Wajah Tampil Manis, Glamor
Untuk memastikan solekan pengantin tahan lama dan kekal berseri, pelbagai teknik boleh dipelajari terutama apabila membabitkan penggunaan bedak asas dan pengkonturan.
Menurut jurusolek di Centa Asmara, Anita Halim, pemilihan bedak asas perlu mengikut warna kulit.
Bagi memastikan solekan tampak lebih berseri, gabungan dua warna bedak asas sama dengan kulit dan lebih cerah adalah sesuai.
“Biasanya solekan pengantin memerlukan dua lapisan sapuan bedak asas berbanding mekap harian untuk memastikan ia kekal lama.
“Selain itu, bedak asas jenis kalis air sesuai bagi mereka yang berkeinginan untuk mengadakan majlis resepsi di luar rumah seperti di taman.
“Bukan itu saja, bedak asas juga berfungsi untuk memastikan gincu tahan lama. Caranya sapu bedak asas pada bibir sebelum menggunakan sebarang gincu atau pengilat bibir,” katanya.
Namun, sebelum menggunakan sebarang alat solekan, wajah perlu disapu dengan pelembap terlebih dulu dan biarkan selama dua minit.
Kemudian, sembur dengan air penyegar bagi memastikan bedak asas dan bedak tabur memasuki liang roma bagi mengelakkan solekan kelihatan bertompok serta tidak rata.
Selain itu, penyamar noda juga sangat penting untuk menutup cela pada wajah pengantin. Pilihan warna penyamar noda biasanya mengikut pada cela atau gelap di bawah mata.
“Jika bulatan gelap di bawah mata terlalu menonjol dan bersaiz besar, gunakan penyamar noda yang mempunyai warna lebih terang satu ton daripada rona kulit muka.
“Selepas menggunakan bedak asas, sapuan bedak tabur pada wajah juga sangat penting. Ia berfungsi menutup liang roma bagi mengelakkan ia mengganggu warna asal bedak asas,” katanya.
Tambahnya, untuk solekan pengantin biasanya bedak tabur perlu disapu dua lapisan pada wajah. Mula dengan menekap bedak tabur pada wajah menggunakan span sebelum disapu rata menggunakan berus bersesuaian.
Ia bagi memastikan sapuan bedak tabur berkenaan benar-benar masuk ke dalam liang roma untuk mengelakkannya mudah hilang atau comot apabila berpeluh.
Pemilihan warna pembayang mata, pemerah pipi, gincu dan celak juga perlu sesuai bagi mengelakkan ratu sehari tampak pelik di atas pelamin.
“Celak rona coklat adalah paling sesuai untuk melakar kening bagi menonjolkan penampilan semula jadi. Warna hitam akan menampakkan kesan wajah garang.
“Selain itu, penggunaan pembayang mata asas juga penting di seluruh kelopak mata. Untuk menaikkan seri wajah, guna pembayang mata asas yang mempunyai kilatan.
“Selepas itu, pilih pembayang mata rona asas dan mudah digabungkan seperti keemasan, coklat gelap dan hitam. Mata galak boleh ditampilkan menerusi penggunaan pembayang mata yang betul,” katanya.
Tambahnya, teknik menyapu pembayang mata perlu dimulakan dengan warna coklat gelap yang diratakan pada keseluruhan kelopak mata.
Kemudian, ambil pembayang mata warna hitam dan sapu bermula bahagian tengah kelopak hingga hujung mata. Bagi menampilkan wajah yang manis dan glamor, oles ‘highlighter’ rona perak di sepanjang garisan bawah mata.
Untuk menampilkan persalinan tampak senada dengan solekan, pastikan pemerah pipi dan gincu menggunakan konsep warna sama.
Anita memilih menyapu pemerah pipi rona pastel yang dicampur bersama warna merah jambu samar mengikut ton pada persalinan ratu sehari.
Gincu berwarna merah jambu samar juga digunakan untuk olesan bibir. Selepas bibir disapu dengan gincu, oleskan pengilat bibir lutsinar untuk menampilkan bibir mungil, lembap dan segar.
Untuk mempelajari dengan lebih mendalam mengenai teknik solekan mengikut tema berbeza, Anita turut mengadakan kelas mekap setiap Sabtu dan Ahad.
Kelas solekan berkenaan akan memberi tunjuk ajar bermula teknik asas hingga profesional bertempat di Cinta Asmara Zarif Resources, Business Centre, Taman Maju Jaya, PJS 2/18A, Petaling Jaya.