Yang Penting Selesa!

PEMAKAIAN selendang sememangnya diminati ramai wanita muda kini kerana bentuknya boleh dipelbagaikan mengikut gaya lilitan masing-masing.

Biarpun tanpa memberi tumpuan kepada gaya lilitan selendang, lazimnya penggunaan selendang lebih bersahaja, santai dan mudah terutama bagi mereka yang ingin mengejar masa.

Mungkin ada yang berpendapat sukar memakai selendang kerana gaya lilitannya tetapi untuk yang tidak biasa berselendang, ia tetap mudah dipelajari.

Bagi pemilik butik selendang dalam talian jenama Dewani Scarf, Nurshazwani Ismail, penggayaan selendang punya kelainan yang tidak dimiliki tudung sedia disarung dan tudung bawal.

Gaya lilitan lebih santai dan ia memberikan keselesaan kepada pemakainya manakala warna kombinasi kain juga pelbagai supaya mudah dipadankan dengan busana pilihan.

Setiap selendang yang dihasilkannya rekaan sendiri mengikut cita rasa dan gaya terkini bersesuaian dengan trend penggemar fesyen selendang.

“Tiada asas lilitan yang perlu diikuti, sekadar melakukannya mengikut keselesaan dan kreativiti terutama bagi mengolahnya menjadi bentuk yang bersesuaian dengan personaliti diri.

“Mengemaskan cara lilitan boleh dilakukan berulang kali sehingga benar-benar menemui gaya lilitan diinginkan,” katanya.

Penggunaan sifon dan satin diberi keutamaan memandangkan pemakaian selendang memerlukan beberapa lilitan pada bahagian leher dan kepala.

Jenis kain terbabit yang nipis memberikan lebih keselesaan kepada pemakai terutama jika digayakan untuk jangka masa yang lama.

Selain itu, sentuhan unik dilihat pada penambahan renda di hujung selendang manakala rekaan selendang separuh bulatan makin mendapat perhatian kerana pemakaiannya yang lebih terletak pada kepala.

Leave a Reply

You must be logged in to post a comment.

1,744 views