Uji Ketangkasan Peserta Berkumpulan

Bunyinya seperti aktiviti mencari harta karun yang biasa dilakukan pada hujung minggu. Bergerak dari satu stesen ke stesen lain selepas menyelesaikan cabaran atau misi yang disediakan.

Satu demi satu misi dilakukan hingga akhirnya peserta yang tiba dulu di lokasi terakhir diangkat selaku juara.

Namun bagi peserta acara Running Hunt Malaysia yang diadakan sekitar ibu kota minggu lalu, bukan siapa yang tiba dulu jadi sasaran, tetapi tertumpu kepada siapa yang terakhir kekal di gelanggang permainan dengan tanda nama masih terlekat di belakang badan.

Bagi peminat program variasi Korea Selatan, Running Man, konsep pemainan ‘mencabut tag nama’ menjadi tarikan dan amat dinantikan peserta kerana itulah cabaran utamanya.

Biarpun sesebuah kumpulan atau individu berjaya mendahului misi sebelum itu, ia sekadar memberi kelebihan untuk bersembunyi dan menyusun strategi sebelum mencabut tag nama peserta yang tiba seterusnya.

Misi pertama dimulakan di stesen KL Sentral, di mana setiap pasukan seramai enam peserta diberikan kad klu untuk misi seterusnya. Semuanya menerima klu yang sama iaitu perlu membeli tiket tren LRT dari lokasi permulaan sehingga ke stesen KLCC.

Bagaimanapun, setiap pasukan perlu turun di setiap stesen sebelum lokasi terakhir bagi menyempurnakan misi. Di stesen Pasar Seni, peserta perlu membaling duit syiling dalam kuali leper dengan diberikan peluang sehingga tiga kali cubaan setiap seorang.

Jika gagal dalam cabaran ini atau mana-mana misi berikutnya, penalti dua tren dikenakan pada pasukan terbabit. Bermakna, kumpulan berkenaan perlu melepaskan dua perjalanan tren LRT sebelum boleh meloncat masuk ke tren ketiga untuk menyambung misi.

Misi diteruskan ke stesen berikutnya dan misi Cham Cham Cham ini memerlukan peserta berpaling ke arah bertentangan daripada ‘tangan kuning’ yang diletakkan di depan, contohnya jika tangan menuding ke kanan, muka perlu berpaling ke kiri dan sebaliknya.

Misi ini menjurus kepada daya tumpuan penglihatan peserta, selain fokus kepada bunyi Cham Cham Cham yang dilakukan kru.

Meneka 10 perkataan atau ayat seperti yang dilakonkan (Riddles for Seconds) dalam tempoh dua minit pula menjadi cabaran di hentian seterusnya. Apa yang diperlukan ialah kemahiran salah seorang ahli kumpulan dalam menyampaikan ayat kepada rakannya, sama ada dalam cara lakonan, gerak tubuh atau memberikan klu berkaitan secara lisan.

Misi Twist or Twisted kemudiannya membuatkan pergerakan beberapa pasukan tergendala kerana peserta diminta menyebut sepotong ayat yang bunyinya hampir sama dalam tempoh 30 saat.

Kemuncaknya di stesen akhir apabila setiap pasukan perlu mencari kru berdasarkan klu yang diberi sebelum bergerak ke taman berhampiran Jalan Ampang untuk misi kelangsungan tag nama.

Seperti apa yang berlaku dalam program popular dibarisi nama besar Korea antaranya Yu Jae-suk, Ji Suk-jin, Kim Jong-kook, Ha-ha, Lee Kwang-su, Gary dan Song Ji-hyo itu, adegan terakhir iaitu mencabut tag nama sememangnya menakutkan.

Kala setiap peserta Running Hunt Malaysia menerima kemeja-T velcro yang mempunyai tanda nama Running Man dalam tulisan Korea di belakangnya selepas pendaftaran, masing-masing asyik cuba mengoyakkannya sesama sendiri.

Menjadi peserta pertama yang dicabut tag namanya juga amat menggerunkan dan ia sememangnya saat paling diingati penulis sehingga ke hari ini.

Kisahnya, peserta diminta mencari seberapa banyak bola bertanda ‘R’ dalam tempoh ditetapkan dan pasukan penulis (Harian Metro) mengambil keputusan berpecah kepada tiga bagi memudahkan carian.

Kurang lima minit kami bergerak, penulis bersama seorang ahli pasukan berjaya menjumpai sebiji bola tapi disebabkan kami ralit mencari bola lain di sekitar pokok berhampiran, sekumpulan gadis bertudung mula menghampiri kami.

Semuanya menuju ke arah penulis dan seperti apa yang dilakukan dalam Running Man, penulis sedaya upaya mengelak daripada menjadi mangsa tag nama.

Beberapa kali cuba membolosi mereka, tetapi tidak berjaya hingga penulis mengambil keputusan berbaring di lantai bagi melindungi tag nama.

Dengan rakus dua gadis terus memegang kaki, dua lagi di kedua belah tangan sementara seorang gadis gempal (yang mungkin ketuanya) terus menolak tubuh penulis supaya tangannya berjaya mencangkuk leher penulis. Dengan pantas dia mencabut tag nama sehingga koyak kemeja-T yang dipakai lalu menampakkan sebahagian besar belakang tubuh penulis.

Mujur ia berlaku berhampiran pusat beli-belah dan kru penganjur banyak membantu kala penulis bergegas membeli kemeja-T baru.

Misi mencari bola ‘R’ itu bagaimanapun diubah pada saat akhir atas beberapa masalah, lalu penganjur terus membawa peserta ke tanah lapang untuk acara paling dinantikan tag nama.

Setiap pasukan boleh menurunkan seberapa ramai ahli tapi mengikut jumlah bola yang berjaya dikumpul pasukan terbabit. Seorang demi seorang tersingkir hinggalah berakhir dengan pertarungan sengit antara wanita dan lelaki.

Sememangnya ia pengalaman baru bagi kami. Selalunya, insiden menakutkan ini cuma dapat ditonton dalam Running Man tanpa ada perasaan takut atau bimbang kerana penonton terhibur dengan aksi serta gelagat lucu mereka.

Erik Sim Ziheng, 17, yang mewakili pasukan Race In muncul juara selepas berjaya menarik tag nama Teh Shuyi, 21, daripada pasukan Powerpuff Girl, sekali gus membolehkan kumpulannya membawa pulang hadiah utama wang RM300.

Menurut penganjur Running Hunt Malaysia, Cheong Wei Ling, aktiviti ini diadakan sebagai tanda sokongan peminat Running Man di Malaysia serta memberi peluang peminat merasai pengalaman menyelesaikan misi seperti dalam program televisyen popular itu.

“Kami menganjurkannya kerana ia belum pernah diadakan lagi meskipun Running Man mempunyai ribuan peminat di Malaysia. Penyertaan yang kami terima amat menggalakkan hingga perlu dipecahkan kepada dua sesi, tujuh di sebelah pagi manakala lapan pasukan pada sesi petang.

“Dengan adanya Running Hunt Malaysia ini diharapkan peserta dapat menimba pengalaman baru dan saling menjalin hubungan baik sesama peminat Running Man.

“Pada masa sama, kami juga harap ia dapat menarik perhatian produksi Running Man untuk mengadakan rakaman program mereka di Malaysia selepas Thailand, China, Hong Kong, Macau dan Vietnam,” katanya.

Leave a Reply

You must be logged in to post a comment.

507 views