Wawa Bina Ketrampilan

Apa yang kita lihat kala kali pertama bertemu kenalan baru? Matanya? Senyumannya? Atau tingkah laku serta tutur caranya?

Acap kali juga kita diasak dengan kenyataan bahawa tanggapan pertama orang lain pada diri bakal memberi kesan pada masa depan.

Ada benar bahawa apa yang ditampilkan hari ini di depan khalayak bakal menentukan haluan masa depan kita.

Seperti apa yang dititikberatkan Siti Mizalwa Idris, diri pasti lebih yakin andai penampilan dijaga sebaiknya baik luaran mahupun dalaman.

Dan itulah yang diusahakan oleh wanita ini demi kesedaran untuk meningkatkan lagi personaliti menarik dalam kalangan masyarakat Malaysia.

Wanita yang lebih dikenali sebagai Wawa Idris ini mula bergerak secara profesional dalam kancah perundingan imej sejak 11 tahun lalu sejurus menamatkan pengajian di peringkat sarjana dalam jurusan komunikasi korporat.

“Saya membesar sebagai kanak-kanak dan remaja yang amat pemalu serta rendah keyakinan diri. Saya tidak banyak bersosial kerana bimbang dengan kekurangan diri dan ia nyata mempengaruhi proses pembesaran saya hingga dewasa.

“Hanya selepas melanjutkan pelajaran di universiti barulah saya mula terbuka dengan konsep pergaulan yang lebih luas dan lama kelamaan saya mula berani dengan kemampuan diri.

“Saya mula bercakap di depan khalayak kampus, berkongsi panduan mengenai penampilan diri bersama rakan sekelas dan makin berani tampil menyelesaikan tugasan tanpa dipaksa.

“Dari situlah tercetusnya idea untuk mengembangkan lagi kemahiran komunikasi kerana saya percaya ramai yang perlukan bantuan bagi membolehkan mereka menonjolkan kelebihan diri dan mahir dalam komunikasi sesama masyarakat. Jika saya dapat lakukannya, yang lain pasti juga boleh!” ujarnya.

Wanita berasal dari Kuala Lumpur ini kemudiannya mengikuti beberapa kursus imej hingga melayakkannya bergelar perunding imej bertauliah dalam tempoh setahun.

Dari situ bermula pula fasa baru dalam kehidupannya apabila namanya dijadikan sebagai akronim penjenamaan.

“Wawa itu adalah nama panggilan saya ketika remaja. Asalnya saya tidak gemar dengan panggilan itu tapi selepas terbabit dalam bidang ini, saya mula mencari inspirasi atau kesan impak pada penjenamaan nama saya.

“Nama Wawa itu kemudiannya dijadikan akronim untuk ‘Wow Attitude Wow Attire’ yang menggambarkan misi utama saya iaitu memberi inspirasi kepada orang lain untuk memacu kejayaan menerusi penampilan luar dan dalaman yang positif,” katanya.

Mengulas lanjut mengenai penampilan seseorang individu mampu memberi impak kepada karier dan kehidupan peribadinya, Wawa menegaskan, apa yang kita tonjolkan pada dunia turut membabitkan imej keluarga.

Penampilan seseorang individu itu juga memberi impak kepada karier termasuk dapat meningkatkan kepercayaan orang lain.

Tambahnya, penilaian majikan dalam pelbagai aspek termasuk cara berpakaian kerana ia mempamerkan personaliti seseorang sama ada baik atau buruk.

“Penampilan seseorang lelaki membawa imej keluarganya, sama ada positif atau negatif. Begitu juga pada wanita. Penampilan ini tidak sekadar rupa, pakaian atau gaya luaran kerana ia turut mempengaruhi penampilan tingkah laku individu terbabit.

“Penampilan luaran itu bersifat kosmetik iaitu tidak tahan lama tapi ia juga amat diperlukan dalam kehidupan harian. Kita pasti lebih selesa berbual atau mendekati seseorang yang kemas, segak, cantik dan menarik gayanya berbanding individu yang tidak kisah dengan penampilan luaran.

“Penampilan dalaman iaitu tingkah laku pula lebih kepada penetapan utama yang menentukan kelemahan serta kelebihan seseorang individu.

“Perlu ada keseimbangan dalam kedua-dua perkara ini dan gunakan peluang yang baik dengan penampilan menarik,” katanya.

Lazimnya, kata Wawa, manusia sering menilai individu lain dari aspek luaran selain cara berkomunikasi dan semua itu dirangkumkan lalu memberi impak terhadap keyakinan majikan kepada kakitangan.

“Penampilan tidak menarik akan menjadi mangsa kepercayaan kepada orang lain. Kuasa, kepercayaan dan kredibiliti seseorang memainkan peranan berdasarkan cara penampilan mereka,” katanya.

Wanita yang gemarkan gaya klasik serta dramatik ini menegaskan, untuk tampil menarik tidak perlu membelanjakan wang yang banyak asalkan tahu cara dan
seiring dengan personaliti diri.

“Penampilan tingkah laku tidak memerlukan wang. Ia lebih kepada kesedaran diri. Penampilan gaya pula memerlukan sedikit usaha dan kreativiti. Juga hindarkan rasa malas.

“Ada yang berhabis wang untuk barangan berjenama tapi hakikatnya gaya yang ditampilkan langsung tidak mencerminkan aura ‘mahal’ pada dirinya.

“Ada pula yang mengitar semula pakaian dan dipadu bersama aksesori bersesuaian lalu menjadikannya gayanya kelihatan lebih menarik daripada individu yang membeli pakaian berjenama,” katanya.

Ilmu juga amat ditekankan dalam kehidupan wanita ini dan sentiasa dititipkan kepada peserta yang mengikuti kursus imej kendaliannya.

Biarpun kemahirannya diiktiraf di peringkat tempatan mahupun antarabangsa, Wawa enggan goyang kaki dengan apa yang diraihnya kini.

Ibu kepada cahaya mata perempuan berusia tujuh tahun ini bakal terbang ke London dalam tempoh dua minggu lagi bagi mengikuti pengajian dalam bidang penggayaan diri.

“Bagi saya, usia dan masa bukan halangan untuk seseorang menimba ilmu kerana ia tiada hadnya.

Ia bukannya merugikan malah memberikan lebih banyak faedah yang akan membantu kehidupan harian saya.

“Saya sering tekankan kepentingan mencari ilmu kepada peserta kursus, atau sesiapa pun yang meminta bantuan untuk mengubah hidup mereka, kerana dengan ilmu sajalah yang dapat membawa seseorang itu ke tahap lebih baik.

“Malangnya majoriti masyarakat kita masih lokek untuk mengeluarkan perbelanjaan demi ilmu. Tidak ramai yang sanggup melabur untuk keuntungan diri sendiri iaitu menimba ilmu.

“Ramai kalangan kita masih tidak nampak keperluannya pada kehidupan harian dan itulah antara projek yang cuba saya usahakan kini,” jelasnya.

Wawa juga dalam proses merangka program awam untuk pelajar sekolah rendah dan menengah, yang memberi tumpuan kepada pembangunan skil komunikasi serta penampilan diri menerusi syarikatnya, Wow Virtue Training Image Consultant.

Minda negatif buruk kesannya!

“Lihat pada sudut positif, potensinya dan jalankan usaha.” Petikan kata-kata Dalai Lama itu mungkin kedengaran biasa tapi apabila dinilai semula, setiap perkara negatif jika diubah kepada positif pasti ada hasilnya.

Fikiran serta perlakuan negatif sememangnya membazirkan tenaga dan membuatkan kita ketinggalan dengan arus terkini. Lebih banyak perkara negatif yang mengganggu diri serta pemikiran kita, makin buruk kesannya pada masa akan datang.

Satu perkara negatif, walaupun kecil, akan bertukar menjadi besar dan buruk. Sebaliknya, pemikiran dan perbuatan positif yang kecil boleh memberi kesan sama untuk hasil yang lebih baik.

Berikut beberapa tip untuk mengatasi perkara negatif dalam diri agar kehidupan lebih tenang dan cemerlang.

Meditasi atau yoga

Ia membantu fikiran fokus dengan sasaran yang ingin dicapai. Ia juga membolehkan diri berehat seketika sebelum menyambung semula proses pemikiran yang lebih efektif.

Senyum

Jangan malu untuk tersenyum seorang diri di depan cermin. Mulanya memang kelakar melihat diri sendiri tersenyum sendiri tapi lama kelamaan ia berupaya mengubah emosi dan melegakan tekanan.

Berkawan dengan individu positif

Hubungi rakan yang tampak ceria serta kurang masalah. Keluar minum, makan, tonton wayang atau lakukan apa saja aktiviti dengan mereka. Apabila diri mula
dihimpit fikiran negatif, individu positif ini mampu memberi perspektif berbeza dalam kehidupan kita, sekali gus menghindarkan perkara negatif itu.

Ubah nada fikiran daripada negatif ke positif

Contohnya, daripada memikirkan, “Kita mungkin akan hadapi kesukaran untuk menyesuaikan diri dalam situasi itu,” ubah kepada “Kita akan hadapi beberapa
cabaran dalam situasi itu tapi kita pasti dapat menyelesaikannya dengan baik.”

Jangan mainkan watak sebagai mangsa.

Kita yang mencipta rentak kehidupan sendiri. Bertanggungjawab meskipun situasi kehidupan kita agak rumit dan memeritkan, pasti ada jalan keluar. Kita sendiri yang akan mengubah kehidupan menjadi lebih baik dan bukan orang lain. Kita sendiri yang menentukan sama ada mahu tampil menarik atau sebaliknya.

Leave a Reply

You must be logged in to post a comment.

1,710 views