Usaha 14 Tahun Kini Berhasil
Pada usia awal 20-an, dia sudah mula sibuk dengan kerja kerana mahu membangunkan perniagaan keluarga.
Malah, anak kedua daripada empat beradik ini juga sanggup mengorbankan cita-cita sebagai pegawai tadbir diplomatik (PTD).
Sebaik tamat pengajian di Universiti Utara Malaysia dalam bidang hubungan antarabangsa dan diplomatik, pemilik syarikat PM Gift Sharifah Shareen Syed Rahman Al-Mashoor ini menerima tawaran tugas PTD di Wisma Putra.
Dia sempat menceburkan diri dalam bidang itu hanya kira-kira setahun sebelum menyambung perniagaan arwah bapanya, Syed Rahman Al-Mashoor yang baru bermula.
Usianya baru 23 tahun ketika itu, namun dia perlu mengambil alih perniagaan walaupun tanpa sebarang modal besar.
“Saya pulang ke kampung di Pulau Pinang dan cuba sedaya upaya mengembangkan perniagaan. Ketika itu syarikat kecil arwah ayah hanya bermula dari rumah, malah belum berdaftar. Jadi saya pun mendaftarkannya di Suruhanjaya Syarikat Malaysia.
“Selepas pendaftaran syarikat, saya mula berfikir cara untuk membangunkan syarikat. Bukan saja tiada pengalaman, modal pun tiada ketika itu,” katanya.
Namun, dia berasa cukup bertuah kerana arwah ayahnya mempunyai ramai kenalan. Lantas dia menghubungi kenalan arwah ayahnya, bertanyakan sama ada mereka mahu membeli produk daripada syarikatnya sebagai hadiah kepada pelanggan mereka.
Dia bersyukur kerana ramai yang berminat, namun hakikatnya, dia langsung tiada modal untuk menghasilkan barangan tempahan pelanggannya itu.
“Produk pertama yang kami hasilkan ialah 1,000 kaki payung, namun ia perlukan modal RM25,000. Justeru, saya maklumkan kepada pelanggan bahawa syarikat kami tiada wang sebanyak itu,” katanya.
Tidak dapat digambarkan rasa syukurnya kerana pelanggan sanggup mengeluarkan modal. Hasil keuntungan itu, dia menggunakannya sebagai modal permulaan untuk mengeluarkan pelbagai barangan lain dan akhirnya berjaya mengukuhkan syarikatnya.
Hampir 14 tahun menceburkan diri dalam perniagaan mengeluarkan barangan cenderahati untuk syarikat korporat, dia bersyukur kerana usaha gigihnya selama ini berbaloi.
Terfikir untuk mencuba nasib di Kuala Lumpur, Sharifah Shareen berkata, semuanya bermula dua tahun lalu apabila dia mengambil keputusan berhijrah ke ibu kota kerana mahu mencabar diri dan mencari peluang perniagaan yang lebih besar.
Ketika mula-mula berkunjung ke Kuala Lumpur, dia langsung tiada kenalan untuk mengembangkan rangkaian perniagaannya. Ketika itu dia menawarkan produk keluarannya di beberapa syarikat saja.
Berkat kesabarannya, syarikatnya mendapat tawaran mencetak baju untuk satu program besar-besaran yang tentunya menjadi kenangan manis dalam hidupnya.
“Dengan wang itu, saya mampu memiliki sebuah kilang sendiri di Kota Damansara dan mengupah beberapa pekerja yang turut komited melakukan tugasan harian.
“Saya bertuah kerana pekerja turut membantu menaikkan nama syarikat, malah mereka tidak jemu menolong saya mengukuhkan perniagaan ini,” katanya sambil menambah, syarikat berkenaan menghasilkan pelbagai produk termasuk botol air, tuala, baju korporat dan bingkai gambar.
Walaupun tidak dilahirkan dalam kalangan keluarga berada, dia akui hasil usaha berterusan itu mampu membuahkan hasil berganda buat dirinya.
Untuk mencapai kejayaan bukannya mudah kerana perlu berusaha keras tanpa mengira masa dan pandai menarik hati pelanggan untuk setia dengan produk keluarannya.
“Pelbagai cabaran ditempuh misalnya persaingan daripada syarikat lebih besar, malah syarikat kami pernah tidak mendapat tempahan.
“Pada masa sama, banyak syarikat menawarkan perkhidmatan serupa pada harga lebih murah. Namun, saya tidak berputus asa, sebaliknya cuba bersaing secara sihat,” katanya.
Ibu kepada dua cahaya mata perempuan ini berkata, persaingan sihat itu bermaksud menawarkan produk yang lebih berkualiti dengan harga berpatutan.
“Jika tempahan membabitkan kuantiti yang banyak, harga ditawarkan tentulah lebih rendah dan pada masa sama, kami mengekalkan kualiti yang sama.
“Saya perlu pandai menarik hati pelanggan dengan memikirkan pelbagai strategi supaya mereka berpuas hati, malah bagi kami, pelanggan memang istimewa,” katanya.
Produk syarikatnya bukan saja mendapat tempat dalam kalangan syarikat ternama di negara ini, malah di luar negara termasuk Hong Kong, United Kingdom, Iraq dan Bahrain.
Dia juga mengakui, bukan senang untuk mengambil hati pelanggan kerana banyak persaingan, namun dia percaya rezeki daripada Tuhan sekiranya berusaha tanpa mengenal erti putus asa.
Justeru, dia menerapkan konsep Islamik dalam perniagaannya iaitu setiap minggu, diadakan majlis bacaan Yasin untuk kakitangan di pejabatnya selain menjemput penceramah pada majlis ilmu. Dengan cara itu, rezeki lebih berkat dan sentiasa mengingati Pencipta.
“Saya masih baru dalam perniagaan ini dan sentiasa memperbaiki diri, malah berharap terus mampu mengukuhkan perniagaan ini.
“Restu ibu juga sangat penting apatah lagi doa ibu paling mujarab untuk kejayaan anak. Malah, jika saya mempunyai masalah, saya maklumkan ibu terlebih dulu. Selepas berbual dengan ibu, barulah lega hati saya,” katanya sambil berpesan kepada golongan muda supaya sentiasa berusaha untuk menggapai kejayaan.
Untuk melihat produk keluaran syarikat ini, layari www.pmgift.com.my atau Facebook pmgift.