Udang Masak Cili Padi
MELIHAT cara penyediaannya, bagaikan tidak sabar menikmati hidangan enak udang masak cili bersama nasi putih panas. Tambahan pula apabila melihat isi udang kemerah-merahan bersama cili padi yang diletakkan di dalam mangkuk, membuatkan perut yang kosong semakin berkeroncong.
Menurut pemilik restoran Mee Ketam Kuala Lumpur, Ubaidah Makmum, 27, udang galah enak digoreng, dimasak kari, dibuat sup atau dimasak cili. Namun memasaknya tidak boleh terlalu lama kerana ia akan menghilangkan kemanisan isi udang. Sebaiknya dalam masa tiga minit, isi udang sudah lembut dan boleh diangkat.
Bagi menambah keenakan rasa udang, pemilihan udang galah segar sangat penting. Pastikan udang mempunyai kulit yang cerah dan lut sinar. Terdapat pelbagai cara memastikan udang galah tidak busuk dan berbau. Ini boleh dilihat menerusi bahagian luaran iaitu pada kulit yang masih kebiru-biruan.
“Biasanya kulit udang galah segar kebiru-biruan. Selepas dimasak, barulah udang bertukar warna menjadi lebih merah. Isinya pula agak manis dan berbau wangi. Berbeza sekiranya udang sudah lama kerana isinya lembut dan hancur malah berbau busuk,” katanya.
Restoran yang dibuka sejak Julai 2010 lalu mempertaruhkan menu berasaskan udang galah dan ketam. Antaranya, mi kari udang, udang masak cili, bihun sup udang galah, kari ketam, bihun sup ketam, nasi goreng ketam, ketam masak cili dan ketam masak lada hitam.
“Harga untuk hidangan udang galah bermula daripada RM11 hingga RM18 mengikut berat udang manakala menu berasaskan ketam bermula daripada RM3 hingga RM18 bergantung kepada saiz,” katanya ketika ditemui di premis perniagaannya di No 11, Jalan Zikron B7/B, Kompleks Anjung 7, Shah Alam, Selangor.
Istimewa untuk pembaca Harian Metro, Muhammad Reduan Jamarudi menunjukkan cara menyediakan udang galah masak cili.
Bahannya:
Seekor udang galah
1 ulas bawang besar
4 biji cili padi
3 ulas bawang putih
2 sudu sos tiram
1 mangkuk stok ketam atau ikan bilis
1 sudu kecil sos ikan
Sedikit minyak masak
Gula secukup rasa
Artikel ini disiarkan pada : 22/08/2012