Wanita Nadi Sebuah Keluarga

Sokongan moral yang kuat daripada pasangan ternyata kunci yang mampu memberi kekuatan minda, membakar semangat serta mencetuskan inspirasi kepada seseorang untuk terus berhadapan dengan cabaran bagi memanjat tangga kejayaan dalam kerjaya masing-masing, sekali gus mencapai potensi terbaik dalam diri mereka.

Sebaliknya, pasangan yang tidak memahami, terlalu cemburu atau menyekat kebebasan tidak membantu membentuk nilai diri terbaik seseorang sehingga membuatkannya gagal mencapai kejayaan. Malah mereka turut meninggalkan alam pekerjaan lebih awal biarpun mempunyai kelayakan, taraf pendidikan tinggi serta bakat untuk terus maju.

Di universiti seluruh Malaysia misalnya, majoriti pelajar terdiri daripada golongan wanita yang bersaing hebat dan memiliki antara keputusan terbaik dalam peperiksaan. Pada awal kemasukan ke alam pekerjaan, mereka menunjukkan prestasi dan potensi yang tinggi untuk berjaya di alam karier.

Namun malangnya, kebanyakan mereka meninggalkan alam pekerjaan sebaik berkahwin dan mula memiliki anak atas alasan menjaga anak serta jadual waktu kerja yang tidak fleksibel.

Jumlah semasa tenaga kerja wanita di negara ini adalah kira-kira 49.5 peratus iaitu rendah berbanding negara jiran di rantau Asia, membuatkan negara kerugian dari segi tenaga mahir yang berkualiti tinggi.

Biarpun ada usaha untuk mengajak golongan wanita yang sudah meninggalkan alam pekerjaan kembali bertugas, kebanyakan mereka sudah hilang arah atau keliru untuk membabitkan diri semula sebagai pekerja di pejabat.

Berikutan itu, selain sokongan majikan yang menyediakan persekitaran dan kemudahan untuk golongan ibu contohnya taska di tempat kerja, sokongan padu daripada pasangan sejak awal perkahwinan antara faktor paling penting yang dapat mengekalkan wanita dalam pasaran pekerjaan.

Malah, sokongan dari segi moral dan bersedia berkorban serta menghulurkan bantuan bila perlu, membuka peluang kepada wanita untuk lebih maju dan merebut kedudukan sesuai dengan kualiti kerja yang ditunjukkan.

Menurut Presiden Kechara Soup Kitchen, Datuk Ruby Khong, wanita tidak mungkin boleh berjaya tanpa sokongan daripada suami mereka, malah turut menasihatkan wanita yang ingin berjaya supaya memilih suami yang tepat dan mampu membantu memajukan lagi karier mereka.

Pasangan yang sentiasa bersedia memberi sokongan diperlukan bukan saja membantu mengembangkan karier tetapi turut memperkayakan kehidupan wanita dan membuatkannya lebih bahagia.

“Apabila tidak mendapat sokongan, ramai wanita meninggalkan kerja semata-mata untuk menjaga anak mereka dan duduk di rumah. Ia satu kemunduran kepada wanita itu sedangkan wanita juga perlu mencapai kejayaan sesuai dengan kelayakan mereka.

“Sokongan daripada suami akan melahirkan keluarga bahagia serta pendapatan keluarga yang lebih baik. Ia juga memberikan keyakinan dalam diri wanita kerana mendapat sokongan daripada orang yang paling rapat dengan dirinya,” katanya ketika sesi perbincangan Pasangan Sempurna Untuk Melengkapkan Karier Anda pada Sidang Kemuncak Wanita kali ke-11 bertemakan Menetapkan Perjalanan Anda Sendiri di Pusat Konvensyen Sime Darby, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Selain Ruby, sesi berkenaan turut disertai Pengurus Besar NTV7 dan 8TV, Media Prima Berhad, Airin Zainul; Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan ECM Libra Financial Group Berhad, Azlin Arshad; Pengarah Urusan Mydin Mohamed Holdings Berhad, Datuk Wira Dr Ameer Ali Mydin; Presiden IPG Mediabrands in Asia World Markets, Prashant Kumar dan Pengarang Eksekutif Astro Awani, Kamarul Bahrin Haron.

Pada masa sama, Airin berkata, kejayaannya yang dirangkul dirinya ketika ini dalam bidang kerjaya adalah bukti yang menunjukkan sokongan padu daripada suami mampu melonjakkan wanita ke tahap lebih tinggi.

Beliau akui berasa amat bertuah kerana memiliki seorang suami yang sanggup berkorban dan menyokong dirinya untuk lebih maju selain mendapat sokongan moral daripada ahli keluarga yang lain.

“Saya sangat sukakan kerja saya dan saya tidak rasa saya akan meninggalkannya walau apa sekalipun. Bagi saya, suami perlu memberi sokongan supaya wanita dapat mencapai apa yang dimahukannya.

“Saya juga percaya wanita memerlukan masa bersendirian supaya mereka dapat menjadi isteri, ibu dan rakan yang lebih baik kepada orang lain.

“Ramai juga lelaki yang sanggup berkorban untuk menyokong kerjaya isteri mereka misalnya abang ipar saya yang sanggup berhenti kerja biarpun sedang menuju ke puncak dan mengambil peranan menjaga anak untuk membolehkan isterinya memenuhi impian bertugas di kota London,” katanya.

Mengakui hakikat itu, Azlin yang mula bekerja sebaik menamatkan pengajian berkata, sokongan daripada suaminya yang sudah dikahwini sejak 16 tahun lalu banyak membantu dia meneruskan karier.

Ketika baru mencecah dua tahun bekerja sebagai pegawai bank, beliau melahirkan anak sulung tetapi bertuah kerana suami banyak melakukan kerja termasuk di rumah serta tidak mengganggunya meneruskan cita-cita.

“Sebagai pegawai bank, kadangkala tugas membuatkan kita menghabiskan terlalu banyak masa di pejabat, tetapi apabila pulang ke rumah, suami sanggup melakukan banyak kerja di rumah termasuk mengambil dan menghantar anak ke sekolah serta tuisyen supaya saya boleh berehat.

“Wanita boleh mendapatkan semuanya tetapi dengan kerja keras dan menerima kekurangan sebagai wanita berkerjaya kerana kita tidak boleh melakukan semuanya dalam satu masa,” katanya.

Menurut Azlin, sebagai wanita, isteri dan ibu, sudah pasti perasaan bersalah akan timbul dalam diri apabila tidak berada bersama anak-anak setiap masa tetapi usaha perlu diteruskan sekiranya mahu mencapai kejayaan dalam kerjaya.

Katanya, sebagai ibu dan isteri, wanita juga individu dan pekerja. Mereka perlu mencari keseimbangan dalam hidup dan tidak boleh cuba untuk menjaga semua perkara pada satu-satu masa, sebaliknya menjaga diri sendiri supaya mampu menjaga keluarga dengan lebih baik.

“Kadangkala isteri tidak mempunyai suami yang menyokong, tetapi mereka tidak boleh putus asa dan meneruskan usaha kerana lambat-laun suami akan sedar apa yang benar-benar diingini isteri dan memberi sokongan,” katanya.

Sementara itu, bagi Kamarul Bahrin, wanita adalah pasangan terbaik kerana sentiasa memberi sokongan padu kepada lelaki untuk berjaya dan sanggup berkorban dengan berhenti kerja semata-mata supaya suami mereka dapat mengejar impian bergelar pekerja cemerlang.

Katanya, wanita adalah nadi keluarga sepanjang zaman dan mampu melakukan tugas lebih baik berbanding lelaki biarpun lelaki itu mengambil keputusan untuk duduk di rumah dan memberi peluang kepada isterinya maju di alam pekerjaan.

“Ada kajian di Amerika Syarikat mendedahkan, suami yang tinggal di rumah dan menjaga anak melakukan tugasan di rumah kurang lima jam berbanding wanita yang melakukan tugas yang sama.

“Ini menunjukkan biarpun seseorang wanita memilih untuk menjadi suri rumah, dia masih memberi sumbangan yang besar kepada pasangannya dan kebahagiaan keluarga, satu nilai yang kurang diambil kira dalam pengiraan kejayaan sesebuah negara,” katanya.

Menurut Prashant pula, dunia hari ini bukan berkaitan lelaki bersaing dengan wanita untuk mencapai tangga kejayaan tetapi sepatutnya ia berkaitan dengan kerjasama antara kedua-duanya untuk sama-sama memiliki kebahagiaan dan kecemerlangan dalam hidup.

Kedua-duanya boleh berjaya terutama sekiranya persekitaran kerja dan masyarakat memberi ruang dan kemudahan kepada wanita untuk mencapai cita-citanya, misalnya majikan menyediakan taska untuk menjaga kebajikan anak-anak pekerja.

“Saya percaya wanita sebenarnya ingin menjadi ibu, isteri dan pekerja yang sempurna dan mahu mengejar kesempurnaan. Bagi saya, wanita terutama yang sudah bergelar ibu perlu diberi penghormatan tinggi dan dihargai.

“Sekiranya mahu mewujudkan masyarakat yang bahagia, wanita yang duduk di rumah dan menjaga anak serta ahli keluarga juga perlu diberi penghargaan,” katanya.

Pada masa sama, Ameer Ali berkata, tidak menjadi satu kesalahan untuk lelaki berkorban demi memberi sokongan dan kebahagiaan kepada isteri mereka, apatah lagi jika ia memberi keuntungan sama rata kepada kedua-duanya.

Semua orang perlu menerima kenyataan bahawa lelaki dan wanita adalah dua golongan yang berbeza bukan dari segi jantina tetapi tahap kebijaksanaan.

“Bagi saya, seseorang yang berani mengambil risiko, selalunya akan berjaya. Namun ia juga memerlukan pengorbanan pasangan kerana sekiranya tidak ada sokongan pasangan, lelaki tentu tidak berani mengambil risiko untuk mencapai cita-citanya.

“Misalnya saya mempunyai isteri yang berpelajaran tinggi. Dia membenarkan saya mengambil risiko berhenti kerja sebagai pegawai bank untuk memulakan perniagaan dan pada masa sama dia masih meneruskan kerjaya sebagai pensyarah,” katanya.

Menurutnya, dia berani mengambil risiko kerana sokongan daripada isteri dan tahu bahawa biarpun dia mungkin gagal, dia masih mempunyai isteri yang akan membantunya untuk bangun semula.

Fakta mengenai wanita di Malaysia

Tiga faktor yang menyebabkan wanita meninggalkan alam pekerjaan adalah untuk menjaga anak, tiada keseimbangan antara jadual kerja dan kehidupan peribadi serta menjaga ahli keluarga yang sakit.

Penyertaan wanita dalam pasaran kerja ketika ini kira-kira 49.5 peratus iaitu yang paling rendah di rantau ini.

Ramai wanita sudah menduduki kerusi tertinggi kerajaan dan organisasi di negara ini antaranya Gabenor Bank Negara Malaysia, Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz; Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia, Aireen Omar; Pengarah Urusan KPJ Healthcare Berhad (KPJ), Datin Paduka Siti Sa’diah Sheikh Bakir dan Ketua Eksekutif Astro, Datuk Rohana Rozhan.

Seramai 220 wanita yang memegang jawatan pengurusan kanan di sektor awam dan swasta menamatkan Program Pengarah Wanita (WDP) 2012. Mereka yang sudah menamatkan latihan program berkenaan akan dilantik sebagai ahli lembaga pengarah sektor korporat bermula tahun ini.

Sehingga Januari lalu, seramai 150 peserta sudah menyertai WDP 2013. Sasaran melatih kira-kira 800 peserta di bawah program WDP.

Pada 2012, pembabitan wanita dalam lingkungan umur yang layak bekerja dan sedang bekerja hanyalah 47.9 peratus atau 4.58 juta daripada sejumlah 9.57 juta wanita.

Seramai 49 pengarah wanita sudah dilantik ke jawatan lembaga pengarah untuk syarikat tersenarai pada separuh tahun pertama 2013.

Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat menjalinkan kerjasama dengan TalentCorp, untuk melancarkan flexWorkLife.my, sebuah portal baru yang memberi ruang kepada segolongan majikan dan pekerja untuk berkongsi maklumat mengenai pelaksanaan waktu kerja anjal dan kemudahan tempat kerja yang mesra keluarga.

Kemasukan ke universiti awam bagi sesi 2013/2014 dikuasai oleh pelajar wanita iaitu sebanyak 68 peratus namun ramai yang meninggalkan sektor pekerjaan ketika mereka meningkat dalam kerjaya masing-masing.

Leave a Reply

You must be logged in to post a comment.

2,764 views