Usah Takut Cahaya Matahari

KEHANGATAN konsert MTV World Stage Live In Malaysia di Taman Tema Sunway Lagoon Surf Beach, yang berlangsung pada sebelah malam 14 Julai lalu (Sabtu) tidak sedikit pun menjejaskan kemeriahan program Parti Pantai Musim Panas Bersama Clinique yang diadakan berhampiran lokasi sama di siang harinya.

Ini terbukti apabila ratusan pengunjung terutamanya gadis muda, mengunjungi parti pantai yang pertama kali diadakan jenama kosmetik terkenal itu.

Sambil menggayakan pelbagai fesyen menarik dengan percikan rona musim panas seperti biru, merah, jingga dan kuning, si cantik turut tampil lebih jelita selepas mendapat sentuhan solekan percuma daripada jurusolek profesional Clinique di salah satu gerai yang disediakan di situ.

Kebingitan alunan muzik kuat yang mengiringi setiap langkahan kaki pengunjung pada hari berkenaan juga tidak menjemukan mereka untuk terus berhibur sambil bermain air dan bersantai di bawah terik panas cahaya matahari.

Cahaya matahari? Mendengar perkataan ini saja sudah pasti merisaukan ramai wanita dan gadis yang takut mendedahkan tubuh mereka di bawah panas terik semata-mata untuk bersantai kerana bimbang dengan risiko mengalami selaran matahari.

Atas alasan itulah ramai di antara kita lebih gemar menghabiskan waktu senggang di kawasan berbumbung atau dalam bahasa mudahnya, di pusat beli-belah.

Justeru, Clinique tampil dengan pendekatan penganjuran program sebegini bertujuan mendidik dan menggalakkan penggunaan produk mesra mentari serta pada masa sama, menyediakan panduan gaya hidup yang seronok dan menyihatkan.

Pengurus Kanan Pemasaran Clinique, Jesse Ong, berkata program sedemikian adalah usaha strategik jenama itu untuk mendekati dan menarik pengguna muda menyertai satu program yang menyeronokkan dan berkaitan dengan diri mereka.

“Sebagai jenama produk penjagaan kulit yang pertama dibangunkan oleh pakar dermatologi, Clinique mengadakan program ini bagi meraikan idea cantik dengan cara yang sihat di bawah terik mentari di samping mempromosikan penggunaan produk mesra matahari pada musim panas secara sihat menerusi rangkaian produk Clinique Solar Smart.

“Penemuan kami menyatakan bahawa pendedahan kepada cahaya matahari mengakibatkan hampir semua aspek penuaan pramatang. Tetapi ia tidak bermakna kita harus menjauhi matahari, sebaliknya kita hanya perlu melindungi kulit dengan betul.

“Matahari ialah sumber tenaga dan kehidupan. Justeru, program ini secara tidak langsung bertujuan mendidik pengguna mengenai perlindungan yang selamat daripada matahari. Pada masa sama, mereka dapat menjalani aktiviti menyeronokkan tanpa kompromi menerusi rangkaian produk Clinique,” katanya.

Pengarah Urusan Syarikat Estee Lauder Malaysia, Paul Salvin, pula menjelaskan, parti pantai yang unik ini adalah acara penuh warna-warni dan keceriaan yang boleh mendekatkan lagi hubungan pengguna muda dengan jenama Clinique.

Panduan penjagaan kulit dan penganjuran pelbagai aktiviti berterusan pada acara yang bermula seawal jam 10 pagi itu juga menanam nilai aspirasi dan mendidik pengguna.

Pada parti terbabit, pelbagai gerai disediakan untuk menghiburkan pengunjung termasuk perundingan dan petua penjagaan kulit serta panduan solekan.

Tambah menarik, pencarian dua gadis musim panas Clinique turut diadakan dan mereka berpeluang untuk menjadi gadis penghias majalah berbahasa Inggeris dan Melayu tempatan.

Caranya mudah iaitu wajah peserta perlu dikenakan solekan oleh jurusolek Clinique, kemudian diambil gambar diikuti sesi uji bakat bagi mencari gadis yang mampu mempamerkan semangat jenama ini.

Nyata, pencarian mereka berakhir dengan penemuan dua gadis manis iaitu Belle Loh Mun Jheng, 20, dan Nina Azrah Razali, 21, yang berjaya memikat hati juri apabila tampil penuh menawan, berkeyakinan tinggi, berani dan berbeza daripada yang lain.

Menurut Belle, kemenangannya itu adalah suatu perkara yang tidak disangkakan berikutan ia penyertaan julung kalinya apatah lagi ketika mendaftar, dia hanya mahu mencuba dan merasai pengalaman itu.

“Terlalu ramai gadis yang datang untuk uji bakat dan mereka juga sangat cantik.
Saya betul-betul terperanjat apabila diumumkan sebagai pemenang tapi pada pada sama, sangat gembira dan bersyukur.

“Jika ditanya apa rahsia kemenangan ini, pastinya menjadi diri sendiri adalah jawapan saya. Jika anda yakin dengan diri sendiri ketika melakukan apa jua perkara, saya percaya anda boleh berjaya dengan cemerlang,” katanya yang mengangkat ibunya, Michelle Wong, 48, sebagai idola.

Bagi Nina Azrah pula, dia memang gemarkan aktiviti seperti ini kerana menanam niat untuk turut bergelar model satu hari nanti. Justeru, dengan penyertaan ini, ia boleh dijadikan asas atau landasan utama ke dalam bidang itu.

Bagaimanapun, seperti juga Belle, dia tidak meletakkan harapan tinggi untuk bergelar juara dan melayakkan dirinya menjadi gadis penghias kulit majalah berbahasa Melayu tempatan.

“Saya mengetahui program ini menerusi facebook lalu membuat keputusan untuk menyertainya. Ibu bapa saya adalah dua insan yang menjadi pendorong utama dalam semua perkara yang saya lakukan.

“Tak ada rahsia tertentu yang saya gunakan sebagai senjata dalam pertandingan ini melainkan yakin pada diri sendiri dan jadi diri anda yang sebenar. Tidak perlu berpura-pura untuk menjadi orang lain kerana ia akan jelas kelihatan melalui pandangan luaran,” katanya yang sedang menuntut di tahun tiga jurusan Sains Alam Sekitar di Universiti Monash, Sunway.

Tidak ketinggalan, pengunjung turut dihiburkan menerusi konsert mini artis terkemuka tanah air iaitu Dayang Nuraizah, Diddy Hirdy serta beatboxer, Shawn Lee.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/07/20

Leave a Reply

You must be logged in to post a comment.

1,622 views