Salah Faham Terhadap Vaksin

PROGRAM vaksinasi Covid-19 sudah bermula pada 24 Februari lalu, tetapi salah faham masyarakat terhadap vaksinasi masih mendalam.

Pelbagai usaha dilakukan kerajaan untuk menangkis salah faham itu.

Pada Disember lalu, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menjalankan satu kaji selidik untuk mengetahui tahap kesediaan rakyat negara ini dalam pengambilan vaksin berkenaan.

Hasil kaji selidik mendapati hanya 67 peratus individu bersedia mengambil suntikan vaksin.

Selebihnya iaitu 17 peratus berasa ragu-ragu manakala 16 peratus lagi tidak setuju.

Daripada pecahan 17 peratus (berasa ragu-ragu ini), 70 peratus adalah mereka yang berasakan vaksin itu tidak selamat.

Exco Perancangan Strategik, Kempen Vaksinasi, Medical Mythbusters Malaysia, Dr Megat Mohamad Amirul Amzar Megat Hashim berkata, persepsi yang salah berkaitan vaksin sudah lama wujud, sebelum adanya media sosial.

“Bagaimanapun, senario ini lebih ketara selepas kemunculan platform ini.

“Contoh, sebelum penularan pandemik Covid-19. Pada 2013, bilangan individu yang menolak suntikan vaksin untuk anak meningkat.

SALAH faham berkaitan vaksin semakin ketara sejak penggunaan media sosial yang meluas.

“Tindakan ini menyumbang kepada peningkatan sembilan kali ganda kes demam campak yang mencatatkan 1,900 kes pada 2018 berbanding 195 kes pada 2013,” katanya.

Menurut Dr Megat Mohamad Amirul Amzar, peningkatan itu seiring peningkatan golongan yang menyebarkan salah faham berkaitan vaksin deman campak.

Beliau berkata, terdapat lima faktor yang menjadi penyebab salah faham masyarakat terhadap vaksinasi Covid-19.

“Pertama, disebabkan maklumat tidak terkawal di media sosial. Banyak perdebatan yang tidak tepat mengenai vaksin ini di platform berkenaan dan media cetak.

“Bahkan ada dalam kalangan rakan kita yang turut ragu-ragu terhadap vaksin ini.

“Kerajaan sukar hendak mengawal perkara ini (maklumat tidak terkawal) kerana platform seperti aplikasi WhatsApp, Facebook, Instagram dan Telegram membabitkan pihak ketiga.

PENYEBARAN maklumat tidak tepat menimbulkan keraguan dalam kalangan masyarakat.

“Melainkan ada peraturan khusus dalam undang-undang seperti Akta Antiberita Tidak Benar, barulah tindakan boleh diambil,” katanya.

Dr Megat Mohamad Amirul Amzar berkata, faktor kedua ialah wujudnya golongan antivaksin dan mereka tidak sama dengan individu yang menolak vaksin.

“Kita kena tahu orang yang menolak, ragu-ragu dan antivaksin ini tergolong dalam satu kumpulan dipanggil individu yang ragu-ragu terhadap vaksin.

“Ia berbeza orang yang ragu-ragu dengan kumpulan yang bersungguh-sungguh menghasut dan menolak vaksin.

“Berdasarkan kajian, kelompok yang menghasut dan menolak vaksin ini adalah kecil iaitu kurang daripada lima peratus. Bagaimanapun, mereka sangat lantang dalam menyatakan pendirian menolak vaksin Covid-19,” katanya.

Kata Dr Megat Mohamad Amirul Amzar, Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) menggelarkan mereka sebagai penolak vaksin yang lantang kerana berpotensi menghasut golongan atas pagar (golongan 17 peratus) untuk bertukar kepada individu menolak vaksin.

“Golongan antivaksin suka memberikan komen yang boleh menimbulkan keraguan kepada masyarakat di laman web yang popular seperti KKM,” katanya.

KES demam campak meningkat kerana salah faham terhadap vaksin ini.

Jelasnya, faktor seterusnya ialah kurangnya literasi sains dalam kalangan masyarakat di negara ini.

“Dalam keadaan ini, kita tidak boleh menyalahkan masyarakat sepenuhnya, tetapi berkemungkinan disebabkan oleh sistem pendidikan di Malaysia yang kurang mesra sains.

“Ini menyebabkan masyarakat lebih mudah percaya kepada perkara yang berasaskan testimoni dan berkaitan konspirasi,” katanya.

Selain itu, kata Dr Megat Mohamad Amirul Amzar, kepercayaan ini tidak hanya membabitkan isu vaksin, tetapi mereka turut mudah percaya kepada produk kecantikan dan yang tiada data saintifik.

“Faktor keempat ialah rakyat kurang yakin kepada kerajaan disebabkan kemelut politik yang melanda negara dan ini mendorong salah faham menjadi lebih teruk.

“Faktor terakhir ialah timbul isu halal dan haram terhadap vaksin ini. Sekian lama kita dimomokkan dengan satu konspirasi mengatakan ia antara cara orang Yahudi mahu menghancurkan umat Islam adalah menerusi vaksinisasi.

“Agak keterlaluan juga ada yang mendakwa pandemik ini sudah dirancang dan vaksin adalah antara cara untuk mengawal umat Islam,” katanya.

LIMA faktor menyebabkan salah faham masyarakat terhadap vaksinasi Covid-19.

Jelasnya, apabila lima punca ini tidak dikawal, sukar untuk menangani isu berkenaan dan usaha mengawal pandemik turut gagal.

Sementara itu, Penyelidik Komunikasi Vaksin, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Dr Helmi Yusoh berkata, isu vaksin perlu disentuh secara menyeluruh.

“Persepsi masyarakat terhadap pandemik ini akan mempengaruhi tanggapan mereka terhadap isu vaksin.

“Kita melihat betapa sistematiknya kerajaan dalam menguruskan isu vaksin.

“Semua maklumat dikongsikan kepada masyarakat termasuk bahan yang terkandung dalam vaksin dan pandangan pakar mengenai vaksinasi,” katanya.

Kata Dr Helmi, platform media elektronik turut digunakan untuk penyampaian berita dan pesanan khidmat masyarakat.

“Ketibaan vaksin dari luar negara dan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin terima suntikan vaksin juga disiarkan dalam televisyen. Ini menambahkan lagi keyakinan rakyat terhadap program vaksinasi,” katanya.

Leave a Reply

You must be logged in to post a comment.

127 views