Dua Jenis Rawatan Dialisis

SERING kali kita didedahkan dengan laporan kematian disebabkan kegagalan fungsi buah pinggang.

Ini menggambarkan betapa pentingnya fungsi organ itu kepada manusia untuk meneruskan kehidupan.

Fungsi utama buah pinggang ialah membersihkan darah, membuang sisa toksik dan bahan kimia lain yang tidak diperlukan badan.

Malangnya, penjagaan kesihatan buah pinggang semakin diabaikan menyebabkan jumlah pesakit yang menghidap penyakit ini kian meningkat.

Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) menunjukkan prevalen penyakit buah pinggang kronik (CKD) di Malaysia pada 2018 meningkat kepada 15.5 peratus berbanding 9.1 peratus pada 2011.

Pakar Perubatan Dalaman dan Ketua Unit Dialisis Hospital Pakar An-Nur, Dr Maisara Yusra berkata, daripada jumlah itu, dianggarkan 3.85 peratus ialah CKD tahap satu, CKD tahap dua (4.82 peratus), CKD tahap tiga (6.48 peratus) dan CKD tahap empat serta lima (0.33 peratus).

Dr Maisara berkata, kebanyakan pesakit buah pinggang di Malaysia menghidap penyakit ini pada tahap satu dan dua.

“Namun, mereka tidak menyedari menghidap penyakit berkenaan kerana ia tidak menunjukkan sebarang gejala kepada penghidapnya.

“Ditambah pula, pemeriksaan kesihatan secara tahunan belum lagi menjadi amalan masyarakat negara ini, ia menyukarkan penyakit itu dikesan lebih awal.

“Bagaimanapun, setelah pemeriksaan lanjut dilakukan, pesakit mendapati penyakit buah pinggang dihidapi mereka sudah berada pada tahap tiga hingga lima,” katanya.

Dr Maisara berkata, pada tahap lima, buah pinggang sudah mengalami kegagalan dan pesakit perlu menjalani rawatan atau menggantikan fungsi organ yang sudah rosak itu seperti dialisis dan pemindahan buah pinggang.

Menjelang 11 Mac ini, sambutan Hari Buah Pinggang Sedunia 2021 diraikan bertemakan Hidup Sejahtera dengan Penyakit Buah Pinggang.

Menyentuh kaedah rawatan bagi pesakit buah pinggang, Dr Maisara berkata, punca yang menyebabkan individu menghidap penyakit berkenaan perlu diketahui sebelum rawatan diberikan.

“Begitu juga faktor lain seperti penjagaan makanan, minuman dan pengambilan garam dalam hidangan harian.

“Ditambah pula, rakyat Malaysia suka memilih perubatan alternatif iaitu pengambilan makanan tambahan yang dipercayai mampu menyembuhkan penyakit yang turut menyumbang kepada masalah terbabit,” katanya.

MESIN dialisis untuk rawatan hemodialisis.

Dr Maisara berkata, bagi pesakit buah pinggang yang turut mempunyai kencing manis, mereka perlu memastikan tahap gula dalam darah terkawal.

“Saya selalu berpesan kepada pesakit, biar mereka yang mengawal gula dan bukan dikawal oleh gula.

“Apabila pemeriksaan mendapati kerosakan buah pinggang pada tahap tiga, pesakit akan diingatkan untuk memperketatkan penjagaan organ ini bagi mengelakkan kerosakan ke tahap lima.

“Pada tahap lima, pesakit tidak mempunyai pilihan dan perlu membuat rawatan dialisis atau pemindahan buah pinggang untuk memanjangkan hayat mereka,” katanya.

Beliau berkata, terdapat dua jenis rawatan dialisis untuk pesakit yang mengalami kegagalan buah pinggang.

Menurutnya, pertama ialah peritoneal dialisis. Dalam rawatan ini, cecair dialisis dimasukkan ke rongga peritoneal di perut pesakit melalui tiub khas yang dimasukkan secara kekal menerusi prosedur pembedahan kecil.

“Selaput yang menyelaputi peritoneum membolehkan bahan kumuh dan cecair berlebihan menyerap daripada darah ke dalam cecair dialisis.

“Cecair ini kemudian dibuang daripada badan secara berkala,” katanya.

Dr Maisara berkata, rawatan kedua ialah hemodialisis yang menggunakan mesin dialisis untuk membersihkan darah dengan cara mengeluarkan sisa toksin, lebihan garam dan cecair daripada badan pesakit.

“Rawatan ini dilakukan tiga kali seminggu dan pesakit perlu datang ke pusat dialisis setiap kali rawatan.

“Pilihan rawatan diberikan bergantung kepada kesesuaian kesihatan dan gaya hidup pesakit,” katanya.

Dr Maisara berkata, tanpa dialisis, ia boleh membawa kepada kematian.

“Pesakit yang menjalani rawatan dialisis perlu bergantung dengan rawatan berkenaan sepanjang hayatnya.

“Namun begitu, antara komplikasi dialisis yang dihadapi oleh sebahagian pesakit adalah keadaan jantung dan tekanan darah menjadi terlalu lemah,” katanya.

Dr Maisara berkata, semasa rawatan hemodalisis, air di dalam badan akan ditarik keluar menyebabkan tekanan darah semakin rendah.

“Atau juga kerana terdapat jangkitan terlalu teruk dan sebagainya, maka ia menyukarkan proses rawatan dialisis.

“Seterusnya pesakit mudah mengalami osteoporosis dan ia akan mendedahkan mereka kepada risiko patah tulang jika terjatuh,” katanya.

Selain itu, Dr Maisara berkata, ada segelintir pesakit buah pinggang yang sudah lama menjalani rawatan hemodialisis, tetapi tidak mematuhi peraturan rawatan.

“Sebilangan mereka makan ketika rawatan, sedangkan ia tidak dibolehkan kerana kemungkinan darah yang sepatutnya mengalir ke mesin dialisis akan ke perut.

“Begitu juga dengan pengawalan pengambilan air, ia turut tidak dipatuhi sesetengah pesakit. Ada pesakit mengambil air melebihi jumlah ditetapkan.

“Contoh, pesakit buah pinggang yang menghidap penyakit jantung, maka doktor menetapkan jumlah air boleh mereka minum ialah 800 mililiter (ml),” katanya.

Tegasnya, pesakit buah pinggang perlu mematuhi peraturan rawatan dan juga nasihat doktor yang merawat.

“Buah pinggang mengawal pembentukan darah, fungsi tulang dan tekanan darah. Fungsinya berkait rapat dengan fungsi jantung dan organ lain.

“Sekiranya buah pinggang gagal berfungsi, fungsi organ lain juga akan terjejas.

“Sebab itu, ada doktor memberikan pesakit ubat tambahan seperti kalsium karbonat dan sebagainya bagi membantu kawalan kesihatan tulang,” katanya.

Selain itu, pesakit buah pinggang juga perlu berhati-hati dalam pemilihan makanan dan mengelakkan makanan tinggi potassium, garam dan terlalu banyak kandungan protein.

INFO

1. Gejala awal penyakit buah pinggang

Keletihan dan tidak bertenaga

Mudah hilang fokus

Hilang selera makan

Masalah susah tidur

Kekejangan otot waktu malam

Bengkak kaki dan sendi

Kulit kering dan gatal

2. Lima tahap penyakit buah pinggang

i. Tahap satu

Tidak bergejala dan paras darah juga normal menyebabkan pesakit tidak menyedari penyakit dihidapinya

ii. Tahap dua

Tidak bergejala tetapi tekanan darah pesakit sedikit dan Kadar Penurasan Glomerular (eGFR) berkemungkinan ada pengurangan, tetapi masih di paras normal

iii. Tahap tiga

Lazimnya ada gejala dan sedikit perubahan dalam darah iaitu paras darah sedikit berkurangan berbanding normal

Kadar Penurasan Glomerular (eGFR) mula berkurangan

iv. Tahap empat

Keadaan semakin teruk dengan Kadar Penurasan Glomerular (eGFR) terus berkurangan

Ada gejala kerosakan buah pinggang seperti keletihan dan masih boleh mengeluarkan air kencing.

v. Tahap lima

Kerosakan buah pinggang semakin teruk dan tidak boleh berfungsi dengan baik.

Leave a Reply

You must be logged in to post a comment.

105 views