Warna Hijau Dengan 29 Rona Berbeza
Tampak lebih unik dan berwarna-warni, rekaan dihasilkan Nazleen Noor untuk digayakan gadis litar pada Formula Satu (F1) Petronas Grand Prix Malaysia 2013 di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) hujung minggu ini menonjolkan konsep kepelbagaian bangsa pengunjung yang hadir pada acara berprestij itu nanti.
Walaupun kali ini diberi tugas untuk menghasilkan rekaan yang bertemakan Liquid and Metal, Nazleen masih mengekalkan warna korporat Petronas dan penggunaan corak batik serta kebaya bagi menonjolkan keunikan di Malaysia.
“Setiap tahun, tema warna hijau memang dikekalkan tetapi kali ini saya diberi kebebasan untuk menampilkan kelainan menerusi pemilihan 29 rona berbeza seperti kuning, oren, merah jambu dan biru.
“Ia bersesuaian dengan suasana yang berwarna-warni kerana kehadiran pengunjung pelbagai bangsa dan negara. Masih tidak lari daripada tema ditetapkan, ia menonjolkan keunikan rekaan untuk digayakan pada hari berlainan,” katanya mengenai konsep koleksinya itu.
Tambahnya, untuk menyesuaikan tema dan konsep yang diketengahkan, motif zig zag serta rona kelabu digunakan bagi mewakili tema Metal.
Corak bulat atau polka dot dan abstrak pula ditampilkan untuk menekankan tema Liquid bagi menonjolkan kesan seperti cecair pada rekaan.
Rekaannya yang bermotifkan polka dot dapat dilihat pada koleksi kebaya tanpa lengan untuk menonjolkan gaya yang lebih muda dan mengikut trend semasa, namun tidak meninggalkan tradisi serta identiti Malaysia.
Menariknya, setiap rekaan yang dihasilkan akan digayakan pada hari berbeza. Misalnya, penampilan gadis yang bertugas pada Sabtu kelihatan lebih sporty dan seksi.
“Seramai 58 gadis litar akan menggayakan skirt atau gaun pendek untuk menonjolkan konsep acara berprestij peringkat antarabangsa ini.
“Berbeza pada Ahad, mereka akan menyerikan litar perlumbaan dengan gaya pakaian yang menggunakan corak kontemporari. Misalnya, mereka mengenakan blaus dengan tambahan elemen tali pinggang bercorak batik.
“Di samping itu, saya juga ada menghasilkan rekaan blaus rona terang seperti kuning dan biru yang menekankan motif batik pada bahagian kolar baju,” jelasnya.
Nazleen yang mempunyai pengalaman menghasilkan rekaan untuk gadis litar pada acara sama pada 2006, 2009 dan 2010 itu sentiasa menekankan penggunaan fabrik sesuai dengan keadaan cuaca di litar.
Katanya, pemilihan fabrik lembut seperti lycra kapas digunakan untuk memberi keselesaan ketika berada di tempat panas kerana ia mempunyai ciri-ciri serap peluh dan sejuk.
Berbeza dengan fabrik sutera crepe yang turut dipilih Nazleen kerana ia membantu memberi rasa dingin pada tubuh badan.
“Pemilihan kasut yang sesuai juga penting untuk memastikan ia tidak mencacatkan gaya. Ketika berada di bawah cuaca yang sangat panas dan terdedah kepada sinaran matahari terik, elakkan daripada menggunakan kasut bertumit tinggi.
“Berdasarkan pengalaman sendiri, tumit yang dihasilkan daripada plastik itu akan mencair perlahan-lahan apabila terdedah kepada cuaca panas dalam tempoh yang lama.
“Sebaiknya, gunakan kasut jenis baji. Selain boleh bergaya menarik, kasut jenis baji juga lebih selesa digunakan, apatah lagi jika terpaksa berdiri lama di litar,” jelasnya.