Unsur Alam Diterjemah Melalui Koleksi Sandal

MENGAMBIL inspirasi daripada keindahan alam semula jadi, jenama kasut terkemuka FitFlop menjadikan unsur alam untuk diterjemahkan pada koleksi sandal musim bunga dan panas 2013.

Menampilkan empat kunci utama seperti penggunaan elemen sains dan alam sengaja ditampilkan untuk memberi kelainan pada koleksi dihasilkan.

Konsep alam, mineral dan organik berjaya menerbitkan rona pilihan yang lebih menarik dan digemari ramai. Selain unsur alam, jenama berkenaan turut menjadikan kesempurnaan sempadan garisan bentuk geometri sebagai panduan menghasilkan pelbagai rona menarik.

Fokus pada bentuk geometri berfungsi untuk menetapkan reka bentuk dan tekstur sandal selain menonjolkan rona terang pada dua ton berbeza.

Untuk menghasilkan rona yang menitik beratkan ciri lutsinar dan ceria pula, ilham daripada bioluminescence – penghasilan cahaya yang memancarkan pelbagai warna oleh organisma tertentu digunakan bagi mendapatkan rekaan yang lebih segar.

Berbeza bagi wanita yang inginkan penampilan tampak lebih mewah walaupun ketika bersantai, koleksi daripada inspirasi keajaiban alam semesta sesuai digayakan.

Memancarkan rahsia alam seperti bintang yang bertaburan di langit biru pada waktu malam begitu mengujakan. Sama seperti rekaan kasut yang mengikut trend semasa pastinya membuatkan si pemakai berasa ceria dan bersemangat untuk terus melangkah.

Keempat-empat kunci utama dalam pembuatan kasut atau sandal itu berjaya menghasilkan koleksi menarik, antaranya The Chada, The Chada Sandal, Sling M Sandal dan Trakk II.

Koleksi The Chada dihias dengan batu permata pada tali depan sandal didatangkan dalam tiga warna hangat seperti merah, hitam dan krim.

Bagi wanita yang mementingkan keselesaan ketika bersantai, koleksi The Chada Sandal sesuai digayakan kerana ia mempunyai tali pada bahagian belakang agar tidak mudah tertanggal ketika berjalan atau berlari.

Menariknya, rona yang ditampilkan bukan hanya hitam dan krim saja malah penampilan warna biru keunguan menjanjikan kesegaran dalam bergaya.

Gaya menarik untuk jejaka juga tidak dilupakan apabila jenama berkenaan menampilkan koleksi Sling M Sandal yang lebih lembut. Lengkap dengan kehadiran tali velcro di bahagian belakang, ia mudah dilaras untuk lebih selesa.

Ia memberi keseimbangan terhadap gaya dan keselesaan untuk dipakai ke mana saja menerusi empat pilihan rona berbeza seperti kelabu gelap, biru, hijau dan hitam.

Tidak kurang juga dengan rekaan Trakk II yang mempunyai fungsi tali velcro di bahagian tepi untuk memberi keselesaan dan perlindungan pada jari kaki ketika bergerak.

Leave a Reply

You must be logged in to post a comment.

1,705 views