Waspada Lelaki Berbasikal!

LELAKI yang melakukan aktiviti berbasikal berisiko mengalami masalah ketidaksuburan.

Masalah ini terjadi kerana testis terjejas berpunca daripada haba cuaca panas, tempat duduk basikal dan pemakaian seluar yang ketat ketika melakukan aktiviti berkenaan.

Mungkin ramai yang meragui kenyataan ini terutama dalam kalangan penggemar sukan berbasikal kerana kelebihan aktiviti sukan itu dapat membaiki tahap kesihatan diri.

Pengamal Perubatan Seksual dan Reproduktif dari U.n.i Klinik TTDI, Dr Ahmad Ramdan Zainordin berkata, kesan haba terhadap testis terbukti merosakkan sperma sekali gus merendahkan potensi mereka mendapatkan zuriat.

Beliau berkata, kajian yang dijalankan di Toulouse, Perancis menunjukkan hanya dengan peningkatan haba sebanyak dua darjah Celsius, sudah boleh memberi kesan kepada asid deoksiribonukleik (DNA) sperma.

“Melalui kajian ini juga, seseorang lelaki yang terdedah dengan haba panas, keadaan spermanya hanya boleh kembali pulih selepas 73 hari.

PERGERAKAN sperma terbaik ialah terus ke hadapan.

“Kesan haba kepada testis mengakibatkan kerosakan sperma daripada segi bilangan, bentuk dan pergerakannya.

“Apa juga sumber haba seperti cuaca panas, pekerjaan dan aktiviti yang terdedah dengan haba termasuk sauna akan memberikan kesan sama,” katanya.

Menurutnya, dalam ujian semen terhadap lelaki berusia 29 tahun yang aktif berbasikal, tidak merokok dan tanpa menghidap penyakit lain, ia mendapati hampir 80 peratus spermanya bergerak tanpa hala tuju iaitu ke kiri, ke kanan, ke depan serta ke belakang.

“Malah banyak kepala spermanya turut cacat maka aktiviti itu (berbasikal) boleh menjadi punca disebabkan lebihan haba yang boleh merosakkan sperma.

“Terdapat beberapa jenis pergerakan sperma dan yang terbaik ialah pergerakan terus ke hadapan (‘rapid linear’).

“Pergerakan sperma tidak normal pula ialah ‘sluggish progression’ iaitu pergerakan tidak laju.

“Seterusnya adalah ‘non progression’ iaitu pergerakan tidak terus ke depan, tetapi bergerak ke hadapan, kiri dan kanan.

“Terakhir ialah sperma yang tidak bergerak langsung,” katanya.

KESAN berbasikal menyebabkan sperma bergerak tanpa hala tuju.

Dr Ahmad berkata, umum perlu mengetahui proses penghasilan sperma atau ‘spermatogenesis’ yang berlaku di dalam testis memerlukan suhu dua hingga lapan darjah Celsius, lebih rendah daripada suhu badan.

Jelasnya, haba yang meningkatkan suhu testis bertindak sebagai tekanan oksida, boleh merencat dan merosakkan proses ini. Oleh itu, lebih banyak sperma akan rosak dan cacat.

“Apabila kita mengaitkan dengan aktiviti berbasikal, sememangnya aktiviti ini berisiko tinggi untuk terdedah kepada haba daripada cuaca panas. Inilah punca kemerosotan kualiti sperma daripada aktiviti itu.

“Seluar ketat pula mengurangkan pembebasan haba dan terperangkap pada testis. Ditambah pula cuaca di Malaysia yang sememangnya panas dan menjadi lebih panas apabila berada di jalan raya,” katanya.

Beliau berkata, ada satu kajian lain dilakukan di United Kingdom membabitkan lebih 5,000 penunggang basikal.

Ia menunjukkan aktiviti berbasikal tidak mendatangkan kesan buruk kepada kualiti sperma.

“Bagaimanapun, kajian ini hanya melihat kepada tempoh masa berbasikal dan tidak menilai kesan haba terhadap testis.

“Tambahan pula, suhu di negara itu tidak boleh disamakan dengan iklim tropika di Malaysia.

Dr Ahmad

“Suhu di atas jalan raya di Malaysia boleh mencecah 38 hingga 40 darjah Celsius yang jauh lebih tinggi daripada suhu badan normal,” katanya.

Katanya, kebanyakan penggiat aktiviti sukan ini hanya mengikut trend malah tidak mengetahui implikasi buruknya terhadap kesuburan mereka.

“Aktiviti berbasikal dalam bangunan bukan saja lebih selamat, bahkan tidak akan memberikan kesan buruk kepada kerosakan sperma seperti di luar bangunan.

“Mereka yang menceburi aktiviti berbasikal ini digalakkan lebih mengutamakan faktor cuaca iaitu mengelakkan ketika cuaca panas terutama di jalan raya. Sebagai alternatif, boleh berbasikal di kawasan redup,” katanya.

Menurutnya, pemakaian seluar ketat menggalakkan pengumpulan lebihan haba yang akan merencatkan pertumbuhan sperma sihat.

“Selain itu, perlu ada rehat secara berkala kerana ia membantu mengurangkan kesan haba kepada testis.

“Bagi mereka yang mahu berjinak-jinak dalam aktiviti sukan ini, disaran mendapatkan nasihat doktor. Pastikan aktiviti sukan ini dilakukan waktu pagi dan malam bukan tengah hari,” katanya.

Leave a Reply

You must be logged in to post a comment.

222 views