Usus Bocor

SETIAP kali makan ikan, kejadian seperti tertelan tulang adalah perkara biasa. Paling tidak pun tulang itu dikhuatiri akan terlekat dan mendatangkan rasa tidak selesa pada saluran tekak.

Namun dalam kes terpencil, tulang ikan berkenaan boleh mencetus komplikasi lain kepada organ tertentu termasuklah usus apabila ia dipercayai menjadi antara punca kepada penyakit usus bocor membabitkan masalah divertikular.

Meskipun tulang kecil itu pada awalnya dilihat tidak membahayakan, dalam keadaan tertentu iaitu apabila ia sampai dan terlekat di dinding usus, ia mendatangkan kecederaan pada organ berkenaan.

Mengenai penyakit divertikular, kantung udara terbentuk di dinding usus besar (kolon). Walaupun kantung ini boleh terbentuk di mana-mana di dalam usus besar, yang paling biasa berlaku ialah dalam sigmoid iaitu bahagian usus besar yang paling dekat dengan rektum.

Menurut Pakar Perunding Am dan Pembedahan Kolorektal, Dr Akhtar Qureshi, makanan yang menyumbang kepada punca masalah usus bocor seperti kes tulang ikan jarang ditemui tetapi boleh berlaku pada segelintir individu.

“Dalam kes masalah usus bocor, kes yang biasa diterima ialah membabitkan apendiks dan ia disebabkan masalah fiber tersumbat di bahagian usus berkenaan.

“Namun bagi masalah membabitkan divertikular, kajian di Barat mendapati ia biasanya membabitkan masalah usus sebelah kiri. Di Asia atau Malaysia pula berbeza kerana ia selalunya berlaku di sebelah kanan.

“Perkara ini mungkin ini disebabkan faktor genetik kerana lapisan usus sebelah kanan sebenarnya lebih tipis dan ada beberapa faktor lain yang juga boleh menyebabkan masalah pada bahagian ini berlaku.

“Pertamanya, pesakit memang sudah mengalami masalah usus yang lain seperti kanser usus atau rektum tersumbat iaitu tidak boleh buang air besar. Jadi tekanan akan berlaku pada usus kiri dan memberi kesan secara tidak langsung kepada usus sebelah kanan yang lebih tipis. Lalu berlakulah kebocoran.

“Kedua, ialah kesan sampingan daripada prosedur skop yang dilaksanakan oleh pengamal perubatan yang tidak mahir menangani peralatan.

“Ada juga kes membabitkan tulang ikan yang tidak hancur dan terlekat pada dinding usus. Tulang ikan yang tidak hancur dan tajam ini akan melukakan dinding usus dan menyebabkan kebocoran itu berlaku. Bagaimanapun kes seperti ini agak terpencil,” katanya.

Kata Dr Akhtar lagi, ia boleh diatasi dengan pembedahan kecil jika dapat dikesan awal melalui saringan yang betul.

“Pesakit usus bocor akan mengalami rasa sakit yang ketara. Pesakit juga boleh demam jika perkara itu berlarutan dua ke tiga hari dan berlakunya jangkitan kuman.

“Selain itu pesakit tidak boleh makan dengan selesa serta mengalami gejala kembung perut. Pesakit juga berasa susah hendak buang air besar dan tidak boleh kentut.

“Untuk rawatan, doktor akan melihat kepada sejarah kesihatan pesakit selain pemeriksaan darah dan imbasan menggunakan saringan ultra bunyi dan Imbasan tomografi komputer (Imbasan CT).

“Kalau doktor mengesyaki sakit perut itu berpunca daripada masalah usus bocor, mereka tidak akan buat prosedur endoskopi kerana dalam kaedah itu perlu masukkan angin.

“Keadaan itu akan memburukkan keadaan pesakit kerana angin dimasukkan akan menuju ke bahagian dalaman lain dan tidak boleh dialirkan keluar.

“Paling buruk angin itu akan memberi tekanan kepada organ lain yang berdekatan dengan usus termasuklah paru-paru sehingga pesakit sukar bernafas dan menyebabkan risiko jantung berhenti,” katanya.

Menyentuh mengenai kadar risiko masalah itu dalam kalangan lelaki atau perempuan, kata Dr Akhtar, ia tidak menunjukkan perbezaan namun biasanya ia lebih mudah berlaku pada individu berusia lebih 40 tahun.

TIP PENJAGAAN PERUT

1. Ambil buah-buahan dan sayur-sayuran untuk penghadaman dan pencernaan yang lebih baik. Lebih baik ambil buah-buahan tempatan seperti betik, pisang, jambu dan sebagainya.

2. Kurangkan tabiat makan daging merah terutama yang dibakar sehingga ada bahagian hitam. Terdapat heterocyclic amines (HCAs) dipercayai boleh menyebabkan kanser.

3. Elak makan tergesa-gesa dan kunyah dengan betul dan perlahan-lahan sehingga makanan benar-benar lumat.

4. Minum air suam lebih baik daripada air sejuk. Minum daripada gelas kerana dipercayai minum daripada botol kandungan air dan udara sama tinggi iaitu 50 peratus. Individu berkenaan akan mudah rasa kembung.

5. Elak makan makanan yang sudah disediakan lama dan jangan panaskan makanan sudah dimasak berkali-kali.

Leave a Reply

You must be logged in to post a comment.

25 views