Zaida Lali Dugaan

Dugaan yang perlu ditempuh Zaida Abdul Aziz, 47, untuk terus menapak dalam dunia perniagaan rekaan tudung bukan sedikit.

Malah ia hampir meragut nyawa anak dan dirinya sendiri. Meskipun kejadian sudah 20 tahun berlalu, ia tetap tersemat utuh dan tersimpan rapi dalam kenangan.

Ketika itu, perniagaan dijalankannya mula meningkat naik. Justeru, dia tidak menang tangan menyiapkan tempahan. Lebih-lebih lagi dia menjalankan perniagaan secara kecil-kecilan di rumah dan tidak memiliki kakitangan mencukupi.

Namun disebabkan mahu menjaga nama baik dan amanah, dia tetap gagahkan diri memenuhi permintaan pelanggan sungguhpun sarat mengandung.

Ketika itu, pemilik butik Zaida’s Collection ini hamil anak keempat, namun disebabkan terlalu teruja menyiapkan tempahan tudung pelanggannya, dia menjadi leka hinggakan tidak menyedari tempoh bersalinnya sudah tiba.

“Walaupun sudah merasai tanda kecil untuk bersalin, saya tetap menunggu bagi memastikan permintaan tudung pelanggan boleh dihantar tepat pada masanya.

“Apabila rasa lenguh di bahagian belakang badan makin menjadi-jadi barulah saya menghubungi adik untuk menghantar saya ke hospital,” katanya ketika ditemui di butiknya di Seri Bangi, Seksyen 8, Bandar Baru Bangi, baru-baru ini.

Belumpun sempat adiknya tiba di rumah, dia terus pengsan tidak sedarkan diri dan hanya bangun kembali selepas dua minggu berada dalam keadaan koma.

Apabila tersedar, terasa dirinya seperti baru bangkit daripada mimpi tetapi yang pasti ia bukan khayalan. Ketika itu seluruh tubuhnya dipenuhi dengan tiub dan kepalanya juga botak.

Akibat komplikasi terbabit, anak perempuan bongsunya itu lemas di dalam perut dan kini selepas 20 tahun berlalu, dia hanya mampu terlantar di katil.

“Selama dua tahun selepas kejadian itu, kehidupan saya lebih banyak terarah kepada kebajikan dan kesihatan anak. Saya perlu sentiasa berulang-alik ke hospital dan boleh dikatakan ia sudah menjadi rumah kedua saya.

“Pada saat itu tidak dapat dijelaskan betapa kelam-kabutnya keadaan saya tetapi saya tetap gagahkan diri dan melakukan yang terbaik untuk anak dan juga perniagaan saya,” katanya.

Walaupun agak sukar untuknya berkongsi cerita pengalaman yang begitu menduga emosinya, bicaranya diteruskan juga dengan harapan ia boleh menjadi semangat bagi wanita lain untuk terus memajukan diri walau dalam apa keadaan sekalipun.

Seingatnya, dia mengambil upah menjahit tudung sekitar 90-an bagi membantu meningkatkan pendapatan keluarga.

Minat yang mendalam dalam bidang jahitan menyebabkan dia cuba mempelajari selok-belok perniagaan untuk cuba menghasilkan rekaan fesyen tudung tersendiri.

“Saya masih ingat ketika itu saya ambil upah menjahit tudung di Jalan Bunus, Masjid India. Tetapi lama kelamaan timbul minat untuk menghasilkan rekaan tudung sendiri.

“Oleh itu, saya cuba menghasilkan sendiri de-ngan membeli kain meter dan menjahit tudung berkenaan mengikut kemampuan dan tidak menyangka ia mendapat sambutan menggalakkan,” katanya.

Ketika itu sudah ada versi tudung bersengkuap di pasaran seperti tudung fiona (kini lebih dikenali sebagai tudung Siti) dan juga selendang panjang digelar sebagai selendang Nabila.

Tetapi ia tidak mendapat perhatian meluas seperti sekarang. Kain yang digunakan juga pelbagai, antara kain paling popular ialah SB Line yang turut dilengkapi perincian seperti manik dan sulaman.

Oleh itu, apabila rekaan tudung yang dihasilkan itu berjaya menarik minat penggemar fesyen tempatan, Zaida memberanikan diri untuk mengetengahkannya ke peringkat lebih meluas.

“Saya membawa sendiri contoh rekaan tudung menjelajah hingga ke Singapura, Johor Bahru, Taiping, Seremban serta Melaka bagi mendapatkan tempahan.

“Alhamdulillah, ia membuahkan hasil dan menerima banyak tempahan. Saya mengambil masa sebulan untuk menyiapkan tempahan kemudian barulah membuat penghantaran,” katanya.

Pada 1995, ibu empat cahaya mata itu menyewa kedai bagi memastikan operasi pembuatan tudungnya tidak terganggu, namun krisis rumah tangga pula membelenggu dirinya.

“Hanya Allah saja tahu betapa remuk hati saya seolah-olah semua pengorbanan yang dilakukan selama ini tidak memberikan sebarang erti kepada bekas suami.

“Saya mengambil keputusan untuk berpisah pada tahun 2000 selepas beberapa kali rujuk dan bercerai,” katanya.

Pada 2004, Zaida berkahwin semula selepas bertemu insan yang amat memahami dirinya. Suaminya kini menjadi tulang belakang dan pendorong semangatnya untuk terus maju ke hadapan.

Mereka berdua kini bersama-sama memantau bahagian rekaan dan perjalanan operasi perniagaan.

Di samping itu, pada tahun berkenaan juga, dia membuka cawangan baru di sebuah pusat beli-belah terkemuka dan berjaya bertahan selama enam tahun sebelum berlaku masalah dengan pihak pengurusan hingga menyebabkannya terpaksa menutup butik berkenaan.

Disebabkan penutupan butik berkenaan, dia kini masih terikat dengan bebanan hutang kerana stok yang disediakan pada waktu itu tidak boleh dihabiskan me-ngikut perancangan.

“Bayangkan walaupun selepas tiga tahun berlalu, saya masih lagi tersangkut dengan stok lama dan perlu dihabiskan bagi memastikan tanggungan hutang mampu dijelaskan walaupun secara sedikit demi sedikit,” katanya.

Penutupan cawangan berkenaan juga menyebabkannya sedikit terkilan kerana ia dilakukan secara tiba-tiba tanpa pemberitahuan awal dan hanya diberikan notis dua bulan saja.

Jika sebelum ini dia tidak pernah mendapatkan sebarang pinjaman daripada mana-mana institusi perbankan tetapi kini terpaksa melakukannya demi melancarkan perjalanan operasi perniagaan.

“Ketika itu saya baru saja melakukan kerja ubah suai butik dan banyak modal sudah dilaburkan, begitu juga dengan penyediaan stok terutama untuk hari raya.

“Apabila diberikan notis berkenaan, saya berasa dunia kelam seketika dan tidak mampu bernafas. Keadaan itu juga memberi sedikit kesan kepada operasi perniagaan,” katanya.

Namun ia bukan penamat untuk segalanya kerana apa yang penting, bangkit daripada kegagalan dan cuba melakukan yang terbaik untuk memastikan perkara yang sama tidak berulang.

Kini dia mampu tersenyum bangga kerana walaupun dihimpit pelbagai masalah, butiknya mampu bertahan hingga kini dan mendapat sambutan memberangsangkan daripada penggemarnya.

“Saya yakin apa yang berlaku ada hikmahnya dan ia berjaya dibuktikan melalui berkat kesusahan dan cabaran selama ini, malah perniagaan kini juga bertambah baik.

“Ia sesuatu yang tidak disangka kerana jika difikirkan, bebanan fizikal dan emosi apabila berdepan dengan semua perkara itu ia boleh memberi impak besar tetapi alhamdulillah, saya mampu melaluinya,” katanya.

Leave a Reply

You must be logged in to post a comment.

621 views