Covid-19: 5 Tahap Rawatan

SEPANJANG lebih setahun pandemik Covid-19 ‘menguasai’ dunia, lebih 95 juta warga global dijangkiti virus itu malah turut merekodkan hampir 2.1 juta kematian.

Terkini, mutasi baharu virus Covid-19 menyebabkan pesakit yang dijangkiti tidak menunjukkan sebarang gejala.

Pakar Epidemiologi Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Madya Dr Malina Osman berkata, pengurusan dan perawatan pesakit jangkitan Covid-19 boleh diklasifikasikan kepada lima tahap.

Tahap pertama ialah apabila individu disahkan positif, tetapi tidak menunjukkan sebarang gejala.

“Tahap kedua pula apabila individu yang positif itu mula menunjukkan gejala, tetapi gejala berkenaan terhad kepada bahagian atas sistem pernafasan.

“Seperti selesema dan mungkin demam sedikit. Pada tahap ini, ia tidak membabitkan organ paru-paru,” katanya.

Menurut Dr Malina, tahap ketiga pula adalah keadaan apabila jangkitan mempunyai gejala pada sistem pernafasan iaitu pesakit menunjukkan adanya tanda radang paru-paru.

“Namun pesakit masih mampu bernafas dengan normal dan tidak memerlukan sokongan oksigen,” katanya.

Dr Malina berkata, pada tahap empat, bagi pesakit yang mempunyai gejala keradangan paru-paru yang agak teruk, mereka memerlukan bantuan oksigen untuk bernafas.

MUTASI baharu virus Covid-19 memiliki tahap kebolehjangkitan tinggi.

“Bagi pesakit Covid-19 pada tahap lima, apabila gejala dialami sangat teruk, mereka memerlukan rawatan intensif di unit rawatan rapi (ICU) dan sebahagian daripadanya memerlukan mesin bantuan pernafasan (ventilator).

“Dalam konteks semasa, pembahagian tahap ini adalah untuk memudahkan pihak kesihatan dan perubatan dalam memberikan perkhidmatan serta rawatan,” katanya.

Kata Dr Malina, maklumat tahap jangkitan sebenarnya sudah dikongsikan kepada masyarakat, tetapi tidak dikongsikan secara lebih terperinci melalui pengenalpastian tahap berkenaan.

“Pada pandangan saya, untuk pencegahan dan rawatan, masyarakat perlu mengetahui tahap ini terutama bagi tahap satu dan dua.

“Ini kerana ketika ini pesakit bagi kedua-dua tahap ini ditempatkan di rumah untuk pemantauan berkala dan tidak lagi dirawat di hospital,” katanya.

Menurut Dr Malina, seperti jangkitan virus yang lain, secara semula jadinya, jangkitan Covid-19 akan menyebabkan tindak balas sistem imun dalam tubuh.

UJIAN calitan dilakukan jika ada gejala jangkitan Covid-19.

“Ia bagi penghasilan antibodi dan sel yang terbabit untuk memusnahkan virus berkenaan.

“Namun, didapati selepas virus mula menjangkiti individu dan tindak balas imun berlaku, sebahagian daripada pesakit akan menunjukkan tindak balas imuniti berlebihan sehingga membawa kepada keadaan dipanggil ‘ribut sitokin’ (cytokine storm) yang menyebabkan kecederaan teruk pada tisu paru-paru.

“Keadaan sedemikian boleh membawa komplikasi sangat teruk dan berisiko tinggi mengakibatkan kematian,” katanya.

Dr Malina berkata, ada beberapa faktor menyumbang kepada risiko pesakit mendapat jangkitan Covid-19 tahap lima seperti usia melebihi 50 tahun, terutama warga emas berusia 70 tahun ke atas.

“Begitu juga dengan pesakit kronik seperti kencing manis, darah tinggi, masalah jantung, buah pinggang atau individu yang mempunyai masalah gangguan sistem imun tubuh.

“Selain itu, individu yang menghidap masalah paru-paru dan mereka yang lewat mendapat rawatan adalah antara yang berisiko mendapat komplikasi jangkitan tahap lima,” katanya.

Menurut Dr Malina, individu didiagnosis pada tahap lima menunjukkan sindrom pernafasan teruk yang berlaku agak mendadak akibat tindak balas imuniti berlebihan sehingga merosakkan tisu paru-paru.

PEMAKAIAN pelitup muka bagi mencegah jangkitan Covid-19

“Apabila berlaku seperti itu, sebahagian tisu yang terbabit dengan pernafasan, terjejas teruk sehingga pesakit tidak boleh bernafas secara normal.

“Jumlah oksigen yang dapat masuk ke dalam tubuh sangat rendah sehingga mencapai tahap sangat kritikal.

“Sebilangan pesakit tidak menunjukkan tindak balas terhadap rawatan untuk mengurangkan keradangan, apabila komplikasi berterusan berlaku sehingga boleh menyebabkan kematian,” katanya.

Menurut Dr Malina, perkara penting perlu dilakukan bagi mengelakkan keadaan pesakit Covid-19 menjadi lebih teruk hingga ke tahap lima perlu bermula dengan semua pihak mengambil inisiatif bersungguh-sungguh mematuhi prosedur operasi standard (SOP).

“Ini diikuti dengan mengenal pasti kemungkinan berlakunya jangkitan, individu berkaitan perlu segera membuat saringan dan rawatan awal (jika positif). Pada masa sama, ia dapat menghalang kes daripada meningkat mendadak.

“Jika keadaan sebaliknya (kes meningkat mendadak) jumlah yang perlu dirawat mungkin melebihi kapasiti kakitangan kesihatan sedia ada.

“Ia boleh membawa kepada situasi yang tidak dapat dielakkan iaitu kemungkinan terdapat sebahagian individu dijangkiti, terpaksa menunggu dan menerima rawatan lewat.

“Oleh itu, untuk mengelakkan berlaku sebarang kemungkinan ke tahap lima, ia perlu dimulakan dengan langkah pencegahan

daripada mendapat jangkitan,” katanya.

Leave a Reply

You must be logged in to post a comment.

172 views