Warna Kekal Sepanjang Zaman

KEISTIMEWAAN rekaan pereka ini pada jahitan manik yang begitu berseni dan halus pada fabrik yang dilakar menjadi busana indah. Malah sentuhan jari-jemari anak muda yang menggunakan nama Qudyn ini sukar ditandingi kerana dia begitu teliti bukan saja daripada segi jahitan malah pemilihan manik dan warna digunakan.

Setiap susunan manik nampak kemas bagaikan tiada kekurangan apabila padanan indah itu disarungkan ke tubuh tinggi lampai mempelai.

Semua ini diadun cantik bukan saja menerusi pembelajaran di kelas tetapi pengalaman selama lapan tahun berguru dengan pereka tersohor Datuk Radzuan Radziwill ketika bekerja di butiknya yang terletak di Kompleks Daya Bumi, Kuala Lumpur.

Menurut empunya nama Muhammad Abharuddin Aziz, kemahiran yang selama ini diperoleh memang tiada tandingannya. Bermula dengan seni memotong kain, menjahit sehingga menjadi persalinan lengkap lalu ditambah perincian manik digunakan satu persatu dalam menghasilkan rekaan busana menerusi label Qudyn Design.

Mempunyai kelulusan seni rekaan fesyen daripada Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) sebaik menamatkan pengajian, Qudyn bekerja di bawah Radzuan sebelum membuka butik sendiri.

“Saya akui rekaan banyak dipengaruhi ilham sentuhan sifu, Radzuan Radziwill terutama dari segi perincian manik. Saya mengagumi hasil kerjanya yang teliti serta tiada tolak bandingnya. Radzuan akan melakukannya sehingga dia benar-benar berpuas hati dengan hasilnya,” kata Qudyn.

Berkonsepkan moden kontemporari, Qudyn menampilkan rekaan busana daripada warna pastel seperti putih, kelabu, krim dan rona keemasan.

Menurutnya, warna sebegini kekal sepanjang zaman dan masih menjadi pilihan mempelai. Ini kerana sifat rona itu sendiri yang mudah dan serasi apabila digabungkan dengan sebarang warna. Malah mempelai tidak sukar memilih kombinasi pelamin dan hantaran menggunakan rona ini.

“Sebelum menghasilkan rekaan, saya berbincang dengan mempelai mengenai tema perkahwinan mereka dengan mengambil kira warna kulit, bentuk potongan badan serta ketinggian. Ini sangat penting bagi memastikan setiap padanan terletak cantik pada tubuh si pemakai,” katanya yang pernah menghasilkan pakaian perkahwinan pelakon Ayu Raudhah serta beberapa selebriti tanah air untuk acara permaidani merah.

Qudyn juga menghasilkan rekaan tradisional menerusi potongan kebaya moden dipadankan kain. Baginya, walau moden bagaimana sekalipun busana dihasilkan, potongan tradisional tetap menjadi asas dalam menghasilkan rekaan.

“Bagi saya, potongan tradisional masih unggul dan mempunyai tempat tersendiri. Gabungan tradisional dan moden akan memberikan sentuhan berbeza terutama apabila menggunakan perincian manik pada busana,” katanya.

Bagi menyembunyikan kekurangan terutama wanita yang agak berisi, Qudyn menggunakan fabrik lembut dan beralun cantik pada tubuh wanita iaitu sifon, renda dan satin duchess.

Gabungan dua fabrik renda dan sifon memperlihatkan mempelai lebih langsing serta terletak cantik pada tubuh si pemakai.

Bagi mempelai bertudung pula, busana yang menutupi keseluruhan tubuh serta tidak seksi menjadi pilihan. Qudyn juga menghasilkan rekaan tudung dan selendang untuk majlis pertunangan dan pernikahan.

“Kebanyakan pengantin saya bertudung, justeru saya perlu menghasilkan rekaan yang sesuai dengan imej Muslimah. Biasanya potongan yang tidak terlalu ketat, jarang dan labuh menjadi pilihan mereka,” katanya.

Bagi mempelai yang ingin melangsungkan perkahwinan Qudyn memberikan tip memilih padanan sesuai:

- Pilih pakaian mengikut bentuk tubuh. Ini sangat penting bagi memastikan busana dipilih bersesuaian dengan bentuk tubuh serta penampilan. Mempelai terlalu kurus tidak sesuai memakai pakaian terlalu ketat kerana akan menampakkan badan lebih kurus. Sebaliknya pilih gaun sedikit longgar serta kembang bagi menampilkan gaya semula jadi. Pengantin gempal pula tidak sesuai memakai pakaian terlalu pendek kerana akan menampakkan tubuh lebih pendek sebaliknya pilih gaun menutupi pinggul manakala wanita berbadan langsing sesuai dengan apa juga jenis potongan.

- Pilih fabrik polos. Untuk wanita gempal, pilih kain renda berjalur dan berwarna gelap bagi menampakkan tubuh sedikit kurus. Sebaliknya pilih yang tidak terlalu sarat perincian manik kerana lebih segar dan sederhana.

- Pilih tudung yang tidak sarat. Untuk pengantin bertudung, teknik ikatan, jenis fabrik dan warna memainkan peranan penting. Sebaiknya pilih gaya ikatan yang tidak sukar dipakai, selesa dan kemas.

- Perhiasan yang tidak sarat. Sekiranya pakaian sudah dipenuhi manik serta batu permata, kurangkan penggunaan perhiasan. Bagi yang tidak bertudung, sepasang anting-anting comel sudah memadai. Jangan terlalu sarat dengan rantai kerana ini akan menenggelamkan keanggunan.

Terima kasih:

Qudyn Design, No, 27-1, Jalan Dwi Tasik 1, Dataran Dwi Tasik, Bandar Seri Permaisuri (03-91736551) atau
qudyn.blogspot.com
Solekan dandanan: Abby
(012-6060814)

Leave a Reply

You must be logged in to post a comment.

961 views