Warna Kekal Lebih Lama

Gaya solekan menentukan penampilan diri apabila menghadiri sesuatu majlis.

Pemilihan jenis solekan juga mempengaruhi keyakinan adiri wanita berkenaan terutama apabila mahu menyesuaikan diri bersama hadirin.

Bagi mereka yang inginkan kesederhanaan, serlahkan keunikan diri menggunakan solekan gaya klasik. Ia juga sesuai digayakan mereka yang tidak mahu kelihatan matang sebelum waktunya.

Gaya solekan vintaj atau klasik banyak memberi tumpuan riasan pada bahagian bibir agar kelihatan lebih mungil dan seksi. Bahagian mata juga dijadikan titik tumpu pada wajah untuk gaya solekan ini.

Bagi menghasilkan gaya mata sebegini, hujung soket mata perlu diwarnakan menggunakan warna lebih gelap membentuk huruf V di hujungnya.

Untuk kawasan dalam atas kelopak mata pula, gunakan warna lebih terang bagi menampakkan perbezaan antara kedua-dua bahagian berkenaan.

Panduan solekan mata yang mudah:

Untuk membuatkan warna pembayang tahan lebih lama, cara paling mudah adalah menggunakan olesan salap bibir.

Ia dilakukan selepas meratakan bedak asas atau penyamar cela di kawasan mata, kemudian sapukan satu lapisan nipis salap bibir pada kelopak mata.

Selepas itu, ratakan dengan sapuan pembayang mata yang ingin digunakan. Selain dapat mengekalkan warna pembayang mata sepanjang hari, ia juga dapat menyerlahkan warna pembayang mata.

Tidak dapat dinafikan pembayang mata jenis debu adakalanya kelihatan tidak melekap pada kelopak mata.

Walau sebanyak mana pembayang mata digunakan, warnanya seakan-akan tidak menyerlah pada kelopak mata.

Kaedah mudah yang boleh digunakan untuk mengekalkannya adalah dengan membasahkan sedikit berus pembayang mata bersama sedikit air sebelum mencalit dengan pembayang mata.

Ia sesuai digunakan untuk pembayang mata jenis debu atau serbuk malah dapat mengekalkan warna lebih lama.

Antara cara lain yang boleh digunakan bagi memastikan solekan mata tahan lama adalah menggunakan bedak bayi.

Oleskan lapisan nipis penyamar cela pada kelopak mata dan ratakan dengan berus atau jari. Kemudian sapukan seluruh kawasan mata dengan bedak bayi menggunakan berus.

Selain itu, sapukan juga bedak bayi di bahagian bawah mata. Kemudian lapiskan dengan pembayang mata, penggaris mata dan maskara sebagai pelengkap gaya.

Leave a Reply

You must be logged in to post a comment.

1,414 views