Umur Bukan Penghalang
Azam menurunkan berat badan membuatkan Goh Kim Hong, 50, mula aktif dalam larian maraton apabila berasa tubuhnya tidak menarik lagi sebaik melahirkan anak keduanya 15 tahun lalu.
Biarpun pada mulanya, hasrat berlari bukan disebabkan minat namun selepas aktif menyertai larian, ibu kepada dua cahaya mata itu jatuh hati pada aktiviti berkenaan dan sudah menyertai puluhan larian marathon bukan saja di dalam negara, malah di luar negara.
Menurut Goh, lebih menguatkan azamnya ketika baru melahirkan anak, dia berpindah ke Jakarta, Indonesia dan rata-rata wanita di sana mempunyai tubuh yang langsing dan kelihatan menawan.
Malah, setiap kali dia berjalan di pusat beli-belah di negara terbabit, hanya wanita ramping yang jelita saja menghiasi dada iklan, membuatkan hatinya terdetik ingin menjadi cantik seperti mereka.
“Selepas melahirkan anak, badan saya agak gempal. Ini membuatkan saya mahu menguruskan badan demi menjaga kesihatan serta mahu nampak menarik supaya mudah menggayakan sebarang pakaian.
“Apabila berat badan meningkat, banyak baju yang tidak muat sehingga saya berasa sedih. Tapi apabila mula berlari, sedikit demi sedikit, berat badan saya turun dan keyakinan saya juga bertambah apabila boleh bergaya dengan pelbagai fesyen,” katanya.
Lebih membanggakan, hasil kerja keras berlatih selain menjaga pemakanan untuk melayakkan dirinya menyertai larian maraton, Goh berjaya menurunkan 12 kilogram hanya dalam tempoh empat bulan.
Usahanya tidak sia-sia kerana dia sering mendapat tempat empat teratas dalam larian maraton yang disertai, termasuk ketika menyertai acara bersejarah Maraton Boston.
Goh berkata, sebagai persediaan menyertai maraton, dua tahun pertama ketika dia baru berjinak-jinak dalam larian, wanita tegar itu berlatih berlari setiap hari selama dua tahun bagi membina stamina ke tahap terbaik.
Biarpun sudah berusia, dia membuktikan umur bukan penghalang atau boleh melemahkan seseorang apabila mendapat tempat ketiga dengan catatan masa empat jam tujuh minit bagi kategori usianya pada Maraton Bali tahun lalu.
“Pencapaian saya sebenarnya semakin baik berbanding dulu kerana selain stamina, saya juga mempunyai teknik larian mengikut rentak sendiri. Umur bukan menjadi penghalang, malah ia menjadikan saya lebih baik,” katanya.
Minat mendalam dalam larian maraton mendorong Goh menguji kekuatan dirinya apabila pernah menyertai tiga maraton dalam tempoh tiga minggu di tiga benua pada 2008.
Dia sanggup merentas benua dan masa dengan menyertai Maraton London, Maraton Boston dan Maraton Rotorua di New Zealand dalam tempoh tiga minggu berkenaan. Malah, dia turut berjaya menamatkan ketiga-tiga maraton itu dalam tempoh tiga jam 32 minit hingga tiga jam 42 minit.
“Sebagai persediaan bagi menyertai maraton ini, saya berlari setiap selang seminggu bagi membentuk stamina diri. Dua minggu sebelum menyertai mana-mana larian maraton, saya menukar diet saya dengan mengambil makanan daripada jenis karbohidrat kompleks.
“Saya lebih banyak makan keledek manis, nasi kurang kanji, gandum dan mengelakkan makanan pedas serta daging. Saya juga mengambil banyak garam kerana apabila berlatih berlari selama enam hari seminggu, tubuh mengeluarkan banyak peluh,” katanya.
Menurut Goh, setiap pelari mempunyai tempoh stamina dan apabila tiba satu bahagian, selalunya pada separuh larian atau 35km, mereka berasa letih atau tidak mampu lagi meneruskan larian.
Ketika inilah kekuatan mental memainkan peranan penting bagi membantu tubuh untuk meneruskan larian biarpun secara fizikal, mereka kehabisan tenaga sehingga seolah-olah perlu berhenti.
“Selepas sampai satu tahap, semua karbohidrat yang menjadi sumber tenaga sudah habis digunakan kerana badan hanya boleh simpan untuk 32km dan kita perlu meneruskan larian dengan menguatkan semangat menggunakan mental semata-mata.
“Selalunya saya membekalkan diri dengan air atau gel yang sering digunakan pelari sebagai tenaga. Inilah cabaran peribadi buat saya, kita kena sentiasa berfikiran positif kerana apabila berada di hujung larian, ia menjadi bahagian paling mencabar buat semua pelari,” katanya.
Bagi meneruskan larian hingga ke garisan penamat, dia selalunya membayangkan anak-anaknya menunggunya di situ dan betapa gembiranya mereka sekiranya dia dapat menamatkan larian dengan baik.
Keinginan untuk membuatkan anaknya bangga dengan kejayaan dirinya, banyak membantunya meneruskan larian seterusnya sampai ke garisan penamat dengan catatan masa yang baik.
Malah, dia menggunakan pendekatan psikologi bagi membina semangat lariannya. Antaranya setiap malam sebelum tidur, dia melihat majalah yang memaparkan wanita ramping dan sihat sebagai pembakar keinginan untuk terus maju.
Nasihatnya kepada mereka yang baru berjinak dengan larian maraton supaya jangan terlalu mendesak diri untuk menang, sebaliknya berlari perlahan dengan tenang dan menikmati suasana larian terlebih dulu, sebelum menjadi lebih agresif pada larian seterusnya.
Namun, kecederaan lutut hingga menyebabkan dia perlu menjalani pembedahan pada 2009, membuatkan dia berehat sebentar selama dua tahun daripada menyertai sebarang larian maraton.
Ketika ini, dia mula aktif semula secara perlahan-lahan apabila menyertai larian Great Wall of China pada 1 Mei lalu dan terbaru bakal menyertai Maraton KL Standard Chartered 2013 pada 30 Jun ini di Dataran Merdeka.
Penghilang tekanan
Pengajar teknologi kreatif, Zalekha Yazid, 31, pula menyertai larian maraton secara suka-suka memandangkan ia satu aktiviti yang digemari arwah ayahnya, selain menjadi aktiviti bersama rakan dan keluarga.
Ketika baru menamatkan pengajian di universiti pada 2006, Zalekha mengambil keputusan menyertai larian maraton apabila berasa bosan duduk di rumah tanpa mempunyai sebarang aktiviti.
Memandangkan larian hanya aktiviti mengisi masa lapangnya, wanita muda itu mengajak rakan dan adik-beradiknya mengikut sekali bagi mendapatkan suasana ceria dan tidak terlalu serius.
Bagaimanapun, dia tidak mengambil mudah dan tetap melakukan persediaan setiap kali menyertai larian dengan berlari di sekitar kawasan rumah bagi membina stamina.
Hari minggu juga tidak terkecuali dan dia sanggup bangun seawal jam 5 pagi pada hari cuti semata-mata untuk berlatih berlari bersama rakan.
“Saya berlatih setiap hari dan tabiat itu berterusan sehingga hari ini. Setiap hari selepas kerja, saya berlari sejauh lima kilometer di kawasan rumah, kadangkala seorang diri atau dengan rakan.
“Sekarang, sudah empat bulan saya berlatih berlari sejauh 15km setiap hujung minggu kerana mahu membina stamina lebih baik bagi mendapatkan catatan masa terbaik.
“Sebenarnya saya suka mencuba perkara baru dan apabila sudah mula mencuba, saya tertarik untuk meneruskan larian biarpun tidaklah mengharapkan tempat teratas. Saya cuma mahu menghabiskan larian dalam catatan lebih baik berbanding sebelumnya.
“Selalunya saya menyertai larian sejauh 21km dan pernah juga memasuki maraton penuh iaitu 42km. Malah saya seperti tidak percaya apabila berjaya menamatkan larian sejauh 42km,” katanya.
Zalekha yang aktif menyertai maraton setiap tahun berkata, ketika berlari dia membawa sekali air kosong supaya dia dapat meneruskan larian dengan baik sehingga ke garisan penamat.
Katanya, selain minat, dia turut menjadikan larian maraton sebagai tempat untuk menghilangkan tekanan harian selepas penat bekerja, apatah lagi ia boleh membuatkan tubuhnya lebih sihat dan bertenaga.
Zalekha yang dibesarkan di Sabah dan Sarawak juga sudah terbiasa dengan aktiviti lasak kerana arwah ayahnya seorang yang sukakan aktiviti luar dan sering membawanya bersama untuk berkhemah dan melakukan cabaran ekstrem.
Katanya, sebaik menyertai larian berkenaan, gaya hidupnya secara automatik berubah dan dia bukan saja banyak bersenam, malah menjaga pengambilan pemakanan sihat kerana mahu menjaga stamina diri.
“Setiap kali sebelum menyertai maraton, saya tidak minum kopi tetapi memperbanyakkan pengambilan sayur-sayuran, buah-buahan dan nasi. Saya juga mengamalkan minum air kosong dengan banyak.
“Ketika berlari pula, apabila sudah terlalu letih, saya menjadikan orang sekeliling yang menjerit memberi sokongan padu kepada pelari maraton termasuk memukul gendang sebagai penguat semangat bagi menamatkan larian.
“Bagi mereka yang pertama kali menyertai maraton, jangan terlalu mendesak untuk berlari laju kerana anda mungkin boleh kehilangan keseimbangan tubuh dan terjatuh atau cedera. Mereka perlu berlatih terlebih dulu,” katanya.
Tidak makan, minum sebelum berlari
Bagi perunding pengurusan, Nishreen Ali, 25, dia pernah berbadan besar satu ketika dulu dan mencari cara terbaik untuk menguruskan badan sehinggalah hatinya terdetik untuk menyertai larian maraton.
Ketika usianya masih remaja, tubuhnya agak berisi dan dia berazam untuk menurunkan 10kg. Hasratnya tercapai apabila berjaya menurunkan sehingga 12kg hanya dalam tempoh empat bulan sebaik mula berlari dengan aktif.
“Kelebihan berlari maraton ini apabila saya boleh makan apa saja kerana latihan larian dan senaman yang saya lakukan setiap hari membakar banyak lemak.
“Ketika masih baru menyertai maraton, saya turut berdiet tetapi kini saya boleh makan banyak kerana saya memerlukan tenaga untuk berlari,” katanya.
Ketika masih belajar di kolej, Nishreen hanya menyertai larian sejauh 10km hingga 21km namun selepas beberapa tahun, dia kini turut aktif menyertai larian maraton yang lebih besar.
Selain berlatih berlari di sekitar kawasan rumah, dia turut mengunjungi gimnasium lima kali seminggu untuk membina dan menguatkan otot sebagai persediaan.
Berbeza dengan orang lain, dia tidak menyentuh sebarang makanan atau minuman sehari sebelum berlari kerana begitu fokus untuk menamatkan larian.
Katanya, dia juga mendengar lagu kegemaran sepanjang berlari dan menjadikan lagu pelbagai rentak sebagai pembakar semangat selain berlari mengikut rentak supaya dia tidak mudah lesu.
“Saya juga lebih suka berlari seorang, bukan bersama rakan kerana saya berasa lebih selesa dan yakin. Saya juga menggambarkan garisan penamat sebagai motivasi diri supaya saya terus positif dalam larian.
“Saya memang seorang yang sangat kompetitif dan selalu memberi motivasi kepada diri sendiri. Saya juga tahu saya boleh buat lebih baik dalam larian akan datang.
“Pada saya mendapatkan tip daripada orang yang lebih lama terbabit dalam larian sesuatu yang penting kerana ia membantu kita untuk menjadi lebih baik sebagai pelari maraton,” katanya.
Katanya, larian maraton turut memberi impak positif kepada kehidupan hariannya dan kerjaya apabila dia lebih fokus dan mempunyai matlamat yang ditetapkan dalam setiap perkara yang dilakukan.