Wanita Penting Penampilan

Mencari sepasang celana jean yang bersesuaian dengan bentuk badan dan menepati cita rasa bukan satu tugas mudah bagi penulis. Biasanya penulis akan mengambil masa beberapa hari meredah banyak kedai hanya untuk mendapatkan sehelai celana jean yang berkenan di hati.

Cerewet? Ya, memang sedikit cerewet kerana mata penulis tidak tertarik kepada potongan sendat yang menguasai pasaran dan aliran fesyen terkini. Memang sukar untuk memenuhi cita rasa ‘biasa-biasa’ ini yang mencari celana jean dengan ciri ‘tradisional’ tanpa ada jaluran pudar di bahagian paha walaupun ia dikatakan boleh membuatkan kaki nampak lebih kurus dan panjang.

Namun apabila mencuba jean Levi’s Revel yang baru dilancarkan di negara kita pada 20 Ogos lalu, senyuman menguntum di hati. Mengapa? Jenama yang mencipta jean pertama untuk wanita itu kini lebih memahami kehendak wanita terutama yang tidak mempunyai bentuk kaki secantik model.

Dalam usaha mencipta jean ‘sempurna’, Levi’s Revel direka dengan teknologi pembentuk yang bakal dipaten, digabungkan dengan fabrik berkualiti tinggi dan perincian inovatif, diolah bagi menghasilkan reka bentuk celana yang mampu membuatkan wanita kelihatan cantik sekali gus merangsang keyakinan diri mereka.

Sememangnya keinginan wanita di seluruh dunia yang mahu sentiasa kelihatan cantik, bergaya dan menyerlahkan ciri menarik mereka menjadi inspirasi kepada pasukan reka bentuk Levi’s untuk terus menjalankan penyelidikan dan pembangunan merentas benua demi memenuhi impian besar ini.

Menurut Timbalan Presiden bagi Rekaan Wanita Levi’s, Jill Guenza, Revel adalah inovasi terbaru dalam dunia denim yang memahami kehendak wanita. Semua wanita berhak untuk cantik, tidak kira bagaimanapun bentuk badan mereka.

“Tidak semua wanita ada bentuk badan yang sama. Justeru, kami menjalankan penyelidikan dengan membuat imbasan badan ke atas 60,000 wanita di seluruh dunia dan mendapati secara umumnya bentuk badan wanita boleh dibahagikan kepada tiga bentuk asas. Kami juga mendapati bentuk badan wanita Asia agak berbeza dengan wanita Barat.

“Kami membawa prototaip Revel untuk dicuba oleh wanita bagi menguji inovasi terbaru ini. Siapa yang tidak puas hati apabila melihat mereka berjalan dari bilik persalinan pakaian ke depan cermin sambil tersenyum.

“Kami menggunakan teknologi Liquid Shaping eksklusif yang dilakurkan dalam fabrik denim melalui reka bentuk inovatif seperti percetakan skrin memberi sokongan kepada punggung dan kaki. Ia akan membantu memberikan bentuk cantik pada bahagian dalam paha dan melicinkan bentuk pinggul,” katanya pada pelancaran Levi’s Revel di Shanghai, China, baru-baru ini. Hadir sama, Ikon Levi’s Revel Asia Tenggara yang pertama, pelakon Korea terkenal, Lee Da Hae.

Teknologi Liquid Shaping ini mengawal regangan fabrik (yang boleh diregang empat hala iaitu ke kiri dan kanan serta atas dan bawah), bagi menghasilkan lekapan di bahagian strategik untuk menyokong bentuk tubuh supaya bayangan tubuh tampak lebih cantik dan menarik.

Keistimewaan jean Revel terletak pada anjalan cecair yang melekap pada tubuh dan pada masa sama, memberi keselesaan maksimum ketika memakainya. Fabrik denim Revel dipilih, dibentuk dan diuji dengan teliti supaya ia boleh diregang empat hala dan dengan ini dapat menyerlahkan bentuk badan wanita selain menganjal mengikut gerak geri si pemakai supaya nampak lebih feminin.

“Melalui teknologi ini, pinggul dan paha akan kelihatan lebih kecil khususnya bagi wanita yang berbadan besar. Selain itu, kedudukan poket belakang yang dijahit lebih tinggi berbanding kedudukan pada celana jean jenama lain memberi impak berbeza. Kedudukan poket yang biasa iaitu agak ke bawah dan jauh antara satu sama membuatkan punggung kelihatan ‘jatuh’ dan besar.

“Sedangkan pada Levi’s Revel, poket belakang diletakkan tinggi sedikit dan berdekatan antara poket kiri dan kanan itu membuatkan punggung tampak lebih kecil. Selain itu, kemasan berkontur dan kelim memanjang akan menyerlahkan lagi penampilan seseorang wanita,” kata Jill.

Apapun katanya, keselesaan adalah faktor paling utama. Memang kagum melihat aksi model yang membuat gaya ‘separa gimnastik’ dengan membengkokkan kaki kurus panjang mereka dalam pelbagai kedudukan – secara tidak langsung memberi gambaran jean Revel bukan saja bergaya namun ia cukup anjal dan selesa untuk menari rancak!

Namun keistimewaan Revel yang disarungkan pada model tentu saja belum mampu memberi keyakinan kerana mereka sememangnya mempunyai bentuk badan yang molek. Memahami keraguan ini, wartawan dari beberapa negara yang hadir pada majlis berkenaan diberi peluang mencuba dan merasai sendiri jean dengan teknologi baru itu.

Apa lagi, bermacam aksi dapat kami saksikan menerusi kamera tiga dimensi yang dipasang dalam bilik khas dilengkapi pentas berpusing. Walaupun tidak dinyatakan, berdasarkan riak wajah ternyata masing-masing kagum dengan celana jean inovasi terkini itu yang bukan saja lembut dan selesa, malah membuatkan kaki kami yang montel kelihatan lebih kecil dan molek!

Jean Levi’s Revel didatangkan dalam tiga rangkaian: Slight, Demi dan Bold Curve sama ada potongan kurus atau lurus dengan beberapa warna menarik. Koleksi Revel dijual pada harga RM299 boleh didapati di Original Levi’s Stores terpilih di seluruh negara bermula September ini.

Leave a Reply

You must be logged in to post a comment.

573 views