Uji Ketahanan Mental, Fizikal

Kekentalan tiga wanita yang mencabar kemampuan diri mengharungi pemilihan Projek Ekspedisi Kelab Eksplorasi Tujuh Benua Malaysia (KE7B) Greenland 2014 ter-nyata begitu mengagumkan.

Umpama badang, tiga wanita ini, Tahirah Najmunisaa Mohd Zaid 24; Siti Shafikah Anuar, 23 dan Faherina Mohd Esa, 31, tidak gentar mengikuti latihan bersama 27 peserta lelaki untuk merebut gelaran wanita pertama Malaysia merentasi Greenland pada 2014.

Sebelum ini, ketiga-tiganya sudah berjaya melepasi halangan mencabar yang memerlukan mereka bersedia menghadapi apa jua latihan lasak bagi memastikan fizikal dan mental berada pada tahap maksimum untuk menerima cabaran seterusnya.

Malah, mereka sudah mendaki dua gunung iaitu Gunung Brinchang di Cameron Highlands (2,031 meter dari paras laut) dan Gunung Nuang, Hulu Langat (1,498 meter dari paras laut) dengan menarik bebanan dan tayar seberat 30 kilogram (kg) sebagai sebahagian latihan dalam sesi pemilihan ini.

Kedua-dua sesi latihan ini benar-benar menguji ketahanan mental dan fizikal peserta apabila mereka terpaksa melalui jalan balak sejauh 10km dan 20km. Apa tidaknya, mereka terpaksa menarik beban di laluan berbukit, namun mereka menganggap ia latihan yang amat baik sebagai persediaan menghadapi cabaran lebih hebat di Greenland kelak.

Tahirah Najmunisaa yang juga ibu kepada dua cahaya mata mengakui teruja apabila terpilih menyertai sesi pemilihan projek berkenaan malah tidak menjadikan kesibukan mengurus keluarga sebagai halangan.

“Saya berlari sejauh 10km setiap petang bagi mengekalkan stamina. Bagi saya, latihan pertama mendaki Gunung Nuang amat mencabar, tetapi saya tetap bersemangat kerana saya sangat berharap menjadi 10 peserta terbaik nanti.

“Berbeza dengan latihan kedua mendaki Gunung Brinchang, kami terpaksa bermain dengan cuaca dan kami juga terpaksa menempuh perjalanan sejauh 20km yang mengambil masa sehari suntuk,” kata anggota Tentera Laut Diraja Malaysia ini.

Bagi Faherina pula, latihan mendaki Gunung Nuang mengurangkan tekanan ketika mendaki Gunung Brinchang kerana sudah membuat persediaan mental dan emosi pada pendakian kedua.

“Kami hanya dibenarkan membawa bekalan makanan seperti biskut, kismis, kekacang, roti dan mi segera serta air secukupnya. Ini bagi membiasakan diri dengan makanan ringan, tetapi berkhasiat ketika berada di Greenland nanti,” kata wanita yang berkhidmat sebagai pegawai bank ini.

Memegang pada falsafah hidup, jangan mudah selesa dengan kehidupan ini tanpa mencuba sedangkan masih banyak kejadian ciptaan Allah boleh dikongsi bersama, Faherina tekad untuk menjadi rakyat Malaysia yang berjaya merentasi Greenland melalui projek Ekspedisi KE7B Greenland 2014.

Bagi gadis kelahiran Selangor, Siti Shafikah pula, dia tidak pernah terduga terpilih dalam kalangan 30 peserta terbaik untuk mengikuti latihan dan menganggap pengalaman menyertai 100 kejohanan larian dalam negara memberi kelebihan pada dirinya.

Bekerja sebagai pembantu arkitek, gadis genit ini bertekad sedaya upaya supaya terpilih antara 10 peserta terbaik sekali gus merealisasikan impiannya menjadi peserta yang akan merentasi Greenland nanti.

“Latihan pertama dalam tempoh 24 jam tanpa henti mengheret tayar sambil mendaki gunung amat menguji kekuatan mental dan fizikal saya. Komitmen yang baik daripada rakan pasukan turut menyumbang kepada kejayaan latihan ini.

“Ketika mendaki Gunung Brinchang, pendakian bermula jam 3 pagi dengan cuaca agak sejuk. Ketika orang lain lena dibuai mimpi, kami berusaha mendaki walaupun terpaksa berdepan dengan bentuk muka bumi sedikit mencanak.

“Malah, kami juga terpaksa bersaing dengan peserta lelaki, namun ia sebahagian cabaran yang akan dibawa ke Greenland nanti,” katanya.

Selepas dua sesi latihan di Gunung Nuang dan Brinchang, 30 peserta ini akan menjalani dua latihan berperingkat di Malaysia sebelum mengikuti latihan di Norway dan New Zealand bagi mengendalikan ski dalam cuaca sejuk melampau.

Greenland adalah pulau terbesar di dunia iaitu 75 peratus muka buminya diliputi lapisan ais di luar Antartika dan suhu sejuk mampu mencecah negatif 40 darjah Celsius.

Bagi ekspedisi menjelajah bumi ais ini, peserta akan merentasi perjalanan sejauh 520 kilometer dan mendaki pada ketinggian 2,800 meter dari aras laut dalam tempoh 30 hari.

Lebih mencabar apabila mereka terpaksa mengheret bebanan seberat 75 kilogram sepanjang ekspedisi.

Leave a Reply

You must be logged in to post a comment.

411 views