Udang Galah Bakar Keju

TANGGAL 13 Mei bersamaan Hari Ibu sentiasa dinanti kerana mahu meraikan hari bahagia itu bersama ibu tercinta.

Pasti banyak rancangan direncanakan bersama ahli keluarga dan salah satu yang wajib dilakukan adalah majlis makan tengah hari atau makan malam bersama ibu sama ada di rumah mahupun restoran.

Riuh rendah suasana yang digamatkan dengan hilai tawa kanak-kanak, menambahkan lagi keceriaan sambutan pada hari itu.

Oleh itu, jika anda tidak mempunyai idea mahu menyediakan sajian sempena Hari Ibu nanti, apa kata mencuba air tangan daripada Eksekutif Chef restoran Zuan Yuan, Hotel One World, Michael Chew, menerusi sajian udang galah bakar bersama keju.

Resipi ini cukup mudah dan boleh dihasilkan dalam tempoh 10 minit. Malah ia cukup lazat dengan rasa udang galah yang penuh berkrim.

Menurut Chef Chew, udang galah yang dipilih mestilah segar bagi mengekalkan tekstur lembut dan kenyalnya. Ia juga bertujuan melahirkan rasa manis dalam hidangan secara semula jadi.

“Hidangan udang mudah dimasak kerana ia tidak mengambil masa yang lama. Isinya yang lembut, kenyal dan manis pula sesuai untuk dipelbagaikan dalam apa jua jenis resipi.

“Untuk menu ini, udang galah iaitu udang air tawar yang memang sudah terkenal di negara kita hanya akan digoreng sebentar sehingga bertukar warna kepada kemerah-merahan sebelum disumbat dengan kisaran sos bawang putih.

“Sebelum menggoreng, taburkan sedikit tepung gandum ke atas udang galah agar isinya padat dan tidak bercerai ketika digoreng,” katanya.

Selain itu, udang galah boleh ditukar dengan udang jenis lain seperti udang harimau, mengikut selera masing-masing.

Di restoran berkenaan, menu ini boleh dicuba pada harga bermula RM78++ seekor yang disediakan untuk hidangan makan tengah hari dan malam saja sepanjang tempoh promosi yang berlangsung Mei ini.

Anda juga boleh mencuba hidangan berasaskan udang yang lain seperti udang galah kukus bersama bawang putih bakar dan udang galah kukus bersama putih telur.

Leave a Reply

You must be logged in to post a comment.

7,112 views