juga menganjurkan klinik berjalan untuk orang awam bersama jurulatih bertauliah serta bekerjasama dengan badan kerajaan bagi membangunkan program latihan untuk belia Malaysia.

Menurut pemegang Ijazah Sarjana Muda Seni Universiti Deakin, Melbourne, Australia ini, perkara paling membanggakan apabila acara maraton ini berjaya mengumpulkan pelari dari lebih 45 negara di dunia setiap tahun.

Malah larian amal Race With a Heart berjaya mengumpul RM700,000 untuk golongan autisme, alam sekitar dan orang buta menerusi Yayasan Standard Chartered dan kebajikan haiwan.

“Lanjutan daripada program ini, lebih 20 kanak-kanak autisme menghadiri klinik latihan berjalan dan mengambil bahagian dalam kategori larian kanak-kanak Maraton KL Standard Chartered. Dengan kejayaan ini, kemungkinan aktiviti ini akan dimasukkan sebagai sebahagian daripada program kurikulum NASOM,” jelasnya.

Gloria yang begitu bersungguh-sungguh dan bersemangat dalam apa juga dilakukan mengakui, masyarakat adalah sebahagian daripada hidup dan menjadi tanggungjawab semua untuk mewujudkan kehidupan yang lebih baik berbanding semalam. Dia juga berpegang kepada prinsip bahawa kejayaan ialah gabungan beberapa unsur dan bagi mencapai impian, kita harus membina hubungan yang baik dengan semua orang.

“Anak saya sumber inspirasi setiap hari. Saya juga sering bertanya pada diri sama ada sudah melakukan yang terbaik. Jika jawapannya tidak, perlu untuk menilai semula kehidupan dan melaluinya dengan positif,” ujarnya yang berazam ingin menempatkan Dirigo Events di barisan hadapan dalam acara sukan peringkat kebangsaan mahupun antarabangsa.

Secara peribadi, wanita yang gemar melakukan aktiviti air ini ingin menjadi ibu terbaik serta menjadikan kehidupan lebih positif setiap hari. Semuanya bermula sebaik saja dia dan suami menamatkan pengajian di United Kingdom dan berasa kekurangan apabila sukar membeli-belah menerusi dalam talian. Ketika itu perniagaan dalam talian masih belum berkembang di Malaysia.

Ini mendorong Vivy Yusof membuka butik alam maya FashionValet pada 2010 atas kesedaran ingin memberi keselesaan serta pengalaman berharga kepada pelanggan.

“Dengan kehidupan yang sibuk menguruskan kerjaya dan keluarga, sudah tentu wanita memerlukan sistem membeli-belah yang mampu mengurangkan bebanan mereka.

“Menerusi pembukaan FashionValet, kami mendapat maklum balas positif pengguna yang mengatakan mereka mempunyai banyak masa bersama keluarga.

“Selain memenuhi keperluan wanita, ia juga dianggap sebagai jambatan antara pereka dan pengguna. Malah pengguna bukan setakat dari Malaysia malah seluruh dunia termasuk Indonesia, Brunei, Australia dan United Kingdom,” jelasnya yang dicalonkan untuk anugerah Perniagaan Bella.

Dalam tempoh yang singkat bergelar usahawan, Vivy mengakui tanpa sedar dia mendidik masyarakat untuk menjadi lebih celik maklumat. Ini kerana sedar atau tidak, maklumat hanya di hujung jari oleh itu mereka yang tidak mengambil tahu pasti akan ketinggalan.

Selain itu, perbankan dan pembayaran dalam talian membuka mata semua pihak mengenai kebaikannya malah industri perniagaan menjadi lebih luas dan mudah.

“Bagi memberi pendedahan kepada generasi muda, FashionValet dijemput menyampaikan ceramah kepada usahawan muda terutama di kolej dan universiti bagi berkongsi pengalaman mengenai perniagaan,” katanya yang kini mempunyai pengunjung 18,000 sehari.

Berpegang kepada prinsip perniagaan tidak akan berjaya tanpa kerjasama semua pihak, Vivy sangat menghargai kakitangan syarikatnya kerana beranggapan mereka sebahagian daripada syarikat.

“Sebagai pemimpin, saya mengekalkan budaya seperti satu keluarga di pejabat. Untuk itu kami makan bersama dan mengambil peluang untuk bercakap mengenai masa depan, hala tuju syarikat dan berkongsi pendapat dengan semua orang,” katanya yang menjelaskan erti kebahagiaan apabila mempunyai keseimbangan antara kerjaya, keluarga, cinta dan agama.

Pada masa depan, Vivy mempunyai impian ingin menjadikan FashionValet sebagai salah satu perintis dalam e-dagang Asia serta mempunyai jenama dalaman yang berjaya membawa pelbagai label dari pereka di seluruh Asia.

Meminati penulisan sebagai bentuk terapi diri, Vivy mengakui akan terus menjadi penulis blog kerana melaluinya dia dapat memberi inspirasi kepada wanita muda untuk bekerja keras dalam pendidikan dan kerjaya.

“Sesuatu yang saya harapkan daripada penulisan saya supaya dapat membantu wanita menjadi lebih matang serta percaya pada diri sendiri. Saya akan terus bekerja keras mengembangkan perniagaan ke peringkat global, bagi membuktikan wanita di Malaysia boleh berjaya setanding wanita luar negara,” jelasnya.

Penyampai radio yang juga pengacara televisyen Asha Gill mengakui sangat teruja dengan pencalonan untuk anugerah Kreatif Bella.

Menerusi anugerah ini, ia mampu menjadi pendorong kepada wanita untuk melakar kejayaan dalam apa juga bidang diceburi mereka. Asha percaya kejayaan hari ini kerana hasil kerja keras serta tumpuan diberikan selain sentiasa memberikan yang terbaik dalam hidup.

Sebagai ibu tunggal, wanita ini sentiasa optimis walaupun masih terdapat stigma masyarakat yang memberikan label tertentu terhadap golongan ini.

“Saya ingin melakukan lebih banyak aktiviti berkaitan ibu tunggal bagi menghapuskan stigma masyarakat terhadap golongan ini. Tidak kira siapa kita, semuanya sama,” ujarnya.

Dilahirkan di United Kingdom, wanita yang memiliki ketinggian 180 sentimeter ini mengakui tidak mempunyai sebarang resipi untuk berjaya tetapi percaya, setiap orang mempunyai tuah dan ia akan muncul apabila masing-masing memberikan yang terbaik serta berusaha bersungguh-sungguh.

“Saya tidak mempunyai sebarang perancangan besar untuk jangka masa terdekat tetapi mahu berkongsi pengalaman dengan wanita terutama mereka yang teraniaya dan tidak mendapat pembelaan. Fokus saya hanya pada anak bagi memberikan yang terbaik kepadanya.

“Saya bercadang mahu membuka rumah kebajikan yang akan menempatkan bukan saja individu memerlukan tetapi haiwan terbiar. Saya mahu mendidik anak mengenai kehidupan serta nilai positif dalam hidup,” ujarnya.

Meskipun pertubuhan alam sekitar yang diasaskannya masih baru, Yasmin Rasyid boleh disifatkan antara tenaga utama yang berusaha meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan menjaga alam sekitar dalam kalangan masyarakat Malaysia.

Atas usahanya sejak beberapa tahun lalu, Presiden EcoKnights ini berjaya memberi impak dalam kalangan generasi muda untuk terbabit dalam kerja sukarelawan selain mewujudkan Festival Filem Eko yang melahirkan ramai bakat baru, bukan saja dalam industri perfileman malah alam sekitar.

Jelas Yasmin, pengalamannya menghabiskan cuti musim panas di makmal marin Universiti Duke di sebuah pulau kecil berhampiran Beaufort, Carolina Utara, Amerika Syarikat menjadi titik permulaan kepada pembabitan dalam isu penjagaan alam sekitar.

“Apabila tidak berkesempatan pulang ke Malaysia ketika musim cuti, saya bekerja sambilan di makmal itu bagi membantu saya memahami lebih mendalam subjek biologi yang dipelajari di universiti.

“Bermula dari situ, saya berminat dengan aktiviti kajian luar dan membuka minda saya meneroka lebih lanjut mengenai dunia kita,” katanya yang dicalonkan untuk anugerah Hati Bella di atas kesungguhannya berhadapan isu alam sekitar.

Mengakui inspirasi datang daripada pelbagai bentuk serta perkara yang berlaku di sekelilingnya, wanita kecil ini mengakui sentiasa bersederhana dalam kehidupan kerana percaya pada hukum karma yang baik dibalas baik dan jahat dibalas jahat.

Wanita kelahiran Ipoh, Perak ini yang dilantik sebagai pegawai saintifik
di bawah program Forests for Water, Water for Life yang mengkhususkan kepada kajian sumber pencemaran berasaskan tanah di lembangan sungai sekitar Selangor, bertanggungjawab memantau aspek fizikal dan kimia anak sungai yang menyumbang kepada pembangunan dalam pengurusan bersepadu di lembangan sungai.

Besar harapan Yasmin supaya masyarakat tidak hanya mengharapkan badan bukan kerajaan dan kerajaan bagi menangani isu alam sekitar sedangkan alam sekitar musnah disebabkan manusia sendiri.

“Kalau bukan kita yang berubah, siapa pula yang akan melakukannya? Kita beruntung kerana Malaysia masih mempunyai banyak sumber alam dan persekitaran yang masih elok. Sebaik-baiknya hargai anugerah itu dan berterusan menjaganya,” tegas Yasmin mengakhiri bicara.

Leave a Reply

You must be logged in to post a comment.

620 views